Ahad, 29 Mei 2022 | 12:10pm

Vaksin cegah 13 jenis penyakit

IMUNISASI adalah proses pembentukan antibodi oleh tubuh bagi menghasilkan perlindungan (imuniti) terhadap jangkitan penyakit, hasil daripada tindak balas tubuh terhadap vaksin.

Vaksin adalah produk dihasilkan daripada keseluruhan atau sebahagian daripada virus atau bakteria yang dimatikan atau dilemahkan. Apabila vaksin disuntik, tubuh akan bertindak balas dengan menghasilkan antibodi.

Suntikan vaksin akan memberi perlindungan kepada kanak-kanak terhadap sesuatu penyakit jika tubuh diserang kuman pembawa sesuatu penyakit.

Dr Jamiatul Aida Md Sani
Dr Jamiatul Aida Md Sani

Imunisasi membantu mereka mendapat imuniti tanpa perlu jatuh sakit terlebih dahulu. Penyakit boleh dicegah dengan vaksin dan kerajaan menyediakan sejumlah peruntukan menerusi Program Imunisasi Kebangsaan sejak 1950-an.

Kini, vaksin diberikan melalui Jadual Imunisasi Kanak-kanak Kebangsaan bertujuan mencegah daripada 13 jenis penyakit berjangkit, iaitu komplikasi tuberkulosis, Hepatitis B, difteria, pertussis (batuk kokol), polio, tetanus (kancing gigi), komplikasi akibat jangkitan Haemophilus influenzae jenis b, measles, beguk, rubella, penyakit pneumokokal invasif dan jangkitan Human Papilloma Virus (HPV).

Di Sarawak, vaksin Japanese Encephalitis turut diberikan.

Vaksin diberikan percuma kepada bayi dan kanak-kanak di bawah Program Imunisasi Kebangsaan supaya golongan itu membesar dan berkembang dengan sihat sehingga menjadi insan produktif.

Mengapa bayi dan kanak-kanak perlu divaksin?

Bayi sangat mudah terjejas oleh jangkitan kerana sistem imun mereka masih belum berkembang sepenuhnya.

Vaksin membantu menguatkan sistem imun kanak-kanak seawal mungkin.

Justeru jadual imunisasi kanak-kanak disusun sejak lahir untuk melindungi mereka daripada komplikasi penyakit yang boleh membahayakan nyawa.

Bukankah susu ibu sudah mencukupi?

Perlindungan melalui susu ibu (imuniti daripada ibu) sahaja tidak mencukupi.

Bayi baharu dilahirkan mungkin menerima imuniti terhadap sesetengah penyakit (dalam bentuk antibodi) daripada ibu dalam tempoh beberapa minggu terakhir kandungan.

 jadual imunisasi kanak-kanak disusun sejak lahir untuk melindungi mereka daripada komplikasi penyakit yang boleh membahayakan nyawa. - Gambar hiasan
jadual imunisasi kanak-kanak disusun sejak lahir untuk melindungi mereka daripada komplikasi penyakit yang boleh membahayakan nyawa. - Gambar hiasan

Namun, ini hanya berlaku jika ibu pernah dijangkiti penyakit dan sistem imun ibu menghasilkan antibodi berkaitan.

Bayi juga menerima antibodi melalui susu ibu. Bagaimanapun, imuniti daripada ibu hanya melindungi bayi terhadap penyakit yang mana ibu turut mempunyai pertahanan dan boleh bertahan dalam masa beberapa bulan sahaja.

Apabila imuniti semakin berkurangan, bayi akan turut berisiko dijangkiti penyakit.

Kaitan pemberian imunisasi, perkembangan bayi dan kanak-kanak

Bayi dan kanak-kanak sihat bebas daripada penyakit akan menjalani proses tumbesaran serta perkembangan yang normal.

Ini penting bagi ibu bapa yang harus peka terhadap fasa tumbesaran sejak mereka dilahirkan sehingga dewasa.

Kesihatan yang baik dapat membantu perkembangan fizikal, kognitif, bahasa, sosial, moral, personaliti dan sebagainya. Selain itu, ia juga membantu dalam proses melatih dan mendidik anak-anak mengikut keperluan bersesuaian dengan tahap kefahaman bayi atau kanak-kanak.

Perkembangan dan aktiviti normal dilakukan bayi atau kanak-kanak mengikut julat umur atau peringkat yang biasa bagi sesuatu aktiviti.

Contohnya, seperti bayi boleh mencapai objek dan mengangkat tangan pada umur antara tiga hingga lima bulan; meniarap atau terlentang antara umur dua hingga lima bulan bulan.

Perkembangan bayi dan kanak-kanak merangkumi aspek:

* ​Motor (pergerakan) kasar

* Motor (pergerakan) halus dan penglihatan

* Pendengaran dan komunikasi

* ​ Kemahiran kendiri dan sosial

* ​Kognitif (minda)

Selain kesihatan, faktor yang turut mempengaruhi tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak adalahpersekitaran, pemakanan dan keturunan.

Bayi dan kanak-kanak tidak diberi imunisasi berisiko mendapat penyakit cegahan vaksin seperti demam campak, difteria dan lain-lain.

Komplikasi penyakit ini akan mengganggu pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak.

Kebanyakan penyakit berjangkit tidak mempunyai rawatan khusus dan boleh mengakibatkan kesan sampingan, komplikasi yang teruk, kekal dan kematian.

Sebagai contoh, kanak-kanak dijangkiti penyakit polio boleh mengalami masalah kelumpuhan kekal. Ia berpunca daripada virus polio yang menyerang sistem saraf.

Penyakit ini menular melalui tangan, makanan dan air yang tercemar dengan najis daripada orang yang dijangkiti penyakit itu. Biasanya ia menyerang sistem saraf ke otot dan ini boleh menyebabkan lumpuh.

Kadangkala polio menyerang otot pernafasan yang menyebabkan kesukaran bernafas dan ini boleh menyebabkan kematian.

Pelbagai penyakit berbahaya

Campak pula adalah penyakit disebabkan oleh virus 'measles' boleh menjangkiti sesiapa sahaja. Ramai melihat penyakit ini tidak serius tetapi ia boleh mengakibatkan komplikasi yang teruk seperti radang paru-paru, jangkitan otak (encephalitis), sawan, jangkitan telinga yang boleh menyebabkan pekak, jangkitan pada mata dan jika tidak dirawat boleh menyebabkan buta serta kematian.

Kematian paling berisiko berlaku dalam kalangan kanak-kanak terutama di bawah usia lima tahun dan yang mempunyai penyakit kronik.

Batuk kokol atau pertusis adalah penyakit berjangkit disebabkan bakteria Bordetella pertussis yang menjangkiti kerongkong dan saluran pernafasan, menyebabkan .

Batuk teruk, kerap muntah dan mungkin berlarutan sehingga tiga bulan. Kematian akibat penyakit ini kerap berlaku kepada bayi berumur bawah enam bulan.

Komplikasi batuk kokol yang teruk adalah sawan, pendarahan dalam mata, kerosakan atau radang paru-paru dan kerosakan atau radang selaput otak (meningitis).

Kanak-kanak menghidapi komplikasi akibat daripada menghidap penyakit cegahan vaksin ini perlu diberi perhatian serius kerana mereka berisiko mengalami masalah lain seperti kekurangan zat makanan, kurang daya tahan melawan penyakit lain, kurang aktif berbanding kanak-kanak lain, seterusnya akan mempengaruhi tumbesaran serta perkembangan kanak-kanak itu.

Kanak-kanak mengalami masalah gangguan tumbesaran berisiko bantut, seterusnya akan mengganggu atau melewatkan perkembangan tumbesaran kanak-kanak itu.

Nasihat kepada ibu bapa

Kini, negara memasuki fasa peralihan ke endemik yang menyaksikan hampir semua sektor dibuka semula bagi merancakkan kembali ekonomi. ini menyebabkan pergerakan individu semakin meningkat, maka risiko pendedahan jangkitan kepada pelbagai kuman juga akan meningkat.

Bayi dan kanak-kanak yang tercicir imunisasi, berisiko tinggi dijangkiti penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin.

Justeru, Kementerian Kesihatan (KKM), meminta ibu bapa dan penjaga memastikan anak menerima suntikan vaksin mengikut jadual.

Sekiranya tercicir imunisasi, lawati Klinik Kesihatan berhampiran untuk semakan dan penjadualan semua imunisasi.

Penulis adalah Pakar Perubatan Kesihatan Awam KKM

Berita Harian X