Sabtu, 21 Mei 2022 | 1:29pm
Pemeriksaan mata menilai pelbagai aspek penglihatan dan membantu kesan masalah mata. - Gambar hiasan
Pemeriksaan mata menilai pelbagai aspek penglihatan dan membantu kesan masalah mata. - Gambar hiasan

Selalu periksa mata elak buta kekal

SELEPAS lebih dua tahun menyesuaikan rutin bekerja dan belajar dari rumah, bersosial serta membeli-belah dalam talian, tanpa kita sedar penglihatan juga boleh terjejas terutama apabila kerap menatap skrin untuk jangka masa lama.

Sama seperti masalah jantung, penyakit paru-paru dan kesihatan mental, mata juga berisiko mengalami penyakit yang serius seperti katarak, glaukoma, retinopati diabetes, degenerasi makula yang berkaitan dengan penuaan dan banyak lagi jenis gangguan penglihatan yang lain.

Inilah sebabnya mengapa pemeriksaan mata harus dilakukan secara berkala untuk memastikan penglihatan kekal sihat.

Banci Mata Kebangsaan 2014 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia mengenal pasti 413,000 rakyat Malaysia berumur 50 tahun ke atas direkodkan mengalami beberapa jenis masalah penglihatan dan 113,000 daripada mereka menghadapi buta kekal dengan 43,000 kes disebabkan katarak yang mungkin boleh dicegah dengan pemeriksaan awal.

Justeru, orang dewasa berumur 18 tahun ke atas dinasihatkan menjalani perundingan dengan pakar optometris dua tahun sekali untuk pemeriksaan mata yang menyeluruh.

Jaga kesihatan mata

Kebanyakan penyakit berkaitan mata adalah pembunuh senyap dan tidak boleh dirawat jika tidak bertindak segera.

Orang dewasa mungkin tidak mempunyai sebarang masalah berkaitan penglihatan harus berjumpa pakar optometris sekurang-kurangnya dua tahun sekali untuk menjaga kesihatan penglihatan.

Namun, menghabiskan masa di depan skrin yang meningkat secara drastik ketika pandemik COVID-19 dan perubahan gaya hidup seharian, seharusnya kita mengutamakan kesihatan mata dengan memeriksa sekurang-kurangnya setahun sekali.

Menurut Optometris MOG Boutique, Yoyo Foong, jika memakai cermin mata atau kanta sentuh preskripsi, anda perlu menjadualkan pemeriksaan mata untuk menggantikan alat bantuan penglihatan sekurang-kurangnya sekali setiap dua tahun.

Yang tidak menggunakan sebarang alat bantuan penglihatan, harus mula menitikberatkan kesihatan mata dengan menjadualkan pemeriksaan mata untuk menjalani ujian penglihatan komprehensif dengan pakar optometris.

"Pemeriksaan mata menilai pelbagai aspek penglihatan dan membantu untuk mengesan masalah mata pada peringkat awal, iaitu apabila rawatan akan paling berkesan," katanya.

Berapa kerap buat pemeriksaan mata?

Beberapa faktor boleh menentukan kekerapan pemeriksaan mata termasuk umur, keadaan kesihatan semasa dan faktor genetik.

Optometris, oftalmologis dan optician boleh membantu mengesan dan mencegah penyakit mata. - Gambar hiasan
Optometris, oftalmologis dan optician boleh membantu mengesan dan mencegah penyakit mata. - Gambar hiasan

Anda boleh mengikuti garis panduan umum berdasarkan kumpulan umur seperti di bawah untuk menentukan kekerapan pemeriksaan dan lawatan ke pakar optometris.

 

1. Pemeriksaan mata untuk kanak-kanak

Perkembangan visual adalah pesat dalam tempoh enam bulan pertama bagi bayi kecil dan ia akan berterusan sehingga dekad pertama kehidupannya.

Dari seawal usia tiga bulan, bayi kecil boleh menjalani pemeriksaan mata menyeluruh untuk memastikan penglihatan berkembang dengan baik dan mengenal pasti sebarang masalah penglihatan.

Menjelang usia tiga hingga lima tahun, kanak-kanak boleh diperiksa oleh pakar optometris bagi mengenal pasti komplikasi atau sebarang penyakit penglihatan dengan lebih lanjut.

Pemeriksaan mata untuk kanak-kanak untuk mengesan atau mencegah penyakit mata daripada berkembang dan memupuk koordinasi penglihatan mereka.

Sama seperti berjalan atau bercakap, perkembangan penglihatan ialah kemahiran yang dipelajari yang membantu dalam pelaksanaan tugas harian seperti membaca, menangkap dan membaling bola.

Bagaimanapun, jika penglihatan kanak-kanak kurang berkembang, ia boleh menghalang kebolehan pembelajarannya.

Ramai tidak dapat mengesan sebarang tanda atau gejala pada peringkat awal penyakit mata dan kebanyakannya tidak menyedari usia adalah faktor utama mempengaruhi keadaan mata dan kesihatan penglihatan.

Penyakit berkaitan usia seperti degenerasi makula berkaitan penuaan (AMD) mungkin mula berkembang pada awal usia, jika ia tidak dikesan atau dirawat.

2. Utamakan kesihatan mata dengan melakukan seperti:

● Menghadapi masalah membezakan warna

● Memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan perubahan tahap cahaya

● Hilang keupayaan melihat dari dekat.

Jika alami gejala seperti di atas, buat temujanji untuk pemeriksaan mata dengan segera untuk menerima rawatan sesuai.

3. Masalah mata kalangan warga emas 

Terdapat empat penyakit mata akan mula berkembang apabila individu memasuki usia 50 hingga 65 tahun.

Iaitu AMD, retinopati diabetes, katarak dan glaukoma. Mereka berada dalam kumpulan umur ini dinasihatkan menjalani pemeriksaan berkala dengan pakar optometris setiap tahun supaya mata sentiasa baik.

Dengan risiko tinggi untuk mendapat penyakit berkaitan mata pada usia lebih tua, individu yang mempunyai sejarah keluarga atau keadaan kesihatan yang mungkin berpotensi menyumbang kepada penyakit mata perlu memulakan langkah berjaga-jaga.

Boleh buat pemeriksaan mata di hospital atau klinik yang boleh mendedahkan potensi penyakit mata melalui penilaian retina dan mengesan permulaan perkembangan jenis penyakit mata lain.

Walaupun ketiga-tiga optometris, oftalmologis dan optician boleh membantu mengesan dan mencegah penyakit mata, tanggungjawab utama terletak pada diri sendiri.

Penjagaan mata tidak rumit dan berikut beberapa perkara dilakukan untuk melindungi penglihatan:

● Amalkan pemakanan sihat dan seimbang

● Bersenam dengan kerap

● Pakai cermin mata hitam untuk melindungi sinaran sinaran ultraviolet (UV)

● Elakkan merokok

● Hanya beli kanta sentuh dari kedai optik yang boleh dipercayai

● Rehatkan mata (Teknik 20-20-20: Untuk setiap 20 minit di depan skrin, lihat sesuatu 20 kaki jauhnya selama 20 saat) lain dalam badan kita.

"Pakar optometris boleh mengesan penyakit mata, selain potensi risiko penyakit lain seperti kanser, diabetes, tekanan darah tinggi," tambah Yoyo Foong.

Berita Harian X