Ahad, 27 March 2022 | 11:00am
Urutan naikkan rahim selepas bersalin tidak perlu kerana rahim menguncup semula antara 10 hingga 60 hari. - Gambar hiasan
Urutan naikkan rahim selepas bersalin tidak perlu kerana rahim menguncup semula antara 10 hingga 60 hari. - Gambar hiasan
Rahim boleh menguncup sendiri dengan segera selepas proses bersalin.- Gambar hiasan
Rahim boleh menguncup sendiri dengan segera selepas proses bersalin.- Gambar hiasan

Sengkak rahim hanya mitos

URUTAN sengkak untuk tujuan 'menaikkan' semula rahim jatuh ketika berpantang selepas wanita bersalin tidak perlu kerana rahim boleh kembali menguncup dengan sendiri kepada kedudukan asal.

Namun, urutan sengkak cara tradisional sudah seakan antara amalan semasa berpantang dalam kalangan wanita selepas melahirkan bayi.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi Hospital Serdang, Dr Nurul Wahidah Wagimon, berkata rahim wanita selepas bersalin akan terus menguncup pada kedudukan di bawah pusat dan kembali kepada saiz asal antara 10 hari hingga ke 60 hari, iaitu selama wanita berada dalam keadaan nifas.

"Secara semula jadi rahim boleh menguncup sendiri dengan segera selepas proses bersalin.

"Dari sudut perubatan moden, ia adalah mitos jika urutan sengkak dikatakan boleh menaikkan semula rahim yang jatuh atau memperbaiki kecederaan pada otot selepas proses melahirkan.

"Sekiranya rahim tidak menguncup secara semula jadi selepas proses melahirkan, ia mungkin berpunca daripada beberapa faktor termasuk uri yang tidak dikeluarkan sepenuhnya ketika proses bersalin atau kelemahan proses penguncupan otot pada rahim.

Dr Nurul Wahidah Wagimon
Dr Nurul Wahidah Wagimon

"Faktor lain termasuk ada ketumbuhan pada rahim atau fibroid yang perlu dikesan lebih awal semasa kehamilan," katanya.

Perlu disesuaikan dengan perubatan moden

Menurut Dr Nurul Wahidah, ukuran rahim wanita ialah 5 hingga 7 sentimeter (sm) dan bagi yang pernah hamil, ia hanya bertambah 1 sm berbanding wanita yang tidak pernah melahirkan.

Ia berlaku disebabkan terdapat penambahan sel pada rahim semasa proses kehamilan dan pada minggu ke-12 kehamilan, rahim akan lebih besar melepasi kawasan tulang pubis dan ia dapat dirasai pada pemeriksaan luaran perut wanita hamil.

Mengenai amalan dijalani ibu selepas bersalin, Dr Nurul Wahidah menegaskan ia perlu selari dengan perkembangan dunia perubatan moden.

"Saya tidak kata semua amalan berpantang tiada manfaat, tetapi wanita hamil perlu memperkasakan diri dengan ilmu sebelum bergelar ibu.

"Mereka perlu mengambil kira beberapa amalan sewaktu berpantang disesuaikan dengan perubatan moden terutama kesihatan dalaman wanita untuk penjagaan kesihatan sepanjang hayat, bukan selepas proses bersalin sahaja," katanya.

Mengapa rahim jatuh?

Mengenai kondisi rahim jatuh, Dr Nurul Wahidah menjelaskan, ia boleh berlaku pada empat tahap.

Tahap satu membabitkan rahim turun sedikit tetap tidak melepasi lubang vagina atau introitus manakala tahap dua, rahim terkeluar sedikit iaitu kira-kira 1 sm dari introitus atau kurang 1 sm daripada introitus

Tahap tiga, berlaku apabila rahim keluar lebih banyak daripada introitus tetapi boleh dimasukkan kembali kepada kedudukan asal

Tahap empat, berlaku apabila rahim berada di luar introitus sepenuhnya atau turut dipanggil tombong.

Apabila otot pemegang rahim mengalami kecederaan akibat proses kelahiran, dalam jangka masa lama rahim tidak lagi dapat 'dipegang' supaya berada pada kedudukan asalnya dan menyebabkan berlaku kondisi rahim jatuh.

Selain berlaku pada wanita selepas bersalin rahim jatuh kebiasaannya dialami wanita selepas menopaus akibat kekurangan kadar hormon estrogen.

"Urutan sengkak tidak boleh memulihkan otot penyokong rahim rosak. Jika seseorang mengalami rahim jatuh tahap empat dan melakukan urutan rahim akan tetap jatuh.

"Isu utama ialah kelemahan pada sokongan otot rahim dan faktor kekurangan hormon estrogen selepas menopaus," katanya.

Pada tahap ini pakar akan mengajar pesakit memasukkan semula rahim yang jatuh secara manual.

Rawatan kemutan naikkan rahim

Pesakit akan disaran menjalani rawatan konservatif melalui kemutan pada otot pinggul atau senaman kegel serta pemakaian gelang (ring pessary) bagi menyokong rahim di kedudukan dalam vagina sebelum menyarankan pembedahan.

Dr Nurul Wahidah berkata, pemakaian gelang dilakukan bagi memastikan rahim terkeluar dimasukkan kembali ke dalam vagina dan memberi sokongan sementara pada rahim.

"Ini bagi mengelak kekeringan pada rahim yang terkeluar dan jangkitan kuman sekiranya terdapat perdarahan disebabkan kekeringan pada lapisan otot rahim yang terkeluar," katanya.

Masalah rahim jatuh yang serius pada tahap tiga dan empat, kebiasaannya boleh memberi impak kepada aktiviti seharian wanita.

Justeru, pesakit terutama yang lanjut usia dan menopaus dinasihat melakukan pembedahan bagi membuang rahim melalui vagina sekiranya rawatan konservatif menemui jalan buntu.

Untuk wanita muda, isu rahim jatuh biasanya berlaku kepada mereka yang mempunyai masalah 'connective tissue disease' bagaimanapun peratusannya sangat rendah.

"Bagi golongan ini, mereka boleh melakukan pembedahan khusus untuk memperkuat sokongan pada otot rahim tanpa membuang rahim kerana fungsi reproduktif rahim masih diperlukan untuk mendapat zuriat," katanya.

Posisi rahim wanita berbeza

Masih ramai keliru antara isu rahim jatuh dengan perbezaan variasi posisi rahim, iaitu rahim terkebelakang (retroverted uterus), rahim terkehadapan (anteverted uterus) dan posisi lebih terkebelakang (retroflexed uterus)

"Posisi rahim wanita berbeza dan ada masanya turut dipengaruhi faktor kewujudan endometriosis menyebabkan mengalami senggugut yang teruk setiap kali datang haid.

"Posisi terkebelakang, tidak boleh dibaiki melalui urutan sebaliknya, hanya boleh dibetulkan melalui pembedahan khusus" katanya.

Dr Nurul Wahidah berkata, urutan di bahagian rahim tidak boleh dilakukan sewenang-wenang terutama jika terdapat ketumbuhan atau bengkak berisi cairan pada ovari iaitu cyst kerana dikhuatiri menyebabkan pecah, terputar dan mengganggu aliran darah.

"Cyst tidak melekat di rahim tetapi berada di dalam ovari. Ia tidak boleh diurut kerana berisiko terputar dan akan menyebabkan gangguan aliran darah serta boleh menyebabkan kesakitan serius.

"Dalam hal ini pesakit perlu menjalani pembedahan secara kecemasan bagi mengelakkan sel pada ovari mati (gangrene)," katanya

INFO

Untuk menjaga rahim dengan baik dan pencegahan awal daripada rahim jatuh :

* Perlu badan ideal khusus jika ingin merancang kehamilan (tak obes).

*Amalkan gaya hidup sihat

*Kenal pasti kesihatan reproduktif termasuk kitaran haid

* Awasi jika berlaku pendarahan selepas hubungan intim

* Buat pap smear

* Risiko kecederaan otot sokongan pada rahim boleh berlaku sepanjang kehamilan dan semasa bersalin.

* Risiko rahim jatuh seperti batuk berpanjangan dan angkat barang berat

* Senaman kegel digalakkan elak risiko rahim jatuh.

* Sentiasa jaga kesihatan

Berita Harian X