Rabu, 2 March 2022 | 10:30am
Narsistik boleh beri impak negatif kepada kesihatan mental jika terus terbawa-bawa personaliti itu. - Gambar hiasan
Narsistik boleh beri impak negatif kepada kesihatan mental jika terus terbawa-bawa personaliti itu. - Gambar hiasan

Tak boleh ditegur, simptom penyakit mental

PERNAH anda berdepan dengan individu yang sentiasa merasakan dirinya betul, tidak mahu menerima pandangan orang lain dan memiliki sifat empati yang rendah dalam hampir semua perkara.

Jika ya, itu tandanya mereka mempunyai personaliti atau karakter yang dikaitkan sebagai gejala narsistik atau Narcissistic Personality Disorder (NPD).

Nampak seperti perkara remeh dan tuan punya badan tidak hirau dengan keadaan dirinya, sebaliknya individu berada di sekelilingnya akan rasa rungsing dan mungkin menyebabkan hubungan renggang.

Bagi pemilik personaliti itu ia boleh memberi impak negatif kepada kesihatan mental yang serius sekiranya terus terbawa-bawa dan tidak ditangani sebaiknya.

Gangguan personaliti narsistik antara isu mental yang sangat susah dirawat kerana pesakit lazimnya menganggap personaliti mereka bukan suatu masalah kerana ia tidak memberi kesan buruk kepadanya secara langsung.

Menyebabkan kemurungan

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) dan Pakar Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Hanina H Hamsan, berkata secara umum di dalam psikologi terdapat lima jenis personaliti, iaitu mempunyai sikap terbuka (openess), mempunyai kesedaran (conscientiousness), bersifat sosial (extraversion), berpendapat sama (agreeable) dan bersifat narsistik (neuroticism).

Dr Hanina H Hamsan
Dr Hanina H Hamsan

Katanya, daripada lima jenis personaliti disenaraikan, narsistik adalah satu karakter yang mudah untuk mendapat tekanan dan kemurungan berikutan tidak semua orang boleh menerima pandangan yang disampaikan.

"Bagi orang dengan personaliti narsistik ini, mereka menganggap dirinya sahaja yang betul dan orang lain semua salah.

"Tingkah laku ditonjolkan sentiasa mudah untuk menyalahkan orang lain sebab dia ada spesifikasinya yang tersendiri," katanya.

Sukar ditegur

Dr Hanina yang juga pakar psikologi komuniti berkata, paling ketara untuk melihat individu mempunyai personaliti seperti ini ialah mereka susah untuk mendengar arahan sebaiknya.

Pada masa sama, mereka suka menyalahkan orang lain, sukar menerima pandangan orang kerana berpandangan bahawa idea yang diutarakan adalah sempurna, namun ia hanya berdasarkan idealistik bukannya realistik.

"Disebabkan ciri-ciri itulah, apabila individu personaliti narsistik ini ditegur, mereka tidak dapat menerima hakikat bahawa itu adalah satu kesilapan.

"Apabila kesilapan dan teguran demi teguran diterima, ia akhirnya mendorong kepada kemurungan," katanya.

Tahun lalu, pernah tular di laman sosial mengenai kajian daripada seorang pengguna Facebook yang mendakwa selebriti popular, sebenarnya mempunyai gejala narsistik ini.

Dalam kajian itu, lelaki terbabit mendakwa tahap NPD selebriti itu berada pada 'aras tinggi' berdasarkan beberapa kenyataan yang pernah diberikan terhadap media.

Namun, perkara itu enggan diambil pusing oleh selebriti berkenaan kerana merasakan ia adalah satu isu yang remeh.

Sebenarnya personaliti narsistik ini bukanlah terjadi secara semula jadi, sebaliknya ia dibentuk oleh ibu bapa seawal usia kanak-kanak.

"Ibu bapa memainkan peranan utama dalam pembentukan karakter anak ini kerana jika tidak pernah menegur apabila anak melakukan kesilapan, ia boleh mengundang terjadinya personaliti narsistik lebih ketara," katanya.

Memudaratkan kepada insan lain

Beliau berkata, budaya juga antara faktor yang mempengaruhi karakter itu kerana sekiranya ibu bapa terlalu memuji anak-anak, mereka akan berasa semua perkara atau tindakan dilakukan perlu mendapat pujian daripada sesiapa.

Narsistik adalah karakter yang mudah untuk mendapat tekanan dan kemurungan. - Gambar hiasan
Narsistik adalah karakter yang mudah untuk mendapat tekanan dan kemurungan. - Gambar hiasan

"Anak-anak dengan personaliti narsistik ini kemudian hari akan berdepan dengan masalah kerana sepanjang bersama keluarga, mereka tidak ada pengalaman ditegur sama sekali," katanya.

Namun, personaliti narsistik juga boleh terhasil sekiranya ibu apa tidak peduli anaknya di mana kemudian hari mereka akan terlalu menghargai diri secara berlebihan.

"Apabila personaliti ini tidak dikawal dan hingga memudaratkan rakan sekeliling, organisasi di tempat kerja, ia boleh berubah menjadi serius hingga membahayakan diri dan orang lain," katanya.

Penyakit mental tanpa disedari

Mengulas lanjut, beliau berkata dari sudut gangguan kepada orang lain, ia sebenarnya menjadi sumber tekanan kepada orang sekeliling dengan sikapnya, manakala bagi dirinya, akan tertekan dan akhirnya perlu mendapatkan rawatan pakar psikologi atau psikiatri.

"Ciri-ciri individu itu semakin teruk apabila dia tidak mahu bercampur dengan orang, buat hal sendiri dan paling teruk mencederakan diri sendiri atau orang lain," katanya.

Biarpun ia boleh dikategorikan sebagai penyakit mental tanpa disedari, namun ia sebenarnya boleh dirawat secara langsung dengan pelbagai kaedah.

Dr Hanina berkata, perlu ada kemahiran 'tarik tali' dalam menegur individu narsistik ini kerana ia bukan mudah kerana mereka perlu ditegur secara logik dan mempunyai fakta.

"Emosi adalah perkara utama yang perlu dimainkan apabila berdepan dengan individu narsistik ini kerana jika emosi mereka tidak stabil, ia tidak memberi keputusan yang baik.

"Malah mereka akan lebih cenderung menghadapi masalah mental yang tinggi disebabkan kemurungan, tekanan dan kebimbangan melampau.

"Namun lebih baik sekiranya individu narsistik itu sendiri dapat memahami mengapa perkara itu terjadi dan boleh dapatkan rujukan daripada mereka rapat atau bertauliah," katanya.

Bagaimanapun, jalan terakhir jika keadaan bertambah serius adalah mendapatkan rawatan pakar dengan pengambilan dos tertentu.

"Tahap pulih itu subjektif bergantung kepada kesediaan diri sendiri untuk berubah," katanya.

INFO:

Gangguan Personaliti Narsistik (NPD):

* Sejenis gangguan mental dikategorikan di bawah masalah gangguan personaliti

* 'Self-centered' tidak mempedulikan orang lain

* Meminta perhatian orang dan pujian

* Menyusahkan orang lain

* Pantang terima kritikan

* Hidup dalam fantasi sendiri

Berita Harian X