Ahad, 30 Januari 2022 | 1:06pm
Mata palsu diperbuat daripada silikon manakala dan bola mata plastik akrilik dicampur dengan beberapa bahan lain untuk ganti mata asal. - Foto/Ihsan Dr Fadzlina Abd Kari
Mata palsu diperbuat daripada silikon manakala dan bola mata plastik akrilik dicampur dengan beberapa bahan lain untuk ganti mata asal. - Foto/Ihsan Dr Fadzlina Abd Kari
Organ tubuh individu rosak akibat barah atau cacat sejak dilahirkan digantikan anggota palsu dengan kaedah rostesis maksilofasial.- Gambar hiasan
Organ tubuh individu rosak akibat barah atau cacat sejak dilahirkan digantikan anggota palsu dengan kaedah rostesis maksilofasial.- Gambar hiasan

Organ tubuh diganti dengan anggota palsu

Puluhan tahun sebelum ini, pesakit yang 'kehilangan' anggota bahagian muka akibat pelbagai faktor termasuk barah dan kemalangan terpaksa hidup dalam keadaan cacat dengan rongga terbuka.

Ada berjaya menutup rongga terbuka secara pembedahan dengan menampal bahagian itu dengan kulit diambil dari bahagian tubuh lain.

Situasi itu menyebabkan pesakit tidak selesa dan emosi terganggu kerana merasakan diri tidak lagi sempurna sekali gus menjejaskan hubungan sosial, malah lebih malang ada yang hilang pekerjaan.

Namun, dengan kepakaran perubatan mampu menggantikan dengan organ muka palsu yang disebut sebagai prostesis maksilofasial.

Tujuannya menggantikan anggota yang tiada seperti mata, telinga, hidung, gigi dan rahang terpaksa dibuang atau mengalami kecacatan sejak dilahirkan diperbaiki.

Pakar Klinikal Prostodontik dan Maksilofasial Prostesis Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Dr Fadzlina Abd Karim, berkata walaupun anggota palsu tidak dapat dibuat 100 peratus sama seperti asal, ia dapat memberi keyakinan semula kepada pesakit.

Katanya, yang penting mampu menutup semula rongga yang terbuka seperti bahagian hidung, mata atau mulut berikutan tiada pembuatan anggota sedemikian sebelum ini, selain dapat mengembalikan sebahagian fungsi organ itu.

"Dalam tempoh 10 tahun ini, kira-kira 80 peratus pesakit rawatan muka palsu membabitkan pesakit barah termasuk barah mata, mulut dan hidung.

"Rawatan itu juga membabitkan pesakit yang kehilangan anggota disebabkan kemalangan jalan raya atau akibat disimbah asid memerlukan mereka menggunakan anggota palsu," katanya.

Perlu tukar prostesis selepas lima tahun

Beliau berkata, anggota palsu diperbuat daripada silikon manakala bagi bola mata, adalah plastik akrilik yang dicampur dengan beberapa bahan lain seperti pewarna bersesuaian dengan kulit pesakit.

Setakat ini, bahan itu tidak memberikan kesan kepada pesakit termasuk gam untuk melekat anggotanya.

"Setiap hari pesakit perlu buka dan mencuci anggota palsu. Seperti prostesis bola mata. Mereka tidak boleh pakai 24 jam dan perlu sentiasa dicuci bagi mengelak kekotoran yang menyebabkan jangkitan kuman atau fungus.

"Proses sama babitkan prostesis telinga dan hidung. Sebelum digunakan semula, gam harus diletakkan supaya melekat pada bahagian diperlukan.

"Dalam tempoh lima tahun anggota palsu perlu menukar prostesis baharu kerana sudah tidak sesuai lagi, akibat perubahan pada tisu sekeliling seperti pengecutan tisu parut.

"Bagi pesakit kanak-kanak, mereka perlu kerap menukar anggota palsu antara tiga sehingga empat tahun sekali kerana faktor tumbesaran," katanya.

Walaupun fungsi mata untuk melihat tidak dapat dikembalikan semula, namun ia masih dapat membantu pesakit tampil dengan keyakinan.

Bagi pembuatan gigi dan rahang palsu, ia masih mampu membantu mengembalikan fungsinya seperti makan dan pertuturan.

"Begitu juga bahagian hidung. Prostesis hidung masih dapat berfungsi untuk bernafas apabila rongga liang hidung dibuat bagi tujuan pernafasan," katanya.

Dr Fadzlina Abd Karim
Dr Fadzlina Abd Karim

Dr Fadzlina berkata, anggota palsu mampu disiapkan dalam tempoh dua sehingga empat minggu bergantung kepada jenis dan kesukaran defek kecacatan anggota pesakit, selepas mengambil acuannya.

Katanya, acuan itu kemudian dibuat ukiran dan pengukuran anggota menggunakan lilin sebelum diproses dalam bentuk silikon dan dimasukkan pewarnaan sesuai dengan kulit pesakit.

Proses membuat anggota palsu hanya boleh dibuat selepas pesakit selesai menjalani pembedahan dan tisu sembuh atau stabil.

"Bagi pesakit barah, mereka perlu menjalani pembedahan membuang sel kanser terlebih dahulu dan menjalani sama ada kemoterapi atau radioterapi bergantung tahap serta dan jenis barah.

Dr Fadzlina berkata, pembuatan anggota palsu masih baharu di Malaysia, justeru masih ramai pesakit terutama pesakit barah, hidup dengan keadaan rongga terbuka.

Katanya, seorang pesakitnya menjalani pembedahan membuang rahang atas serta hidung akibat barah dalam mulut dan hidup dalam keadaan rongga terbuka kira-kira lima tahun dengan hanya menutup mulut dan hidung menggunakan tisu atau kapas setiap kali keluar rumah.

"Keadaan itu membuatkan pesakit tidak dapat berkomunikasi dengan baik akibat sengau, malah ada yang hilang pekerjaan, namun kemudian dia membuat anggota palsu.

Membuat anggota palsu membabitkan pesakit kanak-kanak lebih sukar. Beliau pernah menerima pesakit paling muda, iaitu berusia setahun yang menghidap menghidap barah mata dan usia.

"Kanak-kanak perlu ke dewan bedah untuk ditidurkan bagi memudahkan proses mengambil impresi acuan dan pengukuran serta pemasangan anggota palsu.

"Ini kerana dalam usia sedemikian sukar untuk mereka memberi kerjasama kerana proses berkenaan bukan sesuatu yang mudah dan boleh dikatakan amat rumit," katanya.

Sebelum memulakan proses rehabilitasi atau membuat anggota palsu, pihaknya perlu mendapat kerjasama daripada pakar lain termasuk pakar bedah mulut dan maksilofasial; pakar bedah plastik dan rekonstruktif; pakar bedah mata (Opthalmologi); pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) serta beberapa pakar lain.

Pesakit perlu hadir temujanji klinik yang ada semua pakar berkenaan sebelum pembedahan dan memaklumkan kepada pesakit hasil akhir pembedahan, iaitu bakal kehilangan anggota.

"Tugas saya bermula dengan beri penerangan kepada pesakit kaedah rehabilitasi selepas pembedahan, iaitu memaklumkan menggantikan anggota palsu yang dibuang akibat barah atau kemalangan," katanya.

Ada pesakit dapat menerima dan ada sebaliknya selepas diberitahu anggota atau organ pada wajah digantikan dengan anggota palsu.

Selepas mendapatkan anggota palsu, pesakit perlu datang semula ke hospital untuk menjalani beberapa prosedur lagi sebelum menggunakannya.

Puas hati dapat anggota baharu

Secara umum, kebanyakan mereka sangat berpuas hati dan positif serta dapat menerima keadaan dialami.

Justeru, beliau amat berharap lebih ramai pesakit yang kehilangan anggota terutama bahagian muka sebelum ini, tampil untuk mendapatkan anggota palsu ini supaya dapat menambah keyakinan dalam hidup.

Walaupun anggota palsu tidak dapat berfungsi seperti asal, tetapi dari aspek estetik ia tetap membantu memberikan semangat kepada pesakit supaya tidak rendah diri dengan kekurangan dialami.

"Saya berharap pembuatan anggota palsu bahagian muka dapat diperluaskan di seluruh negara.

"Kini hanya beberapa institusi atau hospital ada perkhidmatan pembuatan prostesis muka, namun tidak secara menyeluruh," katanya sambil menjelaskan turut menerima pesakit dari luar negara termasuk Indonesia, Singapura, Iraq, Libya dan Somalia.

Berita Harian X