X
Rabu, 15 Disember 2021 | 3:40pm
(Dari kiri) Cef Selebriti, Cef Zam; Eksekutif Hal Ehwal Perubatan & Pemakanan, Nestlé Health Science Malaysia, Rachel Liu; Timbalan Dekan & Dietitian Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan UPM, Prof Madya Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof dan hos, Penerbit Eksekutif dan Penyampai Berita Edisi7, Datin Seri Fazilah Hani Harun pada Program Bicara BH: Pradiabetes - Peluang Anda Mencegah Risiko Diabetes. - FOTO Facebook BH Online
(Dari kiri) Cef Selebriti, Cef Zam; Eksekutif Hal Ehwal Perubatan & Pemakanan, Nestlé Health Science Malaysia, Rachel Liu; Timbalan Dekan & Dietitian Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan UPM, Prof Madya Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof dan hos, Penerbit Eksekutif dan Penyampai Berita Edisi7, Datin Seri Fazilah Hani Harun pada Program Bicara BH: Pradiabetes - Peluang Anda Mencegah Risiko Diabetes. - FOTO Facebook BH Online

Satu daripada lima rakyat Malaysia hidup dengan pradiabetes

PEMANTAUAN awal dan peka mengenai paras gula dalam darah amat perlu bagi mencegah serta mengehadkan komplikasi diabetes.

Ini berikutan, 23.6 peratus rakyat Malaysia tidak menyedari mereka mempunyai pradiabetes dengan kondisi lain seperti paras kolestrol yang tinggi, hipertensi serta berat badan berlebihan.

Pradiabetes adalah keadaan kesihatan serius yang mana paras gula darah lebih tinggi daripada julat normal namun tidak cukup tinggi untuk didiagnos sebagai Diabetes Jenis 2.

Sekiranya pradiabetes tidak didiagnos dan diurus dengan betul, ia boleh mengakibatkan individu mendapat Diabetes Jenis 2 lebih cepat dan memberi kesan kepada kesihatan jantung, salur darah, mata dan buah pinggang.

Timbalan Dekan & Dietitian, Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan UPM, Prof Madya Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof berkata punca utama yang menyumbang peningkatan kes pradiabetes ialah berat badan berlebihan iaitu kegemukan dan obesiti.

"Peningkatan berat badan menyebabkan keupayaan badan untuk menghadam karbohidrat menjadi lebih sukar dan keadaan ini dikenali sebagai rintangan insulin.

"Keadaan ini mengganggu keberkesanan insulin dalam memastikan aras gula darah tubuh menjadi stabil setiap kali selepas makan.

"Apa yang lebih membimbangkan, satu dalam dua rakyat Malaysia mengalami isu berat badan berlebihan dan ini adalah antara faktor yang boleh menyebabkan pradiabetes.

Walau bagaimanapun, Dr Nisak, menyatakan mereka yang mengalami pradiabetes berpeluang memulihkan kondisi ini sekali gus mencegah Diabetes Jenis 2.

"Pradiabetes boleh diurus dan dipulihkan dengan membuat perubahan gaya hidup dan kekalkan perubahan ini selama-lamanya.

Walaupun mengubah gaya hidup adalah 'perjuangan' yang sukar terutama apabila membabitkan usaha menurunkan berat badan, Dr Nisak, berkata penting untuk individu merangka pelan perubahan gaya hidup lebih sihat dan berstruktur.

"Langkah awal adalah dengan mempunyai kesedaran dan menyaring faktor risiko terutama jika individu mempunyai sejarah keluarga menghidap diabetes.

"Sokongan keluarga dan rakan juga penting dalam memastikan seseorang terus komited serta konsisten dalam usaha mengubah gaya hidup terutama dalam mengamalkan corak pemakanan sihat," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Bicara BH: Pradiabetes - Peluang Anda Mencegah Risiko Diabetes, yang disiarkan secara langsung melalui Facebook BH Online, Khamis lalu.

Dihoskan oleh Penerbit Eksekutif dan Penyampai Berita Edisi7, Datin Seri Fazilah Hani Harun, ia turut dihadiri cef selebriti, Cef Zam dan Eksekutif Hal Ehwal Perubatan & Pemakanan, Nestlé Health Science Malaysia, Rachel Liu.

Pulih pradiabetes, cegah diabetes

Image

Dr Nisak berkata, terdapat lima langkah yang perlu diambil bagi memulihkan pradiabetes.

"Pertama, menurunkan berat badan lima sehingga sepuluh peratus atau purata lapan peratus daripada berat asal.

"Kedua, tingkatkan pengambilan serat seperti sayuran, beras perang, buah-buahan, oat serta kekacang dalam pemakanan.

"Ketiga, mengurangkan pengambilan lemak. Keempat, mengurangkan pengambilan gula dan kelima bersenam sekurang-kurangnya 150 minit seminggu."

Dr Nisak turut menyeru kepada orang ramai untuk cakna dengan risiko untuk mereka mengalami prediabetes, seterusnya mengambil langkah bagi memulihkan kondisi ini serta mengurangkan risiko mendapat diabetes.

Saringan risiko pradiabetes

Image

Sementara itu, Eksekutif Hal Ehwal Perubatan & Pemakanan, Nestlé Health Science Malaysia, Rachel Liu berkongsi Nestlé Scientific Health Malaysia tampil melancarkan laman sesawang mengenai pradiabetes.

Ia bertujuan meningkatkan kesedaran kepada masyarakat serta memberi maklumat mengenai prediabetes. Orang ramai boleh mengetahui tahap risiko pradiabetes menerusi https://www.nutrendiabetes.my/.

"Rakyat Malaysia terutama mereka yang mempunyai berat badan berlebihan, darah tinggi, masalah kolestrol serta mempunyai sejarah keluarga menghidap diabetes boleh melakukan saringan risiko pradiabetes secara percuma.

"Orang ramai turut akan diberikan cadangan pelan pemakanan yang bersesuaian berdasarkan keputusan saringan yang terbahagi kepada tiga iaitu berisiko rendah, sederhana dan tinggi.

Rachel berkata, individu yang berisiko sederhana dan tinggi turut disyorkan untuk berjumpa dengan doktor bagi tindakan lanjut untuk mengawal pradiabetes.

Penggantian pemakanan

Dr Nisak berkata, kajian klinikal yang dijalankan di luar negara mendapati penggunaan produk mesra glukosa sebagai pengganti hidangan dapat membantu mencapai penurunan berat badan secara signifikan.

"Dengan produk mesra glukosa, individu dapat menurunkan berat badan dengan signifikan serta mendapat zat makanan yang lengkap dalam tempoh tertentu seterusnya memulihkan masalah pradiabetes yang dialami."

Beliau turut menekankan, mana-mana individu yang ingin menurunkan berat badan perlu mendapatkan konsultasi pakar bagi memulakan program penggantian makanan.

Cef selebriti tanah air, Cef Zam pula berkongsi cadangan hidangan untuk rakyat Malaysia yang sentiasa sibuk dengan jadual harian namun ingin kekal mengamalkan diet sihat.

"Salah satu cara mudah ialah dengan memasak satu juadah dalam kuantiti yang banyak, bekukan, panas dan tambah sesuatu yang berbeza setiap kali hendak dimakan bagi memberikan rasa berbeza.

"Contoh paling mudah ialah overnight oat yang mana selain menggunakan buah-buahan, kita juga boleh tambah sambal ikan bilis untuk memberi rasa sedap dan berbeza," katanya.

Menurut Cef Zam lagi, mereka yang mempunyai pradiabetes juga mempunyai banyak pilihan resipi dan hanya perlu menggantikan sesetengah bahan dengan produk mesra glukosa seperti Nutren.

Ditanya lebih lanjut mengenai Nutren, Rachel berkata produk itu mesra glukosa dan sesuai dijadikan pengganti hidangan.

Image

"Pengguna boleh mengambil sebagai gantian hidangan utama seperti sarapan pagi atau makan malam dengan cara paling mudah iaitu hanya bancuh tujuh sudu Nutren dengan 210 milimeter air.

"Nestlé Scientific Health Malaysia turut bakal melancarkan Nutren Glucosmart sebagai pelengkap makanan dan bagi mengawal pemakanan bagi penghidap diabetes.

"Pengguna hanya perlu bancuh empat sudu Nutren Glucosmart bersama 150 milimeter air atau boleh juga ditaburkan ke dalam masakan mereka," katanya.

Layari laman sesawang https://www.nutrendiabetes.my/ dan lakukan saringan risiko pradiabetes segera.

Berita Harian X