KULIT licin, mulus, kemerah-merahan, bebas pigmentasi dan garisan kedutan tidak akan dimiliki individu sepanjang masa.
Sebaliknya peningkatan usia menjadikan keanjalan kulit yang melindungi otot serta organ manusia semakin berkurangan.
Menurut portal MyHealth Kementerian Kesihatan (KKM), kulit terbentuk daripada tiga lapisan iaitu lapisan pertama dipanggil epidermis, yang terbentuk daripada keratin yang keras.
Lapisan kedua dipanggil dermis yang mengandungi kolagen, fibroblas dan gentian kenyal.
Bahagian lapisan ketiga pula meliputi sel lemak iaitu tisu di bawah kulit tisu subkutaneus yang berfungsi sebagai penghalang untuk mempertahankan kemasukan bahan berbahaya dan mikro organisma.
Pakar Estetik, Dr Abdul Jamil Jamal Buhari, berkata kadar kolagen yang juga berperanan untuk mengekalkan kulit awet muda, kenyal dan kewujudan garisan halus secara berperingkat pula akan semakin berkurangan bermula usia 25 tahun ke atas.
Kolagen bertindak sebagai protein dan mempengaruhi kekukuhan serta keanjalan kulit.
"Pastinya, kolagen akan semakin menyusut jumlah dan penghasilannya ketika berusia 25 tahun dan ke atas, anggaran penurunan adalah 1.5 peratus setiap tahun.
"Penjagaan sempurna seawal usia berkenaan mampu memelihara keanjalan kulit, namun tidak semua mengikut langkah rejim kecantikan sepatutnya," katanya.
Elak kulit semakin 'menua'
Justeru, kulit perlu dilindungi daripada panahan cahaya matahari dan menggunakan krim pelindung tabir suria dengan SPF 50 yang membantu menghalang sinaran ultra ungu (UV) menembusi kulit mengakibatkan pelbagai masalah kulit.
Namun, beliau berkata, pelbagai faktor persekitaran dengan tidak mengamalkan gaya hidup menyebabkan kulit semakin menua.
Banyak kaedah memastikan kulit anjal terutama apabila individu mencecah usia 35 tahun ke atas dan seterusnya hingga melangkaui usia warga emas.
Apakah rawatan itu? Katanya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, industri estetik menyaksikan pertumbuhan pesat untuk manfaat kulit termasuk berupa produk berupa krim dan pil untuk kekalkan kulit cantik, selain suntikan bagi mendapatkan hasil lebih cepat.
Namun, ada rawatan menggunakan laser untuk merangsang kolagen yang semakin menurun.
Antaranya penggunaan Tru Scuplt Laser, yang membantu menyalurkan tenaga laser dikenali sebagai 'Long Pulse Nd YAG', iaitu menfokus secara terperinci merawat lapisan asas struktur SMAS (superficial muscular aponeurotic system) tanpa mengganggu permukaan kulit.
"Menerusi rawatan laser ia membantu merangsang kolagen dan memperbaharui sel-sel kulit.
"Ia juga bertindak balas secara semula jadi pada kulit untuk merangsang pertumbuhan kolagen baru yang segar," katanya.
Ketika rawatan cahaya laser dengan kepanasan tertentu akan diarahkan pada kulit di seluruh muka dan tumpuan pada garisan senyuman dan bawah dagu untuk menganjalkan kulit.
"Sesetengah pesakit melihat kesan awal selepas rawatan mereka. Keputusan sebenar muncul secara semula jadi dalam tempoh dua hingga tiga minggu dengan wujudnya kolagen baharu sekali gus akan menegangkan dan mengetatkan kulit.
"Setiap orang adalah unik, doktor boleh memetakan pelan rawatan dengan menyasarkan kedalaman kulit yang berbeza, bergantung kepada anatomi kulit setiap individu.
"Rawatan ini boleh dilakukan antara setiap dua minggu dan diulangi sehingga lima minggu untuk mendapatkan kesan efektif.
"Rawatan hanya dalam tempoh kurang setengah jam dan tidak memberi kesan sampingan seperti kulit merah, mengelupas dan sebagainya.
"Malah, rawatan ini bukan saja sesuai untuk wajah, ia juga membantu tubuh lain seperti payudara, perut dan pinggul serta bahagian berlemak yang mengeleber menjadi kulit lebih anjal," katanya.
Info: Tanda dan gejala penuaan kulit:
Apakah itu struktur kulit?
Kulit terbentuk daripada 3 lapisan.
Ia mengandungi collagen, fibroblast dan elastic fibers
Ia dipenuhi dengan hujung saraf dan salur darah, dan ini menyuburkan epidermis
Ia mengandungi kelenjar minyak (sebaceous glands) dan kelenjar peluh. Kelenjar minyak menghasilkan sebum iaitu sejenis bahan yang berminyak
Sumber Myhealth KKM