Sabtu, 7 November 2020 | 8:44pm

Trend penyakit kanser paru-paru

KANSER paru-paru adalah antara kanser ketiga tertinggi dikesan dalam kalangan rakyat Malaysia dengan ia antara kanser manusia paling agresif.

Hampir 10 peratus jumlah kanser adalah disebabkan oleh kanser paru-paru.

Ramai beranggapan kanser paru-paru adalah penyakit yang hanya dihidapi perokok, sekali gus menyebabkan segelintir mengabaikannya dengan andaian mereka tidak berisiko menghidapnya.

Kanser ini juga kerap berlaku dalam kalangan lelaki dan ketiga paling lazim bagi golongan wanita, selain paling dibimbangi kerana 90 peratus pesakit didiagnosis pada peringkat lanjut, iaitu tahap tiga dan empat. Ia juga menjadi punca utama kematian akibat kanser di seluruh dunia, selain menyumbang satu daripada lima maut akibat kanser.

Penyakit ini tidak mempunyai banyak perbezaan berbanding barah lain, kanser paru-paru terbentuk apabila sel paru-paru normal mengalami beberapa peringkat perubahan atau mutasi, membesar dan tumbuh tanpa kawalan. Dalam kebanyakan kes, sel kanser boleh merebak ke organ atau struktur berdekatan dengannya dan seterusnya ke anggota lain seperti nodus limfa, hati, tulang hingga otak dengan keadaan itu dipanggil metastasis.

Kanser merebak ke seluruh badan

Pakar Perunding Respiratori dan Perubatan Am Pantai Hospital Kuala Lumpur, Dr Lily Diana Zainudin, berkata kanser paru-paru merujuk kepada kanser yang terbentuk dalam tisu paru-paru, atau saluran udara.

Katanya, kanser paru-paru secara amnya terbahagi kepada dua jenis utama, iaitu kanser paru-paru bukan sel kecil (non-small cell lung cancer NCLC), merangkumi hampir 85 hingga 90 peratus, dan selebihnya 10 hingga 15 peratus berpunca daripada kanser paru-paru sel kecil (small cell lung cancer-SCLC).

"Tiga subjenis utama kanser paru-paru bukan sel kecil (NSCLC) pula ialah adenokarsinoma, karsinoma sel skuamus, dan karsinoma sel besar (large cell)," katanya.

Menentukan subjenis kanser paru-paru adalah penting bagi menentukan prognosis dan rawatan kemoterapi kepada pesakit.

Pakar Perunding Respiratori dan Perubatan Am Pantai Hospital Kuala Lumpur, Dr Lily Diana Zainudin. - NSTP/Rohanis Shukri
Pakar Perunding Respiratori dan Perubatan Am Pantai Hospital Kuala Lumpur, Dr Lily Diana Zainudin. - NSTP/Rohanis Shukri

Jumlah kes baharu meningkat

Sebelum ini, bilangan kes baharu kanser dikesan sepanjang lima tahun dilaporkan meningkat, antara tahun 2012 hingga 2016. Ia meningkat kepada 115,238 kes berbanding 103,507 kes bagi tempoh sama pada 2007 hingga 2011.

Malah, kadar insiden penyakit kanser adalah sebanyak 86 kes bagi setiap 100,000 populasi lelaki dan 102 kes bagi setiap 100,000 populasi wanita.

Statistik itu berdasarkan laporan lima tahun kedua, Malaysia National Cancer Registry Report 2012-2016 (MNCRR) terbitan Institut Kanser Negara.

Kanser paru-paru perokok pasif meningkat

Dr Lily Diana berkata, situasi paling menarik perhatian ketika ini adalah peningkatan pesakit kanser paru-paru dalam kalangan perokok pasif, berpunca daripada menghidu asap rokok bagi golongan yang tidak merokok.

"Trend penyakit ini dalam kalangan perokok pasif semakin meningkat, selain mereka adalah kelompok sering terdedah kepada bahaya asap rokok ketika berada di restoran, pejabat atau lokasi tumpuan awam.

"Ramai tidak sedar asap rokok dihembus lebih berbahaya daripada disedut ketika perokok aktif sedang merokok," katanya.

Kajian menunjukkan peningkatan kanser paru-paru di kalangan wanita yang tidak merokok tetapi berkahwin dengan pasangan yang merokok sebanyak 27 peratus lebih tinggi.

Rawatan pesakit

Mengenai jenis rawatan untuk pesakit, beliau berkata, pilihan rawatan utama bergantung pada peringkat penyakit kanser itu, keadaan fizikal pesakit dan fungsi pernafasan individu terbabit.

"Antara rawatan bagi penyakit ini adalah pembedahan, kemoterapi, radioterapi dan imunoterapi. Rawatan paliatif diberi kepada peringkat terakhir kanser.

"Rawatan paliatif bermaksud memberi rawatan bagi mengurangkan gejala atau simptom, kesakitan, ia bukanlah rawatan penyembuhan," katanya.

Simptom kanser paru-paru

• Batuk terutamanya yang berpanjangan atau susah sembuh.

• Sakit dada.

• Sesak nafas.

• Batuk berdarah.

• Rasa letih.

• Berat badan susut tanpa sebab.

• Pneumonia atau jangkitan kuman diparu-paru yang berulang-ulang

Kebanyakan pesakit kanser paru-paru tidak mengalami simptom sehingga kanser itu mencapai peringkat lanjut, tahap 3 dan 4, dalam 80 hingga 90 peratus situasi.

Faktor risiko

• Merokok - 80 peratus kematian akibat kanser paru-paru disebabkan tabiat merokok.

• Asap perokok.

• Asbestos - Istilah generik bagi kumpulan serat mineral bak benang yang lembut yang mempunyai sifat ketahanan mekanikal, haba dan kestabilan kimia.

• Bahan lain di tempat kerja (seperti sinaran mengion, logam nikel atau bahan kimia lain.

• Pencemaran udara contohnya asap diesel dari ekzos kenderaan.

• Terapi sinaran terhadap paru-paru yang diberi bagi kanser terdahulu, contohnya kanser payudara.

• Bahan kimia arsenik .

* Radon - gas radioaktif terhasil secara semula jadi di sekeliling kita. Ia boleh dijumpai dalam tanah, batu-batan dan air dalam tanah.

Gas radon adalah gas tidak berwarna atau berbau. Agak susah untuk mengenal pasti sama ada terdapat gas radon di rumah atau tidak kecuali kita ada peralatan khas untuk menguji kehadiran gas itu.

• Gas radon akan terurai pada partikel kecil dan boleh terkumpul dalam paru-paru dan melepaskan radiasi. Radiasi ini boleh mengakibatkan kanser. Lebih merisaukan gas ini boleh dijumpai di dalam rumah tanpa kita sedari.

• Sebab itu kita perlu memastikan rumah mempunyai aliran pengudaraan sempurna supaya gas itu boleh dilepaskan ke luar dengan selamat.

Kita perlu kerap membuka pintu atau tingkap dan memasang kipas supaya meningkatkan pengudaraan yang baik.

• Oleh kerana gas ini boleh dihasilkan secara semula jadi dari batu-bata, maka boleh mengurangkan risiko ini dengan menampal rekahan atau lubang yang terdapat di dinding dan lantai.

Berita Harian X