Selasa, 3 November 2020 | 12:48pm
Mi Gondrong makanan unik yang jadi daya tarikan pengunjung di gerai di Kampung Slim Villiage, Slim River.- Foto/Rosman Shamsudin
Mi Gondrong makanan unik yang jadi daya tarikan pengunjung di gerai di Kampung Slim Villiage, Slim River.- Foto/Rosman Shamsudin

Penangan Mi Gondrong

NEGARA ini mempunyai banyak makanan unik boleh dijadikan sebagai daya tarikan pengunjung dari dalam dan luar negara melancong di negara ini.

Di selatan Perak, ramai ada makanan unik dikenali Mi Gondrong (MG) yang popular dalam kalangan penduduk di Kampung Slim Village, Slim River, Perak.

Masakan ini diberi nama yang agak pelik, namun sudah sebati dengan kehidupan penduduk pelbagai kaum khususnya di daerah Muallim.

Perkataan gondrong berasal dari bahasa Jawa bermaksud 'rindu', jadi tidak hairan jika sudah merasai keenakan masakan yang jarang ditemui ini bakal menikmati kembali.

Diwarisi daripada ayah

Dahulunya, perniagaan MG diusahakan seorang penduduk di kampung ini, iaitu Ismail Tahir, 79, namun April lalu beliau meninggal dunia akibat sakit tua

Kini, atas permintaan penduduk dan pelanggan yang mula merindui MG seorang waris pengusaha MG, Mohamade Razis Ismail, 37, dan isterinya, Mardhiyah Abd Halim, 29, mengusahakan kembali perniagaan MG di salah sebuah gerai Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) dekat pekan Slim Village.

Mohamade Razis berkata, nama MG diberikan pelanggan yang datang makan di gerai milik arwah ayahnya sejak 45 tahun lalu.

Beliau mewarisi masakan MG daripada arwah ayahnya yang turut membantu menyediakan ramuan masakan di rumah apabila pulang bercuti.

"Bahan utama MG mudah dan ringkas, iaitu perlukan cili kering untuk dibuatkan sambal, kacang tanah digoreng serta dimesin halus, telur ayam, kicap, sos, daun sup dan ayam untuk bahan kuah sup.

"Cara menghasilkan MG dengan mencelur mi dan taugeh di dalam air rebusan lalu dimasukkan ke dalam pinggan kemudian letakkan sambal, kacang tumbuk, telur rebus, sos, kicap dan daun sup," katanya.

Ismail menunjukkan Mi Gondrong yang jadi kegemaran penduduk di sekitar Kampung Slim Villiage dan pengunjung lain menggunakan resipi warisan keluarga.- Foto/Rosman Shamsudin.
Ismail menunjukkan Mi Gondrong yang jadi kegemaran penduduk di sekitar Kampung Slim Villiage dan pengunjung lain menggunakan resipi warisan keluarga.- Foto/Rosman Shamsudin.

Pelanggan sendiri akan gaul sendiri sebelum menikmati keenakan MG ini.

Digemari pelbagai kaum

Beliau berkata, bagi pelanggan yang suka makan MG dalam keadaan agak basah sedikit maka mereka boleh menikmati bersama kuah sup tulang ayam yang disediakan oleh beliau bagi menepati cita rasa pelanggan.

"Ketika MG diperkenalkan kepada penduduk di sini, harga sepinggan ketika itu hanya 30 sen, namun akibat perubahan masa, kini MG dijual dengan RM2.50 sahaja.

"Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, sebanyak 26 Kilogram (kg) diperlukan, namun kini hanya 20 kg," katanya.

Ketika ini, beliau hanya menjual MG setiap Sabtu dan Ahad bermula jam 7.30 pagi sehingga 11 pagi bagi mengubati kerinduan pelanggan terhadap MG itu.

Masakan MG bukan sahaja digemari orang Melayu, namun semua kaum gemar sehingga ada penduduk yang tinggal di luar negara sekali pun di dapati apabila pulang ke kampung pasti akan menikmati MG.

Berita Harian X