Jumaat, 25 September 2020 | 10:34am
Ketua Pegawai Eksekutif MyeongDong Topokki, Vincent Lua (kiri) bersama Ketua Bahagian Pembungkusan Makanan MyeongDong Topokki, Mohd Shahriman Yahya menunjukkan sijil MeSTI yang diperolehi di kilang mini MyeongDong Topokki di Bandar Kinrara. - Foto Hairul Anuar Rahim
Ketua Pegawai Eksekutif MyeongDong Topokki, Vincent Lua (kiri) bersama Ketua Bahagian Pembungkusan Makanan MyeongDong Topokki, Mohd Shahriman Yahya menunjukkan sijil MeSTI yang diperolehi di kilang mini MyeongDong Topokki di Bandar Kinrara. - Foto Hairul Anuar Rahim

Pengiktirafan MeSTI jamin kualiti makanan restoran MyeongDong Topokki

KUALA LUMPUR: Kejayaan Restoran MyeongDong Topokki Malaysia meraih pengiktirafan Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), menjadi penanda aras bahawa kualiti dan keselamatan makanan dihasilkan di kilang, Food Processing Centre (FPC) berada di tahap terbaik.

Restoran popular dalam kalangan penggemar Korea Street Food itu mempunyai tiga premis FPC.

Aspek kebersihan diberi penekanan secara menyeluruh iaitu daripada pemantauan pekerja di kilang, kawalan bahan mentah, kaedah pemprosesan, pembungkusan, penyimpanan dan pengedaran makanan.

Ketua Pegawai Eksekutif, MyeongDong Topokki, Vincent Lua, berkata pengiktirafan melalui pensijilan MeSTI menunjukkan, komitmen pihaknya memastikan pelanggan dapat menikmati hidangan makanan yang diperakui keselamatan dan kualitinya.

"Pensijilan MeSTI penting kerana kami dapat membuktikan kepada pelanggan, piawaian jaminan keselamatan makanan diletakkan pada tahap paling tinggi.

"Pelanggan tidak perlu ragu-ragu, kami menyajikan produk halal, bahkan melalui pengiktirafan MeSTI dapat meyakinkan pengguna terhadap keselamatan makanan semua menu di restoran," katanya ketika ditemui di ibu pejabatnya di Taman OUG Parklane, baru-baru ini.

Melalui pensijilan MeSTI, premis pengilangan makanan akan dibimbing dalam membangun dan melaksanakan Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) sebelum pengiktirafan diberikan.

Vincent berkata, pengiktirafan MeSTI turut membuka peluang lebih luas kepada syarikatnya untuk mengeksport produk MyeongDong Topokki ke luar negara.

"Kami mempunyai francaisi induk di Indonesia. Melalui pengiktirafan ini, produk makanan dihasilkan dapat dieksport ke pelbagai negara kerana memenuhi kriteria ditetapkan.

"Kejayaan mendapat pengiktirafan MeSTI ini membuatkan kami bersemangat mendapatkan pensijilan PJKM yang lebih tinggi iaitu Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) dan Standard Audit Titik Kawalan Kritikal dan Analisis Bahaya (HACCP).

Beliau turut mensasarkan, sekurang-kurangnya 100 rangkaian restoran MyeongDong Topokki beroperasi di Malaysia menjelang penghujung tahun ini.

Kualiti dan keselamatan makanan dihasilkan di kilang, Food Processing Centre (FPC) sentiasa dipantau dan berada di tahap terbaik.
Kualiti dan keselamatan makanan dihasilkan di kilang, Food Processing Centre (FPC) sentiasa dipantau dan berada di tahap terbaik.

Restoran makanan Korea dengan kombinasi citarasa tempatan bertapak di Malaysia sejak 2014 itu turut mendapat pengiktirafan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Jabatan FPC, Mohd Shahriman Yahya, berkata persediaan bagi memenuhi semua kriteria ditetapkan KKM bermula seawal penghujung tahun lalu.

"Kriteria ditetapkan KKM bagi pensijilan MeSTI sangat ketat. Persediaan rapi dibuat sejak Disember tahun lalu bagi pengurusan sistem dan dokumentas,i selain memberikan latihan kepada pekerja di FPC.

"Proses mendapatkan pensijilan MeSTI ini bermula pada Januari, tetapi tergendala disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan pada Mac lalu.

"Hanya pada Julai, pegawai KKM dapat membuat lawatan ke FPC, sekali gus menjalankan audit. Selepas kami membuat beberapa penambahbaikan, kelulusan pensijilan MeSTI dikeluarkan dua minggu lalu," katanya.

Mengulas kesukaran memenuhi kriteria MeSTI, Mohd Shahriman, berkata perkara paling mencabar, memastikan setiap pekerja patuh, berdisiplin dan sentiasa mengamalkan aspek kebersihan dalam kesemua proses pengurusan bahan mentah penyediaan makanan.

"Ambil masa untuk beri kesedaran kepada pekerja, terutama soal menjaga kebersihan diri dan memastikan setiap gerak kerja mereka.

"Misalnya, kaedah betul bagi memotong bahan mentah, tidak sesekali mengambil semula bahan yang telah jatuh di lantai dan mencuci lantai selepas tugasan tamat," katanya.

Beliau berkata, setiap pekerja ditekankan bahawa menjaga keselamatan dan kualiti pemprosesan makanan adalah tanggungjawab mereka.

Katanya, kaedah ini dilihat berkesan jika dilihat kepada kadar pematuhan kesemua pekerja di FPC.

Mohd Shahriman berkata, bagi menjamin kebersihan secara maksimum, FPC menyediakan bilik khas lengkap dengan penghawa dingin bagi menempatkan dan memproses bahan mentah seperti daging serta ayam.

Katanya, tiada tandas ditempatkan di dalam kilang bagi memastikan persekitaran bersih dan selamat.

Katanya, pelanggan tidak perlu bimbang kerana setiap bahan makanan yang dihantar ke restoran dihasilkan setiap hari dan dijamin kesegarannya

"Proses pembuatan kimchi dan kuahnya misalnya, dibuat sendiri di kilang kami setiap hari.

"Ia akan dihantar ke restoran menggunakan plastik pembungkusan mengikut prosedur operasi standard (SOP) KKM yang dilekatkan dengan logo MeSTI," katanya.

Berita Harian X