Ahad, 25 Ogos 2019 | 11:05am
ANTARA hidangan yang boleh didapati di dapur D’Timer Cafe. - Foto Saifullizan Tamadi

Menu rahsia warisan Johor

Lontong darat, iaitu makanan tradisi warisan Johor dimakan bersama kurma daging, serunding kelapa, kuah kacang, sambal bilis dan nasi himpit, antara hidangan lazat dari dapur D’Timer Cafe, Damansara Utama, Petaling Jaya, membuatkan anda tertarik mengulangi mengunjungi restoran berkenaan.

Walaupun masakannya tidak menggunakan santan, tetapi lemak serunding kelapa begitu terasa dan jus kurma daging memberi seribu satu kenikmatan dalam setiap kunyahan.

Pemilik restorannya, Azila Abu Kasim, berkata resipi dari Batu Pahat, Johor diturunkan daripada ibunya, Zaleha Mohd Yusoff yang mahir masak lontong darat dengan rempah ratus rahsia sejak puluhan tahun dahulu.

Katanya, itulah antara menu disediakan selain makanan lain mahu sesiapa yang mengunjungi kafe merasakan seperti bercuti di Johor.


KACANG Pool antara hidangan dari dapur D’Timer Cafe. foto - Saifullizan Tamadi.

“Karipap bawang berbentuk empat segi dengan adunan sebati telur hancur antara pilihan popular di kafe ini. Dijual dengan harga RM1.50 karipap yang dipanggil epok-epok di Johor ini juga adalah hasil resipi warisan neneknya.

“Justeru, hampir semua hidangannya menawarkan selera negeri selatan itu. Begitu juga dengan botok-botok, yang diperbuat daripada ikan tenggiri segar diperap rempah ratus, dibungkus dengan daun pisang memberi aroma yang cukup menggoda.

“Botok-botok dikukus 45 minit dan diletakkan ulam seperti pucuk ubi bagi menambah lemak hidangan ini,” katanya.

Beliau berkata, untuk hidangan berat, kafe itu juga menyediakan nasi ambeng ayam kicap dengan rasa pedas, manis, masin, lemak mengimbangi menu tradisi ini.


HIDANGAN istimewa D'Timer Cafe, Nasi Ambeng Ayam Kicap. foto - Saifullizan Tamadi

Sayur lodeh, sambal belacan, ikan kering dan ayam kicap dari dapur kafe ini menyelerakan dan komposisi hidangan ini boleh dikongsi untuk dua orang dan cukup mengenyangkan.

Tidak sah masakan Johor jika tiada kacang pool, lantas menu ini enak apabila daging kisar dan kacang parang diadun bersama.

“Hidangan banyak daging membuatkan anda rasa puas dimakan bersama roti potong bersaiz tebal yang masih panas. Melengkapkan hidangan Johor, anda boleh mencuba laksa Johor yang dianggap makanan wajib pengunjung,” katanya.

Akhiri kenikmatan selera Johor dengan beberapa minuman unik, iaitu ‘kopi kampung’ atau kopi D’ Timer dihidangkan panas atau sejuk. Tambah menarik jika dinikmati dengan aiskrim berperisa vanilla.

Bagi yang suka kelainan, raspberry lemon dan teh pudina dihasilkan dari pati lemon, daun pudina menawarkan rasa segar,” katanya.


MINUMAN kopi Espresso. Foto - Saifullizan Tamadi


Suhaimi Makkazen dan Azila Abu Kassim mengusahakan makanan tradisi warisan Johor. Foto - Saifullizan Tamadi.

868 dibaca
Berita Harian X