Ahad, 18 Ogos 2019 | 10:00am
Roti Mami Cheese yang pasti membuka selera. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Roti Mami Cheese Sri Tanjung

JIKA singgah di kedai makan Mami Sri Tanjung, di Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor, jangan ketinggalan memesan air tangan istimewa anak mami Penang ‘Roti Mami Cheese’ yang pasti membuka selera.

Sesuai dijadikan sajian pagi pagi mahupun kudapan minum petang, limpahan keju mozarella cair dengan adunan sebati telur, ayam cincang berempah, mayonis, sos lada hitam serta sos manis menjadikan menu berasaskan roti canai ini lain daripada cita rasa tempatan.

Menu baharu resipi ‘anak mami’ ini, lebih enak dimakan ketika masih panas kerana lebih rangup, selain aroma dari daun pisang digunakan sebagai pelapik.

Pengurus Kedai Makannya, Nor Azman Mohd Ajib, berkata resipi istimewa sejak tahun lalu.

“Keunikan roti ini apabila rempah ratus untuk menghasilkan ayam cincang berempah sebagai bahan utama resipi dihasilkan sendiri. Roti digunakan sebagai asas menu ini juga masih rangup walaupun tidak panas,” katanya.


Daun pisang sebagai pelapik makanan identiti warisan Mami Pulau Pinang. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Resipi mi goreng dengan sambal tumis lazat warisan ibu. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Rojak pasembor Mami Tanjung. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Resipi warisan

Berkonsepkan selera utara dan kekalkan roti canai dan diletakkan keju berjaya memikat selera pelanggan selepas mengambil masa dua tahun untuk proses penyelidikan bagi penghasilannya.

Harga RM6 sekeping sesuai dikongsi dua orang, selain goreng mamak Mami Tanjung yang menjadi signatur kedainya RM6.50 sepinggan.

Resipi mi goreng dengan sambal tumis lazat warisan ibunya sudah lebih 20 tahun disediakan tanpa rasa jemu pelanggan berkunjung.

“Sehingga ke hari ini, sukatan dan rempah ratus membuat sambal mi goreng masih sama. Saya sanggup menghentikan operasi jualan seketika jika stok sambal habis.

“Teknik memasak dan rempah ratus, masa memasak dan mengawal kualiti menjadikan mi goreng itu,” katanya.

Anda juga berpeluang merasai keunikan rasa rojak pasembor Mami Tanjung, nasi goreng kampung Mami Tanjung dan minuman istimewa seperti tiga layer tea yang menggunakan susu cair, gula melaka dan pati teh untuk memikat selera pengunjung.

Semua makanan di kedai ini menggunakan daun pisang sebagai pelapik makanan kerana ini identiti kepada air tangan masakan warisan mami Pulau Pinang.


Antara menu istimewa di Mami Sri Tanjung. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Info Mami Sri Tanjung

Lokasi: Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor

Operasi: Dibuka 7 pagi - 11 malam

Signatur : makanan berasaskan makanan Mami Pulau Pinang

Menu: Lebih 40 menu disediakan

285 dibaca
Berita Harian X