Ahad, 30 Jun 2019 | 6:49pm
Selain nasi lemak bungkus, bihun goreng dan roti canai turut menjadi pilihan. - NSTP/Aswadi Alias

Nasi lemak RM5 di hotel mewah

HANYA bermodalkan RM5, anda boleh menikmati sebungkus nasi lemak bersama telur rebus sebiji di hotel berstatus elit di kawasan segi tiga emas pusat bandar, Kuala Lumpur.

Memang sukar dipercayai, tetapi selepas penulis meneliti menu sarapan pagi di kafe Xroads Xpress, Hotel Concorde Kuala Lumpur, baru tahu harganya RM5.

Itu keistimewaan ditampilkan kafe berkenaan, selain menawarkan harga amat berpatutan, nasi lemak bungkus resipi tersendiri daripada Cef Azmeir Zaini, turut memenuhi selera penggemarnya.

Kata Azmeir, kuah atau sambal wajib sedap, meskipun tanpa lauk-pauk lain sebagai sajian sampingan, memadai dengan rasa sambal istimewa dan sebiji telur rebus.

Nasi lemak bungkus dijual dalam hotel berstatus elit, menikmatinya dalam persekitaran mewah, tetapi anda hanya perlu membayar harga murah.


Nasi lemak RM5 antara hidang digemari di Hotel Concorde. - NSTP/Aswadi Alias

Pengunjung menikmati nasi lemak berharga RM5 sebungkus di Xroads Xpress, Hotel Concorde, Kuala Lumpur. - NSTP/Aswadi Alias

“Sambal nasi lemak kami pula ‘power’ dan itulah daya tarikan utama, mengapa menu sarapan pagi Xroads Xpress sentiasa menjadi pilihan ramai.

“Sambal nasi lemak dimasak selama empat jam dengan api kecil dan dicampur gula Melaka untuk mendapatkan rasa manis serta warna merah hati yang pekat. Kami menggunakan ikan bilis jenis silver anchovies atau ikan bilis kecil yang dikisar, lalu dicampur dalam sambal untuk menambahkan aroma dan keenakannya.

“Apabila sambal sudah ‘power’, cukup menikmati nasi lemak dengan sebiji telur rebus. Jika ingin lebih sedap makan dengan sambal sotong kembang, dengan sedikit pertambahan harga,” katanya.

Setakat ini nasi lemak kafe berkenaan adalah menu sarapan pagi dalam kala­ngan pekerja pejabat dan pusat komersial berdekatan.

Berita Harian X