Ahad, 31 March 2019 | 1:00pm
Pemilik Cafe Kolam Kuda, Mila Zainudin menunjukkan menu yang menjadi tarikan utama, arnab masak lada hitam, arnab berlado dan nasi goreng sambal besi di Felda Sungai Behrang. - Foto Eizairi Shamsudin

Sajian lazat arnab berlada

Foto Ezairi Samsudin

Daging arnab masak lada hitam dan arnab berlado mungkin kedengaran agak asing. Namun ia mempunyai penggemarnya sendiri, malah ramai yang menyifatkan sebagai makanan jarang dihidang di restoran dan mempunyai rasa tersendiri.

Bagaimanapun, tidak banyak kedai yang menawarkan menu berasaskan daging arnab, malah mungkin ramai berpandangan menu seperti itu sukar mendapat sambutan.

Sebenarnya daging arnab mempunyai banyak khasiat jika dibandingkan dengan haiwan lain seperti ayam, kambing, biri-biri dan lembu. Selain mempunyai protein tinggi dan rendah kandungan lemak, kalori, kolesterol dan asid urik, daging arnab juga kaya dengan vitamin B12 serta mempunyai kandungan air yang tinggi jika dibandingkan dengan haiwan lain seperti ayam dan lembu.


Arnab berlado. Cafe Kolam Kuda di Felda Sungai Behrang. - Foto Eizairi Shamsudin

Lebih sedap daripada ayam

Menyedari keistimewaan daging arnab, Kafe Kolam Kuda di FELDA Sungai Behrang, dekat Tanjung Malim, Perak, memperkenalkan menu daging arnab, khas bagi penggemar menu itu dan mereka yang mahu mencuba keenakannya. Bagi individu kali pertama mencuba masakan itu pastinya akan jatuh hati dengan keenakannya yang dikatakan lebih sedap berbanding ayam.

Pemiliknya, Mila Zainudin, berkata ada pelanggan menyifatkan keenakan daging arnab seperti gabungan antara ayam kampung dengan landak. Walaupun baru dibuka tahun lalu, kafe itu menerima ramai pelanggan termasuk dari Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor yang singgah untuk merasai sendiri keenakan daging arnab.

“Saya melihat menu berasaskan daging arnab ini berpotensi dan mempunyai peminatnya sendiri, selain tidak ramai menceburkan diri dalam perniagaan ini, merancang merancang menyediakan lebih banyak menu berasaskan daging arnab termasuk sate dan rendang arnab bagi memenuhi permintaan,” katanya.


Nasi goreng sambal besi. Cafe Kolam Kuda di Felda Sungai Behrang. - Foto Eizairi Shamsudin

Sedia pelbagai menu

Selain menu daging arnab, kafe dibuka setiap hari bermula 7 pagi hingga 7 malam kecuali Isnin, turut menyediakan pelbagai menu lain termasuk nasi goreng sambal besi, nasi lemak dan ikan bakar air asam. Kafe Kolam Kuda terletak hanya kira-kira lima minit perjalanan dari Plaza Tol Behrang atau kira-kira 10 minit dari Slim River dan kira-kira sejam perjalanan dari Kuala Lumpur, sudah pasti boleh menjadi lokasi persinggahan istimewa.

Info: Kafe Kolam Kuda

  • Lokasi: Hujung Jalan L Felda, Sungai Behrang, Kampung Behrang, Perak
  • Dibuka : Setiap hari, kecuali Isnin
  • Operasi: Jam 7 pagi - 7 malam
  • Unik menu : Daging arnab masak lada hitam dan arnab berlado

  • Menu arnab merupakan tarikan utama di Cafe Kolam Kuda di Felda Sungai Behrang. - Foto Eizairi Shamsudin

    Berita Harian X