Selasa, 18 Disember 2018 | 4:59pm

'Pekena' menu anak mami Tanjung

Oleh Zubir Mohd Yunus

zubir_yunus@bh.com.my

Menampilkan moto - ‘Mai pekena nasi mercu pasti rasanya mercik’, restoran Nasi Kandar Mercu menjanjikan keistimewaan nasi kandar Pulau Pinang yang lebih tulen, selain menampilkan rasa warisan asli Pulau Mutiara dengan keenakan masakan anak mami Tanjung.

Terlalu banyak restoran mamak nasi kandar di Lembah Klang, tumbuh seperti cendawan selepas hujan, dan mendakwa premis perniagaan mereka menawarkan sajian makanan asli dari Pulau Pinang, tetapi apabila dinikmati rasa gulai kari yang dihidangkan, maaf cakaplah, ‘ke laut dalam’.

Justeru, bagi pemilik restoran terletak di Bandar Saujana Putra, Datin Sharifah Farah Gumash Syed Hussain, berkata premis perniagaannya amat menitik beratkan kualiti rasa makanan supaya pelanggan yang sama akan berkunjung buat kali kedua, ketiga dan seterusnya.


BERANEKA menu dihidangkan di restoran Nasi Kandar Mercu, Jenjarom. - foto Rohanis Shukri

“Kita mahu pelanggan tidak jemu datang, selain sentiasa ada pelanggan baharu tertarik mencuba keenakan nasi kandar dengan lauk-pauk dihidangkan.

“Hari ini kita kerap mendengar, banyak restoran terutamanya di Lembah Klang yang menyajikan nasi kandar dari Pulau Pinang. Mereka mendakwa rasa lauk-pauk adalah asli dari Pulau Pinang. Tetapi, Nasi Kandar Mercu menampilkan rasa yang lebih tulen dengan keenakan warisan asli anak Mami Pulau Pinang.


TAMPILKAN menu warisan asli dari Pulau Mutiara. -foto Rohanis Shukri

“Kami menampilkan resipi istimewa daripada tukang masak yang berasal dari Chennai, India, berbangsa India Muslim. Tukang masak kami membawa resipi asli dari India, tapi kami ubah suai rasanya supaya memenuhi selera masyarakat di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, restoran itu menyediakan rempah ratus dibuat sendiri menggunakan resipi dan cita rasa anak Mami Tanjung.

“Contohnya, kuah kari kepala ikan, sekali rasa sudah tahu keaslian cita rasa anak Mami Pulau Pinang sehingga licin kuah dihirup sampai peluh pun mercik, sesuai dengan moto kami - ‘Mai pekena nasi mercu pasti rasanya mercik’,” katanya.


LAUK-PAUK dihidangkan memenuhi selera pelanggan. - Foto Rohanis Shukri

Selain kepala ikan, telur sotong rempah kuning turut menjadi pilihan pelanggan kerana kesegaran dan saiznya yang besar agar puas menikmatinya.


SHARIFAH Farah

Begitu juga daging masak hitam, wajib cuba kerana sajian menu istimewa semua restoran nasi kandar, sebaliknya Sharifah Farah menambah sajian disediakan di restorannya, rasanya lebih tulen dihasilkan daripada daging tempatan segar.

Fakta nombor

* RM35

harga bermula kepala

ikan mengikut saiz

* 10 ekor

kepala ikan terjual sehari

* 400

anggaran pelanggan sehari

INFO

------

Nasi Kandar Mercu

* Terletak di No 1, Jalan SP 5/5, BSP Village, Bandar Saujana Putra, Jenjarom, Selangor

* Beroperasi setiap hari

* Bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah malam

* Sedia mengambil tempahan katering di luar kawasan


PELANGGAN sedang ‘pekena’ nasi mercu yang dikatakan i rasanya ‘mercik’

Berita Harian X