Isnin, 10 Disember 2018 | 5:42pm
ZILAH bersama menu popular pilihan pelanggan. - NSTP/Rosela Ismail

Makanan halal Jepun

APA yang menjadi identiti bagi makanan Jepun lazimnya kandungan beberapa bahan di dalam masakannya.

Namun, tidak ramai yang menyedari bahan berkenaan rata-rata tidak diperakui status halal memandangkan ia adalah bahan yang wajib ada dalam menu negara matahari terbit itu. Antara bahan berkenaan seperti mirin, sake dan cuka alkohol.

Berbeza di restoran makanan Muslim Jepun, Konichiwa Cafe yang beroperasi di Bandar Baru Bangi dengan mentransformasi bahan berkenaan kepada bahan halal yang sedia ada di negara ini.

Begitupun, keaslian masakan Jepun itu sama sekali tidak terjejas sama seperti mana dirasai jika kita bertandang ke negara Jepun.

Pemiliknya, Zilah Othman, berkata restoran yang beroperasi sejak Januari tahun lalu memberi pilihan lebih 70 menu masakan Jepun kepada penggemar makanan itu di negara ini.

“Kami mempunyai pakar masakan Jepun iaitu Cef Jefri Othman yang berpengalaman bekerja lebih 30 tahun di dalam dan luar negara. Ini membolehkan beliau memperincikan rasa asli dan mengolah daripada bahan yang tidak halal kepada yang halal,” katanya.


EMPAT menu popular pilihan pelanggan. - NSTP/Rosela Ismail

Gantikan bahan halal

Sebagai kafe yang mengutamakan status halal, kami tidak menggunakan mirin, sake dan cuka alkohol tetapi di tukar kepada garam, gula, madu, cuka makan, gula kabung dan kicap manis. Apa yang pasti keasliannya tetap sama.

Ini dibuktikan sendiri oleh pemilik syarikat kenderaan dari Jepun iaitu Sakamoto yang bertandang ke negara ini dan membawa 200 pekerja di dalam satu majlis.

Beliau sangat teruja untuk merasa masakan di kafe itu yang berasaskan bahan halal dan memuji rasa yang sama seperti di negaranya. Perasaan sama dikongsi Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa.

Daripada 70 menu yang disediakan, ratanya makanan yang digemari semua kaum di negara ini seperti Red Devil Jambo Roll, Grilled Tenderloin Beff, Okonomiyaki dan Beff Tapanyaki.


RED Devil Jumbo Roll. - NSTP/Rosela Ismail

Okonomiyaki. - NSTP/Rosela Ismail

Malah, minuman popular dipesan pelanggan seperti Jus Timun Jepun, Sakura Milk Green Tea dan Konichiwa Kopi O Float dengan harga sangat berpatutan.

“Tidak dilupakan, selain lebih 80 peratus makanan Jepun, kami turut menyediakan masakan Melayu dan barat seperti nasi goreng Konichiwa, mi kari, mi udang dan beberapa lagi makanan barat,” katanya yang mendapat bekalan daripada pembekal di Jepun yang memiliki sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).


ZILAH bersama Cef Jefri yang bertanggungjawab menjaga kualiti rasa masakan Jepun. - NSTP/Rosela Ismail

Info Konichiwa Cafe

• Tempat di Bandar Baru Bangi

• Menyediakan lebih 70 menu dari lapan kategori menu

• Contoh menu Japanese Appetizer, Teppanyaki, Set Bento, Malaysian, Western, Japanese Noodle, Kids Menu, Side Dish dan Sushi.

• Harga dari RM3.80 hingga RM149.90

• Dibuka Isnin hingga Khamis bermula (12.30 tengah hari - 10 malam.

• Jumaat (2.30 petang - 11 malam; Sabtu dan Ahad (12 tengah hari hingga 11 malam).

Berita Harian X