Ahad, 9 Disember 2018 | 2:07pm
Fazley bersama menu yang disediakan. - Foto Akmar Bakar

Sajian eksklusif masakan Minang

Bunyinya memang pelik malah ada yang mencebik muka mendengar menu spegetti daging salai masak lemak cili api dan emping belinjau a la bruschetta.

Ini antara hidangan istimewa di Restoran SukaSucre Bistro, terletak di Cheras. Dicipta khas oleh pemiliknya, Datuk Fazley Yaacob, setiap menu yang disajikan membawa keunikan tersendiri menerusi tagline ‘From Rembau to Paris’.

Keenakan spageti daging salai masak lemak cili api ternyata membuka mata dan deria rasa penggemar sajian pasta yang terkenal dari Itali.

Kuah lemak cili padi pekat santan segar tidak muak atau jemu kerana daging salai bakar yang dihiris nipis memang banyak hingga membangkitkan selera.


Dulang Minang.

Sambal minang pukau selera

Bagi pencinta selera tempatan, sajian utama lebih eksklusif boleh dinikmati ialah nasi dulang Minang. Hidangan ini mewah dengan menampilkan pelbagai lauk pauk antaranya, bergedil, rendang daging, ayam pop salai sambal hijau, daging masak cili api dan telur itik pisang salai lemak cili api dan paru goreng.

Melengkapkan hidangan nasi yang dimasak bersama mentega dari Paris, sajian ini dinikmati bersama kerabu ulam kacang botol dan daun pegaga serta tidak lengkap tanpa sambal minang yang memukau rasa.

Penggemar daging lembu, Boeuf Bourguignon disaji bersama sambal minang tidak kurang menyelerakan. Daging perap dengan pelbagai rasa dan dipanggang perlahan lebih enam jam begitu lembut ketika dipotong dan dikunyah.


Dekorasi menarik Restoran Sukasucre Bistro.

Restoran serba putih

Nampak menarik, sajian itu diseimbangkan lagi dengan kentang putar yang diberi bentuk bunga.

Bukan menu utama saja menyelerakan pelanggan tetapi sajian pembuka ‘kata’ yang disajikan terlebih dulu turut membangkitkan selera.

Selain kerepek emping belinjau a la bruschetta yang dimakan bersama sayur campuran istimewa, crispy tofu skin juga antara menu pilihan terbaik di SukaSucre Bistro.

Pencuci mulut seperti fleur de pavlova, iaitu ais krim jagung bersama red velvet soil; dan caramelized banana with butterscotch sauce iaitu pisang raja yang disira dan disajikan bersama macaroon serta ais krim jagung, melengkapkan sesi makan tengahari mahupun malam.

Hiasan dalaman restoran serba putih yang membawa elemen mewah dan anggun turut membangkitkan suasana selesa lagi eksklusif malah bersifat peribadi.

INFO: SukaSucre Bistro
→ Alamat: 81, Jalan 2/90, Wisma RYU, Taman Pertama, Kuala Lumpur
→ Operasi: Setiap hari kecuali Isnin

Berita Harian X