Ahad, 16 September 2018 | 11:20am
MOHD Rani bersama hidangan popular di Mat Periuk Cafe, Ipoh. - Foto Zunnur Al Shafiq
NASI goreng atok. - Foto Zunnur Al Shafiq
PELANGGAN menikmati sajian enak pilihan ramai. - Foto Zunnur Al Shafiq

Nasi goreng atok istimewa

Kafe hipster ini sekadar restoran biasa terletak di deretan rumah kedai kawasan perumahan di Ipoh, Perak. Namun, selepas diamati, premis ini bukan sekadar kafe, sebaliknya sarat dengan konsep.

Menampilkan barangan terpakai sebagai perabot dan perhiasan dalam usaha menarik perhatian pelanggan, namun tetap mengutamakan kualiti makanan.

Mat Periuk Cafe menampilkan barangan terpakai yang dibaik pulih untuk dijadikan perabot seperti meja dan kerusi, diuruskan oleh Mohd Rani Ariffin, 40, atau lebih popular dengan panggilan Nik dalam kalangan keluarga atau teman rapat.

Mohd Rani berkata, sebilangan pelanggan berkunjung ke Mat Periuk Cafe lebih daripada sekali kerana terpesona dengan sajian makanan dan keenakan makanan yang disajikan.

Boleh melepak kerana persekitarannya santai sambil menikmati persembahan hiburan secara langsung daripada kumpulan busking setiap hujung minggu.

“Itu elemen penting dalam menentukan jangka hayat kafe ini terus bertahan walaupun perlu berdepan persaingan.

“Nama Mat Periuk Cafe pula adalah idea daripada isteri, Rafizatul Fairos yang juga adik kepada Cef Kamarul, individu yang bertanggungjawab membangunkan kafe ini.

“Sebenarnya, Mat Periuk adalah gelaran yang diberikan kepada Cef Kamarul ketika beliau masih menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam bidang perhotelan dan kulinari. Bagi menampilkan kelainan, kami sebulat suara mengekalkan nama Mat Periuk.

“Biar pelanggan tertanya-tanya kenapa kafe kami namanya unik,” jelasnya lagi.

Bukan saja nama kafe yang unik, sebaliknya nama menu ditampilkan pun ada tarikan tersendiri. Misalnya nasi goreng atok yang menjadi antara hidangan istimewa.

Menu ini sebenarnya diilhamkan daripada cita rasa arwah ayah Cef Kamarul, Che Rose atau lebih dikenali sebagai cikgu Rose, bekas guru besar.

Arwah Che Rose gemar menikmati isi ikan yang digoreng bersama nasi, lalu terhasillah menu nasi goreng atok.

“Pencuci mulut disaran mencuba “mini but dangerous pavlova”. Bagi memastikan kualiti makanan memenuhi piawaian yang ditetapkan Cef Kamarul, saya sendiri bertindak sebagai ketua tukang masak,” katanya.

10 km - jarak dari bandar raya Ipoh

INFO

Mat Periuk Cafe

* Terletak di No 40, Hala Tasek Timur 11, Kampung Tersusun Tasek, Bercham, Ipoh, Perak

* Dibuka setiap hari mulai jam 4 petang hingga 12 tengah malam

* Setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad, kumpulan busking, Bullstreet Buskers membuat persembahan menghiburkan tetamu

Berita Harian X