Ahad, 1 Julai 2018 | 11:46am
PELBAGAI sajian istimewa yang terdapat di restoran Cef Am.
PENGUNJUNG sedang menikmati hidangan makanan cita rasa Ireland.

Nikmati sajian Ireland di Cottage75

BERSAMA ilmu dan pengalaman yang ditimba ketika bertugas sebagai tukang masak di Ireland, Cef Ahmad Khairul Nizam Daud, 43, atau lebih dikenali sebagai Cef Am, membuka restoran berkonsepkan sajian barat sekembalinya ke tanah air.

Cef Am pernah menetap di Ireland, United Kingdom lebih 15 tahun dan peluang bekerja di sana memberi peluang beliau mengutip pengalaman di sana selain pernah menggalas tugas sama di hotel lima bintang di Kuala Lumpur selama beberapa tahun.

Justeru, sebaik kontrak kerja di Ireland tamat pada 2015, beliau mengusahakan kedai makan dikenali Cottage75 Cafe by Chef Am di No 76, Jalan Meru Impian A1, Pusat Perniagaan Meru Impian, kira-kira 10 kilometer (km) dari pusat bandar raya, Ipoh, Perak.

Boleh dikatakan hampir semua hidangan istimewa disajikan seperti menu yang terdapat di hotel lima bintang, sedangkan Cottage75 Cafe hanyalah restoran di lot kedai. Lebih istimewa harga yang ditawarkan amat berpatutan.

"Bersama ilmu yang ditimba ketika bertugas sebagai cef di Ireland, kebanyakan hidangan yang terdapat di kafe ini diterapkan dengan inspirasi dan sentuhan makanan Ireland.

"Contohnya menu Mc Charty lamb chop (berharga RM21). Mc Charty, nama masyarakat di Ireland. Begitu juga pemilihan nama cottage bagi kafe. Ini kerana di Ireland banyak rumah lama terletak di kawasan pedalaman. Bumbungnya dihiasi tumbuh-tumbuhan hijau atau jerami.

"Hal sama dengan penyediaan makanan, saya menggunakan bahan asas yang digunakan tukang masak di sana dengan kebanyakan sajian dipanggang," katanya.

Antara menu popular termasuklah Irish char grilled sirloin stik, warm smoked duck salad dan our best western mixed grilled plater. Justeru, sekiranya anda teringin menikmati makanan Ireland, berkunjung saja ke Meru, Ipoh.

Sajian tempatan juga disediakan antaranya mi rebus daging istimewa dan cottage special fried rice, namun tetap dengan sentuhan Irish.

Berita Harian X