SEBUT saja roti john pasti ramai yang menggemari hidangan ringkas tapi mengenyangkan ini. Apa tidaknya, bahan yang diletakkan di dalam roti john itu adalah antara kegemaran setiap orang.
Tidak kira sama ada bahannya ringkas seperti lapisan daging bersama campuran telur atau pun mungkin dengan pelbagai campuran sayuran, sos dan sebagainya, ia tetap mempunyai peminatnya tersendiri.
Hidangan ini juga sebenarnya boleh dihasilkan mengikut idea dan cita rasa tersendiri. Bagi pemilik The Teppan, Mohd Najib Halime, berkata hidangan ini mudah disediakan asalkan mempunyai bahan diinginkan.
Rasa berbeza
Ia boleh dihasilkan mengikut kemahuan sama ada inginkan taburan daging yang banyak, keju dan sebagainya. Kali ini, bagi memberikan kelainan kepada menu ini, beliau menghasilkan sendiri roti john daging carik.
Roti john daging carik dihasilkan berlainan daripada kebiasaan kerana tatkala menjamah hidangan ini, pelbagai rasa boleh dirasai. Pastinya daging carik yang diletakkan antara bahan yang paling dirasai.
Rasanya juga berbeza memandangkan ia tidak menggunakan banyak sos cili dan mayonis kerana ia menggunakan sos cendawan yang dihasilkan sendiri.
Kepingan nanas memberi rasa manis, keju dan pelbagai rasa lain letakkan serbuk cili.
Bahan:
Sekeping roti
Dua keping daging salai
Sedikit cendawan butang
Dua keping nanas
Keju parut
Salad
Sebiji telur
Rempah (buatan sendiri)
Sos cendawan
Daging carik
Cara memasak:
1. Panaskan marjerin dan tumiskan sedikit bawang serta kepingan cendawan hingga naik bau. Di sudut tepi, gorengkan dua keping daging salai hingga masak.
2. Campurkan daging carik, taburkan sedikit rempah buatan sendiri, kepingan nanas dan digaul bersama dalam tempoh dua minit.
3. Kuah cendawan dicampurkan pada rencah roti john itu dan digoreng sebentar bagi sebati semuanya.
4. Pukul sebiji telur dan gorengkan ia untuk dijadikan sebagai asas roti john berkenaan. Ambil roti dan diletakkan di atas telur itu selama seminit. Letakkan lapisan mayonis atas roti itu.
5. Rencah roti john yang siap dimasak diletakkan di atas roti john bersama kepingan daging salai. Letakkan sos dan hirisan keju.
6. Bagi mencairkan keju itu, panaskan ia dengan menggunakan pemanas api.
7. Siap dihidangkan untuk makan petang.
Info
- Lima dan 10 inci roti john ditawarkan
- Lima jenis roti john dengan pelbagai kelainan
- Harga antara RM6.50 hingga RM16.90