Ahad, 11 Oktober 2020 | 10:30am
Nurul Badrin menunjukkan model Balai Polis Bukit Kepong yang jadi tumpuan di Mini Muzium Sk Slim Village. - NSTP/Rosman Shamsudin
Nurul Badrin menunjukkan model Balai Polis Bukit Kepong yang jadi tumpuan di Mini Muzium Sk Slim Village. - NSTP/Rosman Shamsudin

Mini muzium sarat cerita sejarah

BANYAK tempat menarik ada di negara ini dan sesetengahnya jarang dikunjungi kerana mereka tidak berkongsi cerita, gambar atau video selain kurang promosi terutama tempat yang sarat dengan cerita sejarah seperti muzium.

Muzium Negara umpamanya, lokasi sudah popular dan kerap dikunjungi ramai sama ada pelancong dalam mahupun luar negara.

Untuk mencari kelainan, anda yang 'kaki jalan' atau yang mahu mencari destinasi baru, mereka boleh pergi ke Mini Muzium Sekolah Kebangsaan (SK) Slim Village, Slim River, Perak.

Di sini ada model peristiwa Balai Polis Bukit Kepong diserang segerombolan komunis ketika zaman darurat sebelum kemerdekaan yang menjadi tarikan utama ketika mengunjungi mini muzium berkenaan.

Walaupun model terbabit dihasilkan dengan menggunakan bahan terbuang dan benda maujud , namun ia mampu memberi ilmu pengetahuan kepada pengunjung terutama murid.

MODEL Balai Polis Bukit Kepong di Mini Muzium SK Slim Village. - NSTP/Rosman Shamsudin
MODEL Balai Polis Bukit Kepong di Mini Muzium SK Slim Village. - NSTP/Rosman Shamsudin

Pembinaan model peristiwa di Balai Polis Bukit Kepong dengan paparan kain rentang di bahagian belakang berjaya mengimbau kembali kekejaman pihak komunis yang menyerang balai polis sehingga mengorbankan ramai anggota polis di balai terbabit.

Idea menghasilkan model peristiwa terbabit dicetuskan oleh Penyelaras Mini Muzium SK Slim Village, Nurul Badrin Abd Latib, 39, yang juga seorang guru, ternyata menginsafi betapa tinggi nilai pengorbanan anggota polis dalam mempertahankan negara untuk tatapan generasi pewaris kemerdekaan negara.

Katanya, untuk menghasilkan model itu nampak mudah ,namun ia memerlukan penghayatan tentang kejadian atau tragedi yang berlaku pada 23 Februari 1950 yang mengorbankan ramai anggota polis dan keluarga dalam kejadian terbabit.

"Walaupun model itu tidak sempurna untuk menceritakan kejadian sebenar tetapi diharapkan mampu memberi gambaran yang jelas kepada pengunjung tentang kekejaman komunis dan pengorbanan anggota polis serta keluarga dalam mempertahankan kedaulatan negara," katanya.

Dilengkapi 20 sudut paparan maklumat

Beliau berkata, mini muzium yang sarat dengan ilmu pengetahuan itu juga dilengkapi kira-kira 20 sudut paparan maklumat dan pameran untuk tatapan dan rujukan pengunjung.

Antara maklumat disediakan bagi memudahkan pengunjung mengetahui sejarah negara. - NSTP/Rosman Shamsudin
Antara maklumat disediakan bagi memudahkan pengunjung mengetahui sejarah negara. - NSTP/Rosman Shamsudin

"Antaranya, Terowong Masa, Barang Antik, Himpunan Pakaian Tradisional dan Gambar Perdana Menteri, Logo dan Slogan Kemerdekaan, Sejarah Mara Wang Malaysia, Sejarah SK Slim Village, Kronologi Zaman Penjajahan Jepun," katanya.

Terdapat juga Sudut Karya Murid, Barangan Antik, Gambar Tokoh-Tokoh Kemerdekaan, Keratan Akhbar dan Galeri Bukit Kepong serta Koleksi Stem Pos Malaysia.

Sesiapa yang melihat akan terpegun dan teruja atas inisiatif dan kreativiti guru menghasilkan mini muzium.

Nurul Badrin berkata, biasanya saban tahun guru sekolah akan menganjurkan program lawatan ilmiah kepada murid, namun disebabkan pandemik COVID-19 diharapkan pembinaan mini muzium dapat merasai pengalaman lawatan secara dalaman.

Katanya, pengalaman mengunjungi mini muzium ini sudah tentu dapat memberi nilai tambah kepada pengunjung termasuk pelajar untuk mengkaji sejarah negara.

Jadi sumber rujukan

Bagi Guru Besar SK Slim Village, Roslan Lee, berkata pembinaan mini muzium mampu menjadi sumber rujukan murid bagi mengenali lebih dekat sejarah dan peristiwa yang berlaku sebelum dan selepas zaman kemerdekaan.

Katanya, mini muzium juga bermanfaat kepada guru ketika menjalankan proses pembelajaran dan pengajaran ( PdP) kerana pelbagai teknik dan kaedah dapat diaplikasikan ketika berada di mini muzium terbabit.

"Sejak pembinaan mini muzium, terdapat sekolah berdekatan yang mengunjungi mini muzium yang rata-rata tertarik dengan bahan pameran yang terdapat dalam mini muzium terbabit.

"Inisiatif dan kreativiti guru sekolah ini bukan hanya dapat menjana ilmu tetapi dapat menimbulkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda sebagai generasi pewaris kesinambungan kemerdekaan negara," katanya.

Antara busana dipamerkan. - NSTP/Rosman Shamsudin
Antara busana dipamerkan. - NSTP/Rosman Shamsudin

Roslan berkata, mini muzium ini juga mampu memberi kesedaran kepada generasi muda tentang pengorbanan anggota keselamatan negara dan tokoh-tokoh kemerdekaan agar mereka lebih menghargai erti kemerdekaan yang sedang mereka nikmati sekarang.

Sebelum ini, pengunjung luar boleh melawat tetapi sejak bilangan kes COVID-19 meningkat. Ia hanya dibuka untuk penduduk tempatan.

Info

Mini Muzium Sekolah Kebangsaan (SK) Slim Village, Slim River, Perak

• Ditubuhkan atas inisiatif Nurul Badrin Abd Latib

• Terletak kira-kira 12 Kilometer (KM) dari pekan Slim River di daerah Muallim

• Perasmian pembukaan Mini Muzium SK Slim Village disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz

• Mempunyai kira-kira 20 sudut pameran sarat dengan ilmu pengetahuan

• Model peristiwa Balai Polis Bukit Kepong menjadi tarikan utama

• Menjadi tumpuan murid dan pelajar dari sekolah berdekatan pada waktu persekolahan

• Bayaran masuk percuma

Berita Harian X