Ahad, 4 Oktober 2020 | 2:46pm
AIR terjun mengalir dari kaki Banjaran Titiwangsa ke pusat rekreasi Sungai Bil jadi tumpuan pengunjung mandi-manda. - NSTP/Rosman Shamsudin
AIR terjun mengalir dari kaki Banjaran Titiwangsa ke pusat rekreasi Sungai Bil jadi tumpuan pengunjung mandi-manda. - NSTP/Rosman Shamsudin

Suasana damai di Sungai Bil

MALAYSIA mempunyai banyak pusat rekreasi berasaskan alam semula jadi seperti air terjun yang di kelilingi keindahan flora dan fauna.

Rata-rata di semua negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak ada air terjun masing-masing mempunyai keistimewaan dan keunikan tersendiri.

Di Perak sahaja, banyak air terjun yang jadi tumpuan pelancong, Antaranya ialah di Air Terjun Sungai Bil, di Slim River, Perak.

Kedinginan bayu dan kesejukan air terjun yang mengalir dari kaki Banjaran Titiwangsa ke kawasan rekreasi dan perkelahan Sungai Bil, ini menjadikan kawasan terbabit sentiasa menjadi tumpuan orang ramai.

KEINDAHAN alam semula jadi menjadikan air terjun di sini sungguh istimewa. - NSTP/Rosman Shamsudin
KEINDAHAN alam semula jadi menjadikan air terjun di sini sungguh istimewa. - NSTP/Rosman Shamsudin

Malah, keindahan alam semula jadi yang masih terpelihara di sekeliling kawasan terbabit menjanjikan suasana yang aman dan sering kali menjadi sasaran pengembara untuk meneroka sepuasnya.

Ketua Jawatankuasa Sementara Pengurusan Kampung (JSPK), Roslan Abd Kahar,61, berkata kawasan ini terletak dalam kampung tradisi yang menjadi tumpuan orang ramai sejak berpuluh tahun dahulu.

Katanya, keindahan alam semula jadi yang terdapat di kawasan ini perlu dipulihara dengan baik supaya dapat dinikmati oleh generasi masa akan datang.

"Sungai yang mempunyai banyak jeram berbatu membentuk takat terjun di sepanjang sungai adalah terbentuk daripada fenomena alam semula jadi menyebabkan kawasan ini mempunyai panorama semula jadi yang menarik.

"Pengunjung tidak dibenarkan mandi-manda di takat terjun berdekatan Stesen Mini Hidro Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan di bahagian atas stesen terbabit demi keselamatan," katanya.

Pengunjung yang berkereta dikenakan bayaran sebanyak RM3 dan motosikal pula hanya RM1 pada Sabtu dan Ahad serta cuti umum. Bayaran itu bagi menampung kos penyelenggaraan kemudahan dan kebersihan bagi menjamin keselesaan pengunjung ketika beriadah.

SASARAN pengembara untuk menerokai isi alam. - NSTP/Rosman Shamsudin
SASARAN pengembara untuk menerokai isi alam. - NSTP/Rosman Shamsudin

Katanya, bagi mengelakkan pengunjung mandi-manda atau berkelah di kawasan yang tidak dibenarkan itu, pihak JSPK membuka kawasan baharu di sepanjang sungai bagi mengelakkan kesesakan di sepanjang sungai terbabit.

"Sehingga hari ini, air yang mengalir dari kaki Banjaran Titiwangsa itu memang bersih dan jernih serta bebas dalam apa juga bentuk pencemaran.

"Menjadi tanggungjawab bersama termasuk pengunjung sama ada penduduk tempatan atau luar memelihara dan memulihara keindahan alam semula jadi yang terdapat di kawasan ini," katanya.

Roslan berkata, pihaknya sentiasa memantau kawasan rekreasi dan perkelahan itu secara berkala bagi memastikan pengunjung mematuhi peraturan ketika mengunjungi kawasan terbabit.

Pelbagai kemudahan disediakan di sini seperti dewan orang ramai, tempat letak kereta lot, kedai makanan dan minuman dan rumah rehat untuk keselesaan pengunjung. Sekarang, Lata Sungai Bil dikenali di seluruh negeri ini untuk aktiviti peringkat kebangsaan yang diadakan di sini seperti pertandingan ECO Challange.

DILENGKAPI pelbagai kemudahan awan. - NSTP/Rosman Shamsudin
DILENGKAPI pelbagai kemudahan awan. - NSTP/Rosman Shamsudin

Air Terjun Sungai Bil

Lokasi: Kira-kira 15 kilometer dari bandar Tanjung Malim

• Dari pekan Tanjung Malim, pengunjung akan melalui perkampungan, iaitu Kampung Behrang Ulu, Kampung Sungai Dara, Kampung Sungai.

• Airnya yang sangat jernih dan sejuk.

• Sesuai untuk berkhemah, meredah hutan, memancing dan berkelah.

• Ada sebuah empangan hidroelektrik digunakan untuk menjana elektrik.

• Menyediakan pelbagai kemudahan termasuk dewan.

Berita Harian X