Ahad, 9 Ogos 2020 | 11:00am
LOKASI sesuai percutian eko pelancongan di The Waterway Villa, Bentong, Pahang. Foto/Ihsan The Waterway Villa
LOKASI sesuai percutian eko pelancongan di The Waterway Villa, Bentong, Pahang. Foto/Ihsan The Waterway Villa

Damai bercuti di hutan terpencil

SUASANA hening, nyaman, tenang, segar dan damai. Itu perasaan awal dirasai apabila sampai ke destinasi percutian di sebuah resort eksklusif dan terpencil di hutan hujan di Bentong, Pahang ini.

Merentasi jambatan resort dilengkapi pintu gerbang dihiasi pokok bunga menjalar di atasnya manakala di bawahnya air sungai mengalir jernih.

Tambah mengujakan apabila kelihatan tersergam indah deretan bilik penginapan unik, di atas bukit seperti rumah tradisional berkonsepkan Bali yang dibina menggunakan sulaman kayu dan buluh, miliki The Waterway Villa.

Hanya kira-kira sejam perjalanan dari Kuala Lumpur, pengunjung boleh menikmati keindahan alam semula jadi dan amat sesuai untuk percutian romantis.

VILLA Glass antara penginapan yang menjanjikan suasana nyaman sambil menikmati panorama alam semula jadi.- Foto/The Waterway Villa
VILLA Glass antara penginapan yang menjanjikan suasana nyaman sambil menikmati panorama alam semula jadi.- Foto/The Waterway Villa

Di sini, semuanya lengkap. Landskap di setiap pelosok resort ini tampak kemas, dipenuhi pepohon menghijau, pelbagai spesies bunga dan ada sebatang sungai dilengkapi batu-batan tersusun rapi.

Bunyi deruan aliran air dari sungai itu menjadikan tempat ini ada aura tersendiri dan memberi pengalaman percutian berbeza.

Keheningan hutan dengan kicauan burung, unggas dan panorama indah berbukit-bukau serta udara segar seolah-olah seperti berada di desa nan permai.

PENGUNJUNG pasti merasa kesejukan air sungai di dalam telaga.- Foto/Gambar NSTP
PENGUNJUNG pasti merasa kesejukan air sungai di dalam telaga.- Foto/Gambar NSTP

Ruang penginapan pelbagai reka bentuk dengan ruang bilik yang luas, iaitu Bali Villa, Bamboo Villa, Glass Villa dan Hill Villa, cukup membuatkan anda rasa bagaikan berada dalam 'syurga dunia'.

Lokasi percutian santai khususnya pada hujung minggu membuatkan pengalaman pertama ke sini tidak puas dan mahu mengulangi lagi.

Tambah pula, resort ini sesuai untuk percutian keluarga, 'reunion' bersama rakan, majlis hari jadi, ulang tahun perkahwinan dan berbulan madu.

Tidak kira saiz kumpulan, penginapan disertakan dengan minum petang, makan malam serta sarapan sambil menghirup bayu bertiup lembut menyegar dan mendamaikan.

RESORT sesuai untuk percutian hujung minggu seperti ‘reunion’ bersama rakan dan keluarga.- Foto/NSTP
RESORT sesuai untuk percutian hujung minggu seperti ‘reunion’ bersama rakan dan keluarga.- Foto/NSTP

Pengarah Bahagian Penjualan dan Pemasarannya, Calvin Ang, mengakui Bentong dan Janda Baik, di Pahang adalah destinasi yang sempurna untuk dihayati bagi pencinta alam semula jadi yang ingin 'melarikan' diri daripada kesibukan kota.

Katanya, daerah itu sentiasa dikunjungi ramai terutama pada musim durian, selain banyak produk pelancongan lain di sini.

"Jadi jika ingin ke Bentong singgahlah bermalam di The Waterway Villa yang menjanjikan sebuah penginapan berbeza daripada biasa.

"Di resort ini juga ada dusun buah-buahan termasuk durian, rambutan, pisang, ciku, betik dan kelapa. Lazimnya bermula awal Jun hingga akhir tahun sentiasa ada pelbagai jenis buah-buah musimnya silih berganti.

"Pengunjung menginap di resort ini boleh menikmati buah-buahan yang ada di sini, selain mereka bebas meneroka kawasan ini," katanya.

Tak mungkin bosan di sini. Pengunjung boleh menghabiskan masa berjam-jam di kolam renang seluas 189 meter persegi, yang dilengkapi dengan gelongsor air 14 meter.

KOLAM renang seluas 189 meter persegi, dilengkapi dengan gelongsor air 14 meter antara disediakan di resort.- Foto/Ihsan The Waterway Villa
KOLAM renang seluas 189 meter persegi, dilengkapi dengan gelongsor air 14 meter antara disediakan di resort.- Foto/Ihsan The Waterway Villa

"Bagi kaki karaoke juga ada, tanpa perlu melangkah keluar daripada lokasi ini. Yang sukakan kegiatan lasak, kita juga sediakan aktiviti meredah hutan di kawasan ini yang diakhiri dengan mandi-manda di sungai berhampiran," katanya.

BAMBOO Villa antara penginapan dengan reka bentuk unik boleh memuatkan lebih enam orang.- Foto/Ihsan The Wateway Villa
BAMBOO Villa antara penginapan dengan reka bentuk unik boleh memuatkan lebih enam orang.- Foto/Ihsan The Wateway Villa

Berita Harian X