Ahad, 10 Mei 2020 | 10:30am
LEBIH 10,000 burung bangau terbang bebas Mumbai. (Foto/Agensi)
LEBIH 10,000 burung bangau terbang bebas Mumbai. (Foto/Agensi)

Lebih 10,000 bangau terbang bebas

Pandemik COVID-19 yang menutup hampir keseluruhan kegiatan manusia di dunia ternyata memberi manfaat kepada alam khususnya haiwan yang kini seakan-akan mendapat nafas baharu.

Perintah berkurung di India misalnya memberi manfaat kepada lebih 10,000 burung bangau yang kini dikesan terbang bertebaran bebas dan diam tanpa diganggu.

Burung tropika itu dilihat terbang di ruang udara Mumbai, ibu negeri Maharashtra di Barat India, sehingga ia menarik perhatian pemerhati burung di media sosial.

Ia dijangka datang singgah di Mumbai, beberapa bulan setahun, yang sering menjadi tarikan pelancong.

Penolong Pengarah Pertubuhan Sejarah Alam Sekitar Bombay (BNHS), Rahul Knot, berkata burung dengan berparuh lengkung itu secara tradisi akan bermigrasi untuk mencari makanan dari September tahun lalu hingga akhir Mei ini.

Katanya, tahun lalu, rekod kehadiran flamingo kira-kira134,000 di kawasan berkenaan tetapi kali ini, beliau percaya rekod baharu sudah dicatat.

"BNHS juga mengesan sebanyak 125,000 bangau, namun kerja itu terganggu selepas langkah berkurung akibat koronavirus dilakukan India pada 25 Mac lalu," katanya.

Kehadiran burung yang banyak juga dipercayai akibat kekurangan aktiviti manusia yang mematuhi perintah berkurung.

Bangau itu juga dikesan sudah menjajah kawasan tanah lembab, yang sebelum ini jarang dilihat.

Kisah mengenai haiwan yang kini bebas berada di bandar dan kota yang ditinggalkan manusia kini sudah terbit di merata dunia dan fenomena itu dapat dilihat di India yang biasanya sesak dengan di kawasan bandar serta mempunyai tahap pencemaran yang terlalu tinggi.

Tetapi kini, burung datang ke Mumbai untuk makan dan membiak.

Sehingga kini negara itu masih dalam tempoh berkurung sebagai usaha untuk menyekat penularan wabak koronavirus. Keretapi, kapal terbang serta bas tidak beroperasi dan cuma hanya aktiviti penting sahaja dibenarkan berjalan.

Selain bangau, haiwan lain yang dilihat mendapat manfaat besar adalah monyet di Delhi, ikan lumba-lumba turut dilihat di Sungai Ganges buat kali pertama dalam tempoh beberapa tahun. - AGENSI

Berita Harian X