Ahad, 26 April 2020 | 10:16am
Kali pertama Indira Gandhi Memorial Tulip Gardendi, Kashmir, iaitu yang terbesar di Asia ditutup susulan arahan perintah berkurung di India. - Foto/Agensi
Kali pertama Indira Gandhi Memorial Tulip Gardendi, Kashmir, iaitu yang terbesar di Asia ditutup susulan arahan perintah berkurung di India. - Foto/Agensi

Pesona tulip tersergam indah

Penularan virus COVID-19 yang menjadi pandemik global mengakibatkan banyak tempat tumpuan pelancong terpaksa ditutup.

Wabak maut itu turut menyebabkan banyak negara terpaksa mengambil keputusan melaksanakan peraturan ketat termasuk perintah berkurung dan perintah kawalan pergerakan sehingga menjejaskan aktiviti pelancongan.

Di Kashmir, buat pertama kali taman tulip termasyhur di wilayah berkenaan dan terbesar di Asia ditutup selepas dibuka sejak tahun 2007.

Penutupan Indira Gandhi Memorial Tulip Garden susulan perintah berkurung yang dilaksanakan kerajaan India pada Mac lalu dibuat bagi membendung penularan COVID-19 sekali gus menjejaskan sektor pelancongan di wilayah bergolak berkenaan.

Pengarah Jabatan Floriculture Kashmir, Farooq Ahmed Rather, menjelaskan semua aktiviti di taman bunga berkenaan dihentikan ketika ini.

"Semua inisiatif yang kami lakukan terpaksa dihentikan disebabkan penularan virus ini. Kerja keras selama ini sudah tentu akan membuahkan hasil dengan kehadiran ramai pengunjung di taman ini.

"Namun, amat malang kerana tiada pelancong mahupun pengunjung ke taman bunga ini disebabkan perintah berkurung bagi membendung wabak COVID-19," katanya.

Rather berkata, taman terbabit meliputi kawasan lebih 30 hektar dilawati ribuan pelancong domestik dan luar negara setiap tahun.

Lebih 250,000 pelancong melawat Kashmir setiap tahun terutama pada musim bunga.

Bagaimanapun, perintah berkurung yang dilaksanakan bagi membendung COVID-19 menyebabkan taman bunga terkemuka di dunia itu menjadi sepi.

Lebih 250,000 pengunjung setahun pelancong melawat taman bunga di Kashmir. - Foto/Agensi
Lebih 250,000 pengunjung setahun pelancong melawat taman bunga di Kashmir. - Foto/Agensi

Dikelilingi gunung dan banjaran Zabarwan yang gah selain berhampiran dengan Tasil Dal yang mempersonakan, taman bunga itu menjadi 'kediaman' kepada lebih 50 jenis bunga termasuk daffodil, muscaria, iris, hyacinth, rmawar and ranunculus, kebanyakannya diimport dari Belanda.

Bagaimanapun, pihak berkuasa bimbang segala usaha dan insiatif menyelenggara taman itu menjadi sia-sia jika perintah berkurung dilanjutkan.

"Kehidupan menjadi terbatas dan sektor pelancongan terjejas teruk. Setiap sektor terkesan dengan penularan wabak ini. Kami menanam kita 13 juta bunga tulip tahun ini dan ini adalah kerugian amat besar kepada Kashmir," menurut seorang pegawai Jabatan Floriculture Kashmir yang enggan dinamakan.

Perintah berkurung dilaksanakan ketika protes besar-besaran dilakukan berikutan Perdana Menteri India, Narendra Modi menarik balik status khas Kashmir pada 5 April tahun lalu.

Seorang daripada pekebun taman itu memberitahu, walaupun terkesan dengan perintah berkurung yang dilaksanakan, arahan itu tepat pada masanya.

"Kami bekerja keras menyediakan taman bunga ini untuk dikunjungi pelawat. Amat malang sekali semua usaha itu terhenti namun kami faham dengan keputusan yang diambil," katanya.

Bagaimanapun, kakitangan taman terbabit yakin Indira Gandhi Memorial Tulip Garden akan beroperasi semula sebaik sahaja perintah berkurung ditamatkan. - Agensi

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X