Ahad, 22 March 2020 | 9:00am

Rumah kayu imbas kenangan

KUANTAN: Sebuah rumah kayu berwarna kelabu dengan tingkap nako di tepi Jalan Galing Besar di sini, sering membangkitkan persoalan kepada mereka yang melalui satu daripada jalan utama di bandar Kuantan ini.

Jika diteliti, rumah itu dengan tangga batu dan cermin tingkap nako sama sahaja seperti rumah lama yang lain, sehinggalah pengunjung menjejak kaki ke bahagian dalam rumah berkenaan.

Melangkah masuk ke dalam rumah itu, pengunjung akan mendapati setiap inci dalamannya dihiasi dengan barangan antik, sehinggakan berasa seolah-olah dibawa kembali ke zaman klasik yang bagi kebanyakan orang, hanya dilihat dalam filem lama lakonan seniman negara Tan Sri P Ramlee.

Peniaga, Ahmad Shirmi Tamsin, 35, salah seorang daripada tiga pentadbir Rumah Klasik Kuantan (RKK), berkata mereka sudah lali dengan reaksi pelawat yang menyifatkan kedatangan ke situ membangkitkan nostalgia lama.

Hidupkan kenangan lama

“Rumah ini dibahagikan kepada beberapa bahagian dengan setiap satu dipenuhi barangan antik menghidupkan kenangan lama, seperti ruangan dapur yang dilengkapi pinggan mangkuk dan koleksi mangkuk tingkat lama yang sering digunakan nenek moyang zaman dulu.

“Begitu juga dengan ruang tamu dan bilik tidur, semuanya perabot lama dan dikekalkan seperti keadaan asal supaya zaman nostalgia itu hidup dalam diri setiap pengunjung,” katanya.

Ahmad Shirmi berkata, rumah itu yang disewa daripada anak jati Kuantan dibina sekitar 50-an dan hanya diubah suai sekali sahaja iaitu pada 70-an menjadikan ia ‘keputusan paling tepat’ untuk mereka menghimpunkan barangan klasik di situ.

Barang-barang klasik berusia puluhan tahun menghiasi dapur yang menarik mata sesiapa yang mengunjungi Rumah Klasik Kuantan. - Foto BERNAMA
Barang-barang klasik berusia puluhan tahun menghiasi dapur yang menarik mata sesiapa yang mengunjungi Rumah Klasik Kuantan. - Foto BERNAMA

Imbas anak jati Pahang itu, rumah itu pada asalnya dijadikan lokasi peminat barangan antik berhimpun sebelum mereka sepakat menjadikannya sebagai lokasi menghimpun dan mempamer yang akhirnya membawa kepada penubuhan RKK pada tahun 2016.

“Siapa sangka, konsep klasik yang diketengahkan juga menarik minat ramai orang sehingga rumah ini menjadi pilihan kepada pasangan pengantin dan keluarga yang mahu merakam gambar dalam suasana lama.

“Selain perabot lama, RKK juga mempunyai sudut rumah pasung atau balai polis, kelas, sudut pustaka dan ruangan kedai gunting rambut dan kedai makan lama,” katanya.

Ahmad Shirmi berkata balai polis itu, sebagai contoh mempamerkan pakaian seragam polis dan laporan polis tulisan tangan dari tahun 1966 serta keratan akhbar supaya ditubuhkan pasukan peronda kampung bagi menghadapi ancaman komunis.

Bahagian dapur

Sementara itu, ruangan kelas yang ‘dihidupkan’ di satu daripada dua bilik rumah itu pula menyimpan barangan paling lama di RKK iaitu sebuah pengasah pensel besi daripada Jerman yang diperbuat pada tahun 1920.

Bagi wanita, sudah pasti tarikan utama adalah bahagian dapur kerana terdapat replika dapur kayu dan tikar bersama tudung saji tiga segi yang diperbuat daripada mengkuang selain beberapa tin susu dan minuman dari zaman lama tersusun di para kayu berhampiran dapur.

Tidak hanya dengan peralatan antik, Ahmad Shirmi berkata RKK yang terletak kurang 30 minit perjalanan dengan kenderaan dari pusat bandar kuantan, turut mempamerkan wang kertas lama dan gambar lama kesultanan Pahang serta bandar Kuantan.

“Kami mahu generasi muda tidak lupa sejarah, menyebabkan kami sanggup mengeluarkan belanja sendiri untuk mewujudkan RKK, walaupun banyak berhadapan dengan dugaan daripada mereka yang cuba menjual barangan palsu.

“Bagaimanapun, minat dan pengalaman menyebabkan kami lebih berhati-hati dalam menilai supaya tidak terpedaya bagi membolehkan pengunjung dapat menikmati pengalaman berada di zaman lama yang sebenar,” katanya. – BERNAMA

Barang-barang klasik berusia puluhan tahun menghiasi dapur yang menarik mata sesiapa yang mengunjungi Rumah Klasik Kuantan. - Foto BERNAMA
Barang-barang klasik berusia puluhan tahun menghiasi dapur yang menarik mata sesiapa yang mengunjungi Rumah Klasik Kuantan. - Foto BERNAMA

INFO: Rumah Klasik Kuantan
- Ia adalah sebuah Galeri Rakyat.
- Untuk masuk ke rumah ini dikenakan bayaran dan duit itu digunakan bagi sumbangan untuk menampung kos operasi;
Dewasa : RM4
Warga emas: : RM2
Kanak-kanak: RM2
Pelajar sekolah (Berpakaian seragam): RM1
- Ada menawarkan perkhidmatan membeli, menjual, menyewa dan mempamerkan barang lama/antik.
Lokasi: A106, Jalan Galing, 25000 Kuantan, Pahang.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X