Isnin, 30 September 2019 | 9:00am
Penambahbaikan muzium kembalikan nostalgia aktiviti lombong bijih timah. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Sungai Lembing kembali 'bernyawa'

NAMA Sungai Lembing memang tidak asing lagi kerana ia sinonim dengan aktiviti perlombongan bijih timah suatu ketika dahulu.

Lokasi itu bukan sahaja terkenal dalam kalangan penduduk tempatan, malah turut menarik perhatian dunia ketika zaman kemuncaknya antara 1906 hingga 1986 sekali gus mendapat gelaran El-Dorado Timur Tanah Melayu.

Sungai Lembing ketika itu antara penyumbang terbesar ekonomi negara sehingga kejatuhan harga bijih timah di pasaran dunia pada 1986.

Sejak itu, Sungai Lembing yang terletak kira-kira 42 kilometer dari bandar Kuantan, Pahang itu kian sunyi dan jarang disebut sebagai destinasi tarikan pelancong.

Osman Abdul Rahman yang juga bapa penulis, ketika remaja sudah berhijrah dari Pekan, Pahang ke Sungai Lembing pada sekitar 1940-an untuk mencari pekerjaan demi kehidupan lebih selesa.

Malangnya, harga bijih timah mula merudum sekitar 1986. Ketika itu, ramai pekerja lombong dan penduduk Sungai Lembing berhijrah ke FELDA atau ke tempat lain untuk meneruskan kehidupan.

Osman yang bersara daripada jawatannya pada tahun 1980 terus menetap di situ sehingga akhir hayat beliau.


Muzium Sungai Lembing mula dibuka kepada pengunjung sejak 2001 dan menarik pelancong tempatan dan luar negara termasuk dari Eropah. - NSTP/Zulkepli Osman

Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah (Sultan Pahang keempat) akan menginap di bilik tidur utama ini setiap kali datang ke Sungai Lembing. - NSTP/Zulkepli Osman

Namun, Pekan Sungai Lembing yang sekian lama sunyi kembali bernyawa hasil usaha Jabatan Muzium Malaysia dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) membaik pulih sebuah banglo untuk dijadikan Muzium Sungai Lembing.

Kerja membaik pulih itu bertujuan mengembalikan semula ingatan penduduk terutama masyarakat luar kepada aktiviti lombong bijih timah lombong bawah tanah yang terdalam dan terpanjang di dunia.

Inisiatif Jabatan Muzium Malaysia membangunkan muzium itu mengembalikan nostalgia kegemilangan Sungai Lembing sebagai bandar terkaya pengeluar bijih timah di Pahang.

Muzium Sungai Lembing mula dibuka kepada pengunjung sejak 2001 dan menarik pelancong tempatan dan luar negara termasuk dari Eropah.

Penulis yang juga anak kelahiran Sungai Lembing berkunjung ke muzium yang asalnya sebuah banglo itu, baru-baru ini.


Muzium Sungai Lembing mempamerkan pelbagai gambar aktiviti dan alatan melombong bijih timah sejak 1906 hingga 1986. - NSTP/Zulkepli Osman

Dahulunya dikenali dalam kalangan penduduk setempat sebagai ‘The European Bungalow’ iaitu kediaman pengurus bangsa Eropah yang ditugaskan memantau aktiviti perlombongan di Sungai Lembing.

Muzium yang terkenal dengan seni bina berciri kolonial ini terletak di atas bukit dan menghadap sebatang sungai iaitu Sungai Kenau.

Sebaik memasuki ruang pameran, pengunjung berpeluang melihat beberapa koleksi peralatan perlombongan yang pernah digunakan untuk melombong bijih timah antaranya, lampu kepala berkuasa bateri, pengetup batu dan beberapa alatan mencari bijih yang dipamerkan.

Tingkat atas muzium ini menempatkan sejarah perlombongan dan geologi, teknik dan kaedah perlombongan serta pakaian untuk melombong.

Terdapat sebuah bilik yang sering digunakan Sultan Pahang keempat, Almarhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah ketika baginda mengunjungi Sungai Lembing.

Muzium Sungai Lembing

• Ditubuhkan bagi mengimbau zaman kegemilangan Sungai Lembing sebagai bandar terkaya pengeluar bijih timah.

• Lokasi : Jalan Muzium, Sungai Lembing,

• Dibuka setiap hari

• Operasi jam 9 pagi-5 petang

• Bayaran masuk RM2 (dewasa) & RM1 (kanak-kanak)

Berita Harian X