Ahad, 15 September 2019 | 10:00am
Peserta MCD2019 menjayakan aktiviti selaman skuba untuk pemuliharaan terumbu karang di Pulau Redang, Terengganu. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Karang Redang indah menawan

KEINDAHAN warna warni dasar laut jadi buruan penyelam Pulau Redang, Terengganu cantik luar biasa. Langit cerah berwarna biru, disulami air lautnya yang jernih bak kristal, penulis tidak teragak-agak menamakan Redang sebagai permata tersembunyi di Pantai Timur.

Sebelum ini keindahan Redang hanya dilihat menerusi kaca televisyen mahupun risalah pelancongan, namun apabila tengok sendiri, Redang sebenarnya mini Maldives!

Penulis menganggarkan, pada hujung minggu, cuti sekolah mahupun musim perayaan, tidak kurang daripada 1,000 pengunjung sehari bertandang ke Redang apabila pulau peranginan itu menyediakan lebih 15 resort berstatus tiga hingga lima bintang di sekelilingnya.

Rata-rata yang bercuti ke Redang dalam kalangan pengunjung yang meminati aktiviti selam skuba dan snorkeling. Semuanya gara-gara hendak melihat keindahan dasar laut diwarnai hidupan marin pelbagai spesies dan pesona terumbu karangnya.

Pembiakan ‘Mahkota Baiduri’ atau dalam kalangan penyelam skuba dikenali Crown of Thorn (COT) turut mengancam pembiakan terumbu karang.

Justeru, kepupusan dibimbangi menghantui pelancong yang gemar meneroka dasar laut, hingga mengganggu ekosistem Taman Laut Malaysia Terengganu.

Labuh tukun tiruan

Sehubungan itu, penulis menyertai edscuba, selaku badan bukan kerajaan (NGO) menjalankan usaha pemuliharaan alam sekitar terutama kehidupan terumbu karang supaya terus membiak di persekitaran pulau untuk menarik kebanjiran pelancong, lebih-lebih lagi pada Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020.


Penyelam skuba meninjau pemuliharaan terumbu karang pada tukun tiruan yang dilabuhkan di sekitar lokasi selaman di perairan Pulau Redang. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Pelawaan Pengarah Projek Merdeka Conservationn Dive (MCD) 2019, Nor' Azlan Mohd Zain tidak dilepas apabila penulis dimaklumkan bakal menyertai aktiviti selam skuba ke dasar laut perairan Redang untuk melabuhkan tukun tiruan.

Penggunaan tukun tiruan itu kata beliau, bertujuan menarik pembiakan terumbu karang pelbagai spesies, selain hidupan marin yang bertindak sebagai habitat semula jadi.

"Pihak kami bekerjasama dengan Jabatan Perikanan Malaysia (bahagian Taman Laut dan pengurusan sumber) melabuhkan tukun tiruan dinamakan Castle Reef iaitu binaan konkrit hasil ciptaan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

"Sebelum ini kami pernah melabuhkan tukun tiruan yang dikenali Cheese Block, Dome dan Enviro Reef yang mampu menarik pembiakan terumbu karang.

"Saya berharap dengan kehadiran TMM2020, pelancong lebih tertarik bercuti di Pulau Redang melakukan aktiviti selam skuba mahupun snorkeling sambil menikmati keindahan terumbu karangnya," kata Nor Azlan.

Kekal ekosistem laut

Program sempena sambutan kemerdekaan negara itu secara tidak langsung memberi kesedaran kepada orang ramai pentingnya penjagaan alam semula jadi dengan aktiviti pemuliharaan hidupan marin, khususnya pembiakan terumbu karang pada tukun tiruan.

Pendedahan awal kepada generasi muda ini penting supaya mereka dapat sama-sama menghayati erti kemerdekaan yang diterjemahkan menerusi aktiviti pemuliharaan sumber alam bagi mengekalkan penjagaan ekosistem, selain memperkasa industri eko-pelacongan negara.


Program MCD2019 diharap menambah lokasi selam skuba untuk menarik lebih ramai pelancong ke pulau sekitar Terengganu terutama ketika TMM2020. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Sementara itu, Pengarah, Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Negeri Terengganu, Zanariah Zakaria, berkata aktiviti selam skuba dan snorkerling menjadi fokus percutian negeri berkenaan kerana memiliki 13 produk pelancongan sedia ada terdiri daripada pulau peranginan popular.

"Program MCD2019 diharap menambah lokasi selam skuba untuk menarik lebih ramai pelancong ke pulau sekitar Terengganu terutama ketika TMM2020.

"Kami menyokong usaha murni edscuba termasuk rakan penaja untuk kelestarian eko-pelancongan seluruh Terengganu sentiasa terpelihara," jelasnya.

FAKTA NOMBOR

• 1 jam 15 minit menaiki feri dari Jeti Pelancongan Syahbandar, Kuala Terengganu ke Pulau Redang.

• RM55 tambang feri sehala bagi seorang dewasa.

• 60 kilogram berat konkrit tukun tiruan Castle Reef.


Antara peserta MCD2019 yang menjayakan aktiviti selaman skuba untuk pemuliharaan terumbu karang di Pulau Redang, Terengganu. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

INFO

• Penganjuran Merdeka Conservationn Dive (MCD) 2019 memasuki edisi ke-11, program pertama pada 2008.

• Tiga pulau utama di Terengganu yang menjadi pilihan pelancong untuk aktiviti selam skuba ialah Pulau Redang, Perhentian dan Tenggol.

• Pembiakan terumbu karang pada tukun tiruan yang dilabuhkan terdiri daripada pelbagai spesies antaranya Table Coral dan Staghorn.

Berita Harian X