Ahad, 20 Januari 2019 | 10:00am

Bermain ombak di gedung beli-belah

Lazimnya apabila bermain sukan ekstrem seperti luncur air atau ombak, lebih popular dikenali surfing, peminatnya akan memilih laut yang mempunyai tiupan angin kuat, sekali gus menghasilkan ombak ‘cantik’ bagi menggerakkan papan luncur dan pemainnya ke pesisir pantai.

Peluncur berasa puas apabila berjaya melakukan pelbagai formasi luncuran di atas permukaan air.

Namun, laut di negara kita tidak mampu menghasilkan ombak ‘cantik’ sesuai bagi aktiviti luncur air terutama di perairan Pantai Timur dan Sabah.

Malah, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) kerap mengeluarkan amaran mengenai taufan yang dijangka menyebabkan angin kencang dan laut bergelora, sekali gus menghasilkan ombak besar bahaya kepada semua aktiviti laut serta pantai.

Justeru, pelancong atau peminat sukan luncur air kerap menjadikan beberapa pantai ternama seperti di Bali, Indonesia sebagai destinasi pilihan luncur air apabila ombak yang terhasil sangat sesuai bagi tujuan sukan berkenaan.

Tambahan pula premis penginapan terletak di pesisir pantai sekitar Bali turut menyediakan khidmat jurulatih luncur air bagi pelancong kali pertama ingin mencuba aktiviti berkenaan.


ANTARA aksi yang dilakukan peluncur air di FlowRider. - Foto Aziah Azmee

Gelongsor air ombak buatan

Kini, bagi pencinta luncur air, tidak perlu lagi membazir wang dan waktu berkunjung hingga ke Bali bagi merealisasikan impian meluncur ombak, sekali gus menggadai nyawa kerana bukan semua pantai di situ menyediakan khidmat penjaga pantai atau coast guard, sebaliknya mereka hanya perlu ke pusat beli-belah di Lembah Klang untuk bermain luncur air.

Pusat beli-belah ada ombak ke? Pengunjung boleh layan luncur air? Persoalan inilah yang diajukan kepada penulis apabila memaklumkan kepada penggemar sukan berkenaan, mereka boleh merasai pengalaman sebenar seolah-olah meluncur di lautan.

Bezanya dalam pusat beli-belah menghasilkan ombak buatan yang mempunyai kederasan air sama seperti ombak di lautan sesuai bagi luncur air.

Penggemar luncur air hanya perlu ke pusat rekreasi, FlowRider terletak di pusat beli-belah One Utama yang menyediakan gelongsor air bagi menghasilkan ombak buatan apabila ia dianggap ‘syurga’ bagi pencinta sukan air berkenaan.

Turut disediakan khidmat jurulatih profesional untuk membantu pengunjung kali pertama cuba untuk meluncur ombak. Kini, destinasi berkenan menjadi pilihan pelancong.


PENGUNJUNG boleh merasai pengalaman sebenar seolah-olah meluncur di lautan. - Foto Aziah Azmee

Seperti bermain di lautan

Jurulatih FlowRider, Nazri Salim, 25, berkata luncur air mempunyai dua pergerakan asas, bodyboard iaitu meluncur sambil melutut atau baring (meniarap) di atas papan luncur dan flowboard (meluncur sambil berdiri).

Katanya, apabila di lautan, sukan berkenaan dinamakan luncur air atau ombak, sekiranya meluncur di pusat beli-belah dengan bantuan ombak buatan, ia dikenali luncur air simulator.

“Meluncur di FlowRider, pengalaman dan perasaannya sama seperti meluncur di lautan, tasik atau sungai. Tambahan pula, kami menggabungkan tiga jenis sukan ekstrem sekali gus iaitu luncur air, papan selaju (skateboard) dan luncur salji (snowboard).

“Perasaan dan ilmu diperoleh, seolah-olah anda sedang bermain semua aktiviti berkenaan di lokasi sebenar.

“Kali pertama meluncur ombak, imbangan badan atas papan ketika meluncur, perlu stabil. Harus mengawal badan bagi mengelakkan anda terjatuh dalam air.

“Itu bagi bodyboard, manakala flowboard, berdiri atas papan dalam posisi badan yang betul. Bagi kali pertama, berdiri sambil memegang tali untuk memperoleh keseimbangan badan,” katanya.

Bagi pengunjung kali pertama cuba meluncur ombak, Joey Chun, 24, dan Nazeera Sardi, 32, kedua-duanya mengakui aktiviti luncur air dalam pusat beli-belah memberi pengalaman unik, selamat dan sangat praktikal.

Malah mereka berpendapat, orang ramai tidak perlu lagi ‘menjinakkan’ ombak di lautan bagi melakukan pergerakan asas, sekali gus memperoleh ilmu segera untuk menguasai sukan ekstrem berkenaan.


FlowRider menyediakan khidmat jurulatih profesional untuk membantu pengunjung kali pertama cuba untuk meluncur ombak. - Foto Aziah Azmee

FAKTA NOMBOR

* 107 sentimeter

ketinggian minimum

pemain luncur air

(body boarding)

* 20-25 kilometer sejam

kederasan air/ombak FlowRider

* 25 darjah

kecuraman permukaan

gelongsor air FlowRider

* RM55

bayaran sesi satu jam (regular ride)

pada hujung minggu dan cuti umum

INFO

* Luncur air adalah sukan ekstrem di permukaan air membabitkan bantuan kederasan ombak yang bergerak, lazimnya membawa peluncur ke arah pesisiran pantai

* Selain di lautan, peluncur juga sering memilih tasik atau sungai dengan bantuan bot laju, lalu membentuk ombak yang mampu menggerakkan papan luncur

* Kolam ombak buatan dihasilkan FlowRider hanya membenarkan dua peluncur sahaja untuk bermain bodyboard mahupun flowboard dengan pengawasan jurulatih

* Pusat luncur air, FlowRider terletak di aras lower ground (LG), pusat beli-belah 1 Utama (bangunan lama), Bandar Utama, Petaling Jaya, beroperasi 10 pagi hingga 10 malam

PENGUNJUNG meluncur air di FlowRider di pusat beli-belah One Utama. - Foto Aziah Azmee
ANTARA aksi yang dilakukan peluncur air di FlowRider. - Foto Aziah Azmee
PENGUNJUNG boleh merasai pengalaman sebenar seolah-olah meluncur di lautan. - Foto Aziah Azmee
FlowRider menyediakan khidmat jurulatih profesional untuk membantu pengunjung kali pertama cuba untuk meluncur ombak. - Foto Aziah Azmee
Berita Harian X