Ahad, 2 Disember 2018 | 4:13pm

Pasar Seni syurga pelancong

Pelancong dunia mengenali Camden Market di London, United Kingdom (UK) yang berusia hampir 227 tahun apabila menjual pelbagai barangan atau kraftangan buatan warga Britain dengan harga berpatutan.

Ole-ole bercirikan negara berkenaan mudah dan murah diperoleh berbanding mendapatkannya di gedung terkemuka seperti Harrods yang terletak di kawasan elit, Knightsbridge.

Begitu juga warga asing khususnya dari Eropah apabila bertandang ke Kuala Lumpur (KL), mereka memilih Pasar Seni atau Central Market (CM), di Jalan Hang Kasturi, sebagai destinasi mendapatkan ole-ole yang berciri atau bermotifkan Malaysia pada harga mampu milik.

Berbanding mendapatkan produk yang sama, tetapi dijual di pusat beli-belah mega seperti Pavilion KL, harganya melambung tinggi dan tidak masuk akal.

Seorang kenalan penulis dari Amsterdam, Belanda, baru-baru ini bertanya tempat beli-belah bagi mendapatkan cendera mata atau ole-ole yang bercirikan seni atau budaya Malaysia pada harga berpatutan, namun menampilkan pelbagai pilihan bagi memenuhi cita rasanya.


PASAR Seni, Kuala Lumpur sering jadi tumpuan pelancong melihat pelbagai keunikan produk buatan Malaysia. - Foto Salhani Ibrahim

Beliau tidak mahu mendapatkan produk yang sama di pusat beli-belah terkemuka di ibu negara atau lapangan terbang kerana harganya mahal dan kadang-kala tidak masuk akal.

Produk kraftangan bermotifkan setiap negeri yang ada di Malaysia menjadikan Pasar Seni, lokasi wajib dikunjungi untuk membeli pelbagai cendera hati dibawa pulang, selain berkualiti dan banyak pilihan serta harga berpatutan.

Disebabkan kenalan penulis itu pengembara backpackers dan tinggal di negara ini untuk tempoh waktu yang lama, pastinya beliau mahu berjimat-cermat, lantaran itu tidak perlulah berbelanja besar semata-mata kerana ole-ole berkenaan.

Pastinya, Pasar Seni destinasi yang dicadangkan. Segala barangan bersama kriteria yang diingininya terdapat di situ. Lagipun, lokasi Pasar Seni sangat strategik apabila terletak di kawasan tumpuan pelancong backpackers di sekitar Jalan Petaling dan Dataran Merdeka.

Sebenarnya, Pasar Seni dianggap ‘syurga’ bukan saja dalam kalangan pelancong backpackers, malahan menjadi pilihan pengunjung domestik terutama dari luar KL bagi memperoleh produk buatan anak tempatan untuk dijadikan cendera mata atau kegunaan peribadi.

Bagi mencerminkan budaya berwarna-warni, Pasar Seni menampilkan kedai atau gerai yang dibahagikan kepada tiga zon mengikut tiga kaum utama di Malaysia iaitu Lorong Melayu, Lorong Cina dan Lorong India, menjual pelbagai produk atau kraf tangan bercirikan kaum berkenaan serta budaya masing-masing.


LOKASI strategik terletak di kawasan tumpuan pelancong backpackers. - Foto NSTP

Manakala Lorong Kelapa menjual beraneka snek Melayu tradisional seperti keropok dan kuih-muih. Bagi memberi kelainan, pengunjung juga boleh mendapatkan lebih pilihan cendera mata atau kraftangan termasuk gerai menjual makanan di kaki lima Pasar Seni yang dikenali Kasturi Walk apabila menampilkan ruangan terbuka atau alfresco dengan persekitaran santai.

Pengunjung berminat memperoleh pelbagai pilihan fabrik seperti batik, songket, kebaya, produk logam seperti pewter dan mencari pelukis karikatur berbakat untuk melakar potret mereka, Pasar Seni mampu memenuhi cita rasa itu.


MENJUAL pelbagai pilihan fabrik seperti batik, songket, kebaya, produk logam seperti pewter dan mencari pelukis karikatur berbakat untuk melakar potret. - Foto NSTP

FAKTA NOMBOR

* 130 tahun

usia Pasar Seni

* 97 tahun

berfungsi sebagai

pasar besar / basah

RM10 juta

kos naik taraf

21,200 meter persegi

keluasan ruang niaga

INFO

PASAR SENI

* Pasar Seni atau Central Market asalnya sebuah pasar besar atau pasar basah, dibina pada akhir kurun ke-18 oleh Kapitan Cina, Yap Ah Loy

* Menjadi pusat tumpuan perniagaan ikan, daging dan sayur-sayuran serta keperluan harian lain dalam kalangan pelombong bijih timah sekitar Lembah Klang

* Pada 1936, jurutera bandar, R H Seed memperluaskan lagi bangunan pasar besar dengan menampilkan dekorasi seni atau art deco

* Pada 15 April 1986, pasar besar secara rasminya dikenali sebagai Pasar Seni sehinggalah hari ini

Berita Harian X