Ahad, 20 Mei 2018 | 11:22am
MUZIUM Tekstil di Kuala Lumpur. - Foto Aziah Azmee
MUZIUM Tekstil di Kuala Lumpur. - Foto Aziah Azmee

Kenali warisan khazanah negara

IRAMA rakyat pak ketipak ketipung yang bergema dalam Galeri Ratnasari, Muzium Tekstil, di ibu negara menggamit pelancong asing untuk berjoget lambak sambil memakai kain batik sarung dan pelikat.

Biarpun kali pertama menyarungkan kain, 72 pelancong dari China, Vietnam, Taiwan, Jepun dan Iran kelihatan tidak sedikit pun kekok dan tersenyum gembira menari sesama mereka.

Sebelum itu, mereka juga berpeluang meninjau sudut perhiasan diri Melayu di galeri berkenaan dan belajar cara memakai kain batik dan pelikat.

Timbalan Ketua Setiausaha Kebudayaan, Kementerian Pelancongan, Saraya Arbi, berkata aktiviti itu dirancang khas untuk pakej "Denai Malam Muzium-Kehebatan Muzium Di sebelah malam" yang diperkenalkan oleh Jabatan Muzium Malaysia (JMM) 2018 dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta seperti agen pelancongan.

"Pelancong berpeluang melawat tiga muzium iaitu Muzium Tekstil, Muzium Diraja (Istana Negara lama) dan Muzium Negara di sebelah malam.

"Matlamatnya supaya mereka dapat mengenali warisan khazanah negara secara lebih dekat selain mempelbagaikan aktiviti pelancongan," katanya.

Pelancong dibekalkan dengan potpori bunga rampai menjadi cenderamata tatkala melangkah keluar dari Muzium Tekstil ke Muzium Diraja.

Lihat balairung

Simbahan cahaya lampu menyerlahkan keindahan Istana Negara yang tersergam di atas bukit, memaparkan keindahan malam bandaraya yang dikelilingi bangunan pencakar langit.

Kilauan chandelier di anjung istana cukup mengagumkan ketika melewati bahagian berkenaan untuk ke Balairung Seri Utama.

Pengunjung berpeluang melihat secara dekat tempat bersemayam Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong sejak 1957 hingga 2011 untuk acara rasmi.

Istana Negara lama ini dijadikan Muzium Diraja dan mula dibuka kepada orang ramai pada Februari 2013 sehingga kini.

Kumpulan pelancong turut berpeluang mempelajari cara melipat tengkolok 'Dendam Tak Sudah' dan lebih menarik menikmati hidangan Nasi lemak, teh tarik dan pemanis mulut, puding Diraja dengan cara bersila atau bersimpuh.

Cuba busana tradisional

Muzium Negara menjadi destinasi terakhir yang menawarkan peluang memasuki sudut yang memaparkan sejarah kemunculan kerajaan Melayu di seluruh Nusantara.

Mereka juga berpeluang mencuba busana pakaian tradisional Melayu seperti Baju Melayu dan Kebaya yang turut dipaparkan di sudut sama.

Malam terus meriah dengan acara menari di bawah sinar bulan sambil diiringi pancaragam yang memainkan lagu tradisional dan lagu retro pelbagai bahasa sambil menikmati pemanis mulut seperti kuih onde onde atau buah melaka serta sagu gula melaka.

Info

* Waktu lawatan:

- 8 malam sehingga 11 malam.

- Sabtu minggu pertama

- Sabtu minggu ketiga

* Bayaran:

- RM98 seorang (termasuk makan minum)

*Sasaran:

- Pelancong tempatan dan luar negara.

Berita Harian X