Rabu, 17 Januari 2018 | 10:32pm
GLADYS menyusun bahan bacaan yang disumbangkan orang ramai untuk ditukarkan sempena KLEB. - Foto Siti Nur Mas Erah Amran

Sistem barter buku berkonsep kitar semula

KUALA LUMPUR: Sistem pertukaran buku yang diaplikasi menerusi KL Book Exchange menjadi platform buat peminat buku yang ingin mencari bahan bacaan baharu secara percuma.

Pengasasnya, Gladys Wong, 30, berkata program yang dijalankan sejak empat tahun di Taman Desa bukan sahaja memiliki pengikut tersendiri, malah sambutan yang diterima amat memberangsangkan.

Katanya, caranya mudah dan sesiapa sahaja boleh ke sini pada Ahad minggu pertama setiap bulan dari jam 8.45 pagi hingga jam 10.45 pagi.

"Bawa buku yang sudah habis dibaca atau novel yang tidak diingini lagi dan tukarkannya dengan bahan bacaan baharu sumbangan pengunjung lain.


PENGUNJUNG memilih buku untuk ditukar sempena KL Book Exchange (KLBE) di Taman Desa.- Foto Siti Nur Mas Erah Amran

PROGRAM KL Book Exchange berlangsung pada hari Ahad minggu pertama setiap bulan.- Foto Siti Nur Mas Erah Amran

"Aktiviti ini adalah percuma dan teknik yang digunakan dapat dimanfaatkan semua, sekali gus mengurangkan risiko buku lama dibuang ke dalam tong kitar semula," katanya ketika ditemui BH Plus, di sini.

Gladys yang juga kakitangan swasta berkata, ideanya itu timbul selepas mendapati kebanyakan orang akan membawa buku lama ke pusat kitar semula.

"Sayang apabila melihat bahan bacaan yang masih elok dibuang begitu sahaja dan saya kemudian menawarkan diri untuk menghantar buku yang masih elok ke perpustakaan atas talian di kafe Four Letter Word.

"Malangnya, sambutan yang diterima tidak memberangsangkan kerana kekurangan promosi namun saya tidak berputus asa dan positif program pertukaran buku seumpama ini pasti akan digemari ramai.

"Saya tidak pernah kira bilangan novel dan buku yang pernah ditukar di sini kerana jumlahnya terlalu banyak namun pengalaman yang diperoleh adalah memori paling berharga," katanya.


PELBAGAI genre buku dan novel boleh didapati di kaki lima berhampiran parkir di Taman Desa.- Foto Siti Nur Mas Erah Amran

PELBAGAI genre buku dan novel boleh didapati di kaki lima berhampiran parkir di Taman Desa.- Foto Siti Nur Mas Erah Amran

Beliau berkata, projek terbaru, oneforone.my menawarkan pertukaran buku atas talian dan pelanggan boleh memilih buku yang diingini sebelum membuat bayaran menerusi transaksi bank.

"Saya juga pernah berulang-alik pada setiap Ahad minggu ketiga ke Pulau Pinang untuk mengadakan program sama namun selepas aktiviti itu stabil, saya serahkannya kepada rakan untuk menguruskannya," katanya.

Bercerita mengenai bahan bacaan yang ditawarkan, Gladys mengakui novel Bahasa Inggeris menduduki carta teratas selain buku bahasa Mandarin dan Bahasa Melayu.

"Semua jenis novel dan buku diterima kecuali majalah dan buku 'travel' kerana genre ini akan lapuk selaras peredaran masa," katanya.

INFO

  • Kerja penyusunan buku yang dikelola Gladys akan dibantu oleh seorang dua sukarelawan yang juga rakannya.
  • Buku yang ingin ditukar mesti dalam keadaan baik.
  • Aktif menyumbangkan bahan bacaan yang diperlukan menerusi program kemasyarakatan yang dilaksanakan pertubuhan bukan kerajaan.
Berita Harian X