Selasa, 29 Ogos 2017 | 10:04pm
SEORANG pekerja sedang membancuh air dalam kontena mini yang dihiasi gambar kartun Didi and Friends. - Foto Nurul Fatihah Sulaini
SEORANG pekerja sedang membancuh air dalam kontena mini yang dihiasi gambar kartun Didi and Friends. - Foto Nurul Fatihah Sulaini

Animasi tuah TT Place

BESUT: Himpunan watak animasi kartun Minions, Doraemon, Didi and Friends serta Angry Birds untuk menceriakan TT Place, lokasi makan dan santai di Gong Badang, Jertih, di sini, pasti menarik tumpuan sesiapa sahaja yang melihatnya.

Selain kelihatan unik dan berbeza dari kedai makan biasa, TT Place yang dimiliki Adli Baqi Razali, 27, juga istimewa kerana semua hasil seni itu adalah sentuhan bekas jurutera itu yang kini bergelar usahawan makanan sepenuh masa dan menggunakan barang terpakai.

TT Place yang mula dibuka pada awal Januari lalu merangkumi satu kiosk makanan, dua mini kontena serta satu trak makanan terpakai yang diubahsuai dengan hiasan watak kartun itu. 

Mengimbas kembali proses menyiapkan lokasi unik itu, Adli berkata, beliau menggunakan modal simpanan sendiri kira-kira RM10,000 termasuk kos mengubahsuai sebuah van tersadai untuk dijadikan kiosk membuat kambing bakar.

"Satu kiosk makanan dan dua mini kontena direka bentuk saya sendiri dengan bantuan ayah, Razali Hassan, 57. Ia menempatkan tempat membancuh air dan dapur penyediaan makanan barat seperti burger, chicken chop, chicken grill, meatball, spaghetti, makanan Jepun seperti takoyaki serta makanan tempatan antaranya nasi goreng.

SUASANA ceria di TT Place. - Foto Nurul Fatihah Sulaini
SUASANA ceria di TT Place. - Foto Nurul Fatihah Sulaini

PEKERJA TT Place sedang sibuk menyiapkan tempahan pelanggan di dalam mini kontena yang dilukis dengan watak animasi Doraemon. - Foto Nurul Fatihah Sulaini
PEKERJA TT Place sedang sibuk menyiapkan tempahan pelanggan di dalam mini kontena yang dilukis dengan watak animasi Doraemon. - Foto Nurul Fatihah Sulaini

"Saya juga menggunakan barang kitar semula seperti tong ikan yang dicat semula untuk dijadikan tempat duduk pelanggan, serta meja bulat yang asalnya penutup menyimpan kabel elektrik," katanya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Rekabentuk Produk itu berkata, beliau juga mengeluarkan kos sekitar RM300 untuk membeli cat dan alatan melukis animasi kartun mengikut kreativitinya sendiri pada setiap kiosk, perniagaannya sekaligus dapat menarik pengujung.

"Di Terengganu ini banyak tempat makan. Justeru apabila berhasrat untuk membuka perniagaan makanan, saya memikirkan satu keunikan yang boleh diketengahkan untuk menarik pelanggan dengan lebih cepat dan mudah.

"Ternyata percaturan idea dibuat berhasil kerana gambar kartun menjadi antara tarikan utama orang ramai ke sini, selain harga makanan yang murah dan tempat selesa untuk seisi keluarga bersantai sambil menjamu selera," katanya yang dua tahun berkhidmat sebagai jurutera.

Adli berkata, TT Place yang dibuka setiap hari kecuali Isnin, bermula jam 6 petang hingga 11 malam itu turut mempelawa dua lagi trak makanan bergerak iaitu 'Rulla Ice Cream' dan 'Trak Koboi' untuk bersama-sama mencari rezeki di situ. Bagaimanapun buat masa ini ia hanya beroperasi pada setiap Selasa dan Rabu.

SEORANG pengunjung menanti kambing bakar yang ditempahnya. - Foto Nurul Fatihah Sulaini
SEORANG pengunjung menanti kambing bakar yang ditempahnya. - Foto Nurul Fatihah Sulaini

Walaupun masih baru, Adli ternyata berpuas hati dengan sambutan pelanggan sehingga beliau yang bermula dengan bantuan isteri, Wan Nurul Najihah Abdul Rahman, 27, kini terpaksa menggaji lapan pekerja untuk memastikan layanan pantas dan cekap diberikan kepada pelanggan.

Bagi Adli, keputusan untuk bertukar kerjaya daripada bidang jurutera kepada usahawan bukan sesuatu yang mudah, namun beliau nekad kerana minat mendalam terhadap bidang perniagaan makanan, selain lebih suka bekerja sendiri.

"Saya tidak pernah mengikuti kursus masakan secara formal, namun terlalu menggemari hidangan kambing bakar. Pantang orang sebut lokasi mana yang sedap pasti saya akan pergi ke tempat itu untuk merasainya.

"Lama kelamaan, isteri mencadangkan supaya kami cuba menghasilkan kambing bakar menggunakan resepi sendiri. 

"Berbekalkan pengalaman mencuba pelbagai resepi menu kambing bakar sebelum ini, akhirnya kami berjaya mencipta ramuan kambing bakar yang menjadi titik tolak kepada pembabitan kami secara serius dalam bidang perniagaan makanan ini.

"Saya ambil masa enam bulan untuk menyiapkan tempat makan ini, sebelum meletak jawatan sebagai jurutera pada akhir tahun lalu," katanya.

Suasana ceria di TT Place. - Foto Nurul Fatihah Sulaini
Suasana ceria di TT Place. - Foto Nurul Fatihah Sulaini

Antara hidangan popular di TT Place ialah kambing bakar, minuman yogurt mango lassi, strawberry lassi serta set kombo jimat RM10 mengabungkan hidangan chicken chop, burger dan takoyaki.

Harga makanan yang ditawarkan juga amat berpatutan iaitu dari serendah RM2.50 sehingga RM15.

Sementara itu, tukang gunting, Ibrahim Mohd Nor, 27, berkata, selain keunikan dekorasi TT Place yang kreatif dan menggunakan barangan kitar semula, makanan dijual juga sedap dengan harga berpatutan.

"Saya kerap datang ke sini kerana tertarik dengan konsep santai yang ditonjolkan dan sesuai untuk dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat. Harga makanan amat berpatutan dan layanan juga

mesra pelanggan dan cekap. Paling penting mereka turut membantu memberi peluang pekerjaan kepada belia di sini," katanya.

Mohd Amirul Abdullah, 24, berkata, gambar kartun yang menjadi keunikan TT Place bukan sahaja menarik perhatian kanak-kanak, tetapi juga orang dewasa terutama untuk merakam foto.

Berita Harian X