Sabtu, 2 Januari 2021 | 10:30am

Ketahui punca ketidaksuburan

KEWUJUDAN cahaya mata dapat menambah keceriaan dan kebahagiaan bagi melengkapkan hubungan dalam sesebuah institusi kekeluargaan.

Namun, kehamilan tidaklah sebegitu mudah bagi sesetengah wanita. Sering kali mungkin membawa kepada keperitan dan saling tuding-menuding di atas kegagalan mendapatkan zuriat.

Hakikatnya masalah ketidaksuburan adalah isu yang memberi kesan sama ada dalam kalangan lelaki mahupun wanita.

Menurut kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), tahap kesuburan dalam kalangan lelaki di bawah umur 30 tahun menurun 15 peratus dari 2010 hingga 2019.

Lelaki turut menyumbang sehingga 30 peratus daripada kes ketidaksuburan, selain berpunca daripada wanita.

DR FARAH Leong Rahman, Pakar Perunding Kesuburan, Obstetrik dan Sakit.
DR FARAH Leong Rahman, Pakar Perunding Kesuburan, Obstetrik dan Sakit.

Pakar Perunding Kesuburan, Obstetrik dan Sakit, Dr Farah Leong Rahman, berkata ketidaksuburan menjejaskan satu dalam tujuh pasangan.

Katanya, antara punca disebabkan kekurangan proses ovulasi biasa, biasanya dilihat dalam pesakit wanita yang mengalami masalah ovari polisistik, tiub fallopian tersekat atau rosak, serta endometriosis dan bagi lelaki pula kualiti air mani yang rendah.

Bagaimanapun, satu perempat daripada kes terbabit tidak dapat mengenal pasti punca sebenar.

"Dalam kes begini kita melabelkannya sebagai 'ketidaksuburan yang tidak dapat dijelaskan," katanya.

Faktor ketidaksuburan

Beliau berkata, pelbagai faktor menyumbang kepada ketidaksuburan antara pasangan.

Namun, katanya, diet yang sihat dan seimbang, bersenam serta kekalkan berat ideal penting untuk mengekalkan tubuh sihat kerana semua turut menyumbang kepada tahap kesuburan individu.

Walau apa juga keadaannya, katanya, pasangan suami isteri perlu berjumpa doktor untuk memastikan masalah kesihatan lain seperti kemungkinan menghidap penyakit kencing manis dan sebagainya yang mungkin ada kaitan terhadap kesuburan mereka.

Jumpa pakar kesuburan

Justeru, bagi pasangan belum mendapatkan zuriat selepas setahun berkahwin, Dr Farah mencadangkan mereka berjumpa pakar kesuburan untuk mengenal pasti puncanya.

"Berjumpalah dengan doktor kesuburan terutama jika wanita sudah mencecah usia 35 tahun ke atas. Pada usia ini kadar kesuburan semakin berkurangan sejajar dengan peningkatan usia.

"Ovari mempunyai bilangan telur yang semakin berkurangan dan mungkin mempunyai kualiti yang lebih rendah," katanya.

Justeru, mereka perlu mengambil perhatian terhadap faktor lain seperti sama ada pesakit itu pernah menjalani sebarang rawatan atau prosedur yang mungkin mengakibatkan masalah ketidaksuburan seperti rawatan kanser atau pernah menjalani pembedahan yang berkaitan dengan organ reproduktif wanita seperti pembuangan tiub fallopian.

Semua faktor berkenaan boleh memberi kesan ke atas kadar kesuburan.

Lakukan ujian kesuburan

Dr Farah berkata, doktor akan menjalankan ujian hormon darah ke atas wanita.

Satu daripada ujian itu dipanggil 'Hormon Anti-Mullerian' yang membantu menganggarkan berapa banyak telur wanita yang ada.

Mereka dinasihatkan membuat ujian kehamilan 'tubal patency' bagi mengenal pasti sama ada tiub fallopian wanita itu tersekat atau sebaliknya.

Bagi lelaki ujian air mani perlu dilakukan untuk mengenal pasti bilangan motiliti dan bentuk serta kualiti air mani mereka.

"Perlu juga dilihat sejarah testis yang tidak turun, masalah pembangunan akil baligh, pembedahan atau jangkitan genital sebelum ini, kesuburan dalam hubungan semasa atau sebelum ini, selain ereksi atau ejakulasi," katanya.

Sokongan antara satu sama lain

Kedua-dua pasangan perlu bersama ketika sesi perundingan. Doktor membuat ultrasound untuk memeriksa rahim dan ovari.

"Perbincangan menyeluruh akan diadakan. Jika belum pernah membuat ujian kesuburan mereka dinasihatkan membuatnya. Pilihan rawatan mungkin berbeza untuk setiap pasangan bergantung kepada masalah sedia ada dan hasil perbincangan mereka," katanya.

Dr Farah berkata, sokongan antara satu sama lain antara pasangan keluarga dan rakan bagi mengurangkan kesan ketegangan emosi, kemurungan dan kekecewaan.

"Selain itu, adalah penting untuk berlaku jujur tentang perasaan anda dan mampu untuk meluahkannya dalam satu cara yang betul." katanya.

Terdapat juga kumpulan sokongan dan kaunselor yang sedia menolong jika seseorang memerlukan bantuan.

Katanya, kesihatan mental dan emosi yang baik harus ada sepanjang tempoh ini dan diteruskan semasa anda hamil. Sentiasa ingat bahawa anda tidak bersendirian dalam perjalanan ini.

INFO:

Faktor tidak subur

* Kurang zat makanan

* Genetik

* Jangkitan

* Kecacatan lahir, tanpa testis

* Hormon tidak seimbang

* Pencemaran

* Amal hidup tidak sihat

*10 hingga 15 peratus insiden ketidaksuburan berlaku bagi setiap pasangan

Punca lain lelaki tak subur

* Mati pucuk dan ejakulasi pramatang

* Ejakulasi ke dalam pundi kencing

* Sekatan pada testis

* Kerosakan organ reproduktif

Punca wanita tak subur

* Stres

* Masalah ovulasi

* Saluran telur tersumbat

* Kelainan pada sel telur

* Endometriosis

* Berat badan berlebihan

Berita Harian X