Sabtu, 19 Disember 2020 | 12:17pm
Saringan awal bantu kesan kanser payudara menjadi semakin serius.- Gambar hiasan
Saringan awal bantu kesan kanser payudara menjadi semakin serius.- Gambar hiasan

Pengesanan awal kanser payudara

KANSER payudara adalah kanser paling lazim dideritai wanita di negara ini, khususnya yang berusia antara 45 hingga 64 tahun.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi Nasional 2019, merekodkan 75 peratus wanita berusia melebihi 40 tahun tidak pernah menjalani mamogram dan 50 peratus berumur 18 tahun ke atas tidak pernah melakukan pemeriksaan sendiri payudara.

Pengesanan awal melalui saringan mamogram berkala memainkan peranan penting bagi mengesan kanser payudara pada peringkat terawal untuk mendapatkan rawatan.

Pakar Perunding Klinikal Radiologi ParkCity Medical Centre, Dr Evelyn Ho Lai Ming, berkata walaupun wanita menyedari berpotensi mendapat kanser payudara tetapi ada yang bimbang lalu sesetengahnya tidak mengambil kisah mengenainya.

Katanya, mamogram dan ultrasound adalah prosedur perlu dilakukan untuk mengesan imej sesuatu gejala yang dikesan sama ada mereka didiagnosis kanser payudara.

Lazimnya, wanita lingkungan berumur 20-an hingga 30-an tidak memerlukan saringan pengimejan. Kalau mereka menunjukkan sebarang gejala selepas pemeriksaan, ultrasound adalah pengimejan payudara yang pertama digunakan.

"Ini adalah kerana insiden kanser payudara adalah rendah bagi lingkungan umur ini dan gumpalan yang terasa adalah tumbuhan bukan kanser atau hanya tekstur payudara.

"Bila seseorang kenali keadaan normal payudara sendiri, mereka boleh mengesan perubahan pada tahap lebih awal. Ini dapat dilakukan dengan memeriksa payudara sambil berdiri di depan cermin dengan pencahayaan yang baik ataupun merasakannya secara sistematik semasa terbaring, secara berkala, sebulan sekali selalunya selepas haid berakhir (Pemeriksaan Sendiri Payudara – PSP)," katanya.

Keberkesanan pengimejan

Beliau berkata, keberkesanan ultrasound (jenis pengimejan menggunakan gelombang ultrabunyi) bergantung kepada sifat dan saiz payudara seseorang serta penjagaan dan kemahiran pengendali iaitu, selalunya doktor pakar radiologi.

Wanita berusia 40-an digalakkan supaya mendapatkan nasihat (kaunseling) mengenai mamogram dengan lebih mendalam supaya mereka boleh mempertimbangkan keberkesanannya untuk diri sendiri.

Kanser payudara lazim dideritai wanita khususnya berusia 45 tahun ke atas. Gambar hiasan
Kanser payudara lazim dideritai wanita khususnya berusia 45 tahun ke atas. Gambar hiasan

Sejarah peribadi dan keluarga, tahap kegelisahan dan faktor lain perlu diambilkira. Pengesanan awal bererti peluang yang terbaik untuk rawatan efektif.

Bagi wanita berusia 50-an, saringan mamogram berkala wajib dilakukan. Untuk mereka yang tidak bergejala langsung, saringan mamogram disyorkan sekurang-kurangnya dua tahun sekali.

Kalau ada faktor yang meningkatkan risiko kanser payudara, saringan mamogram berkala setiap tahun disyorkan.

"Saringan mamogram hanya berkesan apabila dilakukan secara berkala. Setiap wanita mempunyai corak kelenjar dan tisu payudara yang unik.

"Oleh itu, setiap mamogram perlu dibandingkan dengan mamogram yang lama. Jangan buang mamogram anda walaupun ia dilaporkan normal.

"Wanita digalakkan menyimpan rekod semua mamogram terdahulu yang dapat dijadikan titik perbandingan setiap kali mamogram baharu dilakukan. Semua rekod imej mamogram adalah berguna," katanya.

Tindakan pencegahan

Tiada sesuatu aktiviti atau makanan boleh dikaitkan terus dengan kanser payudara, saringan mamogram untuk mereka yang tidak bergejala dan berumur 40 tahun ke atas, tindakan pencegahan terpenting.

Beliau berkata, pilihan gaya hidup sihat penting untuk penyakit darah tinggi, diabetes, jantung dan strok.

Gaya hidup sihat termasuk amalan pemakanan seimbang dan berkhasiat meliputi buah-buahan, sayur-sayuran dan daging tanpa lemak dengan kadar pengambilan sesuai.

Wanita perlu amalkan hidup aktif seperti melakukan kerja rumah, berkebun, berjalan kaki, senaman dan lain-lain.

"Kajian membuktikan gaya hidup aktif memberi banyak manfaat," katanya.

Bagi mereka mempunyai gejala pramenopaus, dapatkan nasihat doktor mengenai pemeriksaan penting jika terapi penggantian hormon (HRT) diperlukan.

Pengimejan payudara lazimnya dilakukan sebelum HRT supaya anda mengetahui keadaan payudara ("baseline"). Setelah memulakan HRT, mamogram biasanya disyorkan setiap tahun.

Yang ada sejarah kanser payudara di dalam keluarga dan rasa mungkin terasa ketulan pada payudara, dapatkan nasihat doktor. Kanser payudara memberi impak kepada kehidupan seseorang tetapi lebih awal kanser dirawat, lebih baik untuk rawatan selanjutnya.

Payudara adalah organ yang dapat dilihat dan dirasai, tidak seperti organ lain di dalam badan kita. Justeru, pengesanan awal jauh lebih rumit.

Kesihatan payudara adalah dalam kawalan anda. Ambil langkah proaktif, jangan dikekang ketakutan. Pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa anda!

INFO:

Fakta mengenai kanser payudara

* Satu daripada 20 wanita berisiko dapat kanser payudara

* Kanser paling lazim wanita berusia 45 - 64 tahun

Jenis kanser payudara

1. Kanser setempat 'Carcinoma in situ'

Istilah merujuk kanser peringkat awal dan masih berada di tempat ia bermula, iaitu terhad di saluran atau kelenjar susu payudara.

2. Kanser saluran Ductal carcinoma in situ' (DCIS)

Sejenis kanser payudara tidak merebak (noninvasive) dan berada di sekitar saluran susu payudara.

3. Kanser lobular LCIS (Lobular carcinoma in situ)

Keadaan ini bermula di kelenjar susu dan tidak melepasi dindingnya.

4. Kanser saluran merebak (Invasive (infiltrating) ductal carcinoma) (IDC)

Kanser payudara paling biasa. Bermula pada saluran susu, melepasi dinding saluran dan merebak ke tisu payudara lain.

5. Kanser lobul merebak (Invasive (infiltrating) lobular carcinoma (ILC)

Kanser ini bermula pada kelenjar susu. Ia boleh merebak ke bahagian tubuh lain.

Tanda lain kanser payudara

* Bengkak pada sebahagian payudara

* Kulit jadi berkedut seperti kulit limau

* Puting masuk ke dalam atau sakit

* Kemerahan atau berkeruping pada puting atau kulit payudara

* Lelehan dari puting (kekuningan atau berdarah) selain susu.

* Ketulan pada bahagian ketiak

Berita Harian X