Sabtu, 24 Ogos 2019 | 5:02pm
KUALA LUMPUR 15 OGOS 2019. Koi Barber, Muhammad Danish Khairuddin. STU/SYAKIRAH AZHAR.

Danish, tukang gunting bergerak

KUALA LUMPUR: Minat mendalam terhadap fesyen penggayaan rambut mendorong seorang anak muda mengeluarkan modal dan meluangkan masa menghadiri kursus bagi merealisasikan impian sebagai tukang gunting rambut.

Meskipun memiliki latar belakang pendidikan dalam Diploma Teknologi Elektronik, Muhammad Danish Khairuddin, 19, berpendapat ia bukan alasan untuk tidak boleh menceburi bidang yang diminatinya.

Pelajar Kolej Vokasional (KV) Sungai Buloh yang kini pada tahun terakhir pengajian berkata, beliau mula meminati bidang penggayaan rambut ketika berusia 15 tahun.

Ketika itu, katanya, beliau belajar menggunting rambut daripada beberapa rakan yang memiliki kedai gunting rambut berdekatan rumahnya di Batang Kali, dekat sini.

Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, beliau memerlukan masa dua bulan untuk menguasai kemahiran menggunting rambut.


MUHAMMAD Danish Khairuddin membuat demonstrasi menggunting rambut. - Foto Syakirah Azhar

Pada masa sama, beliau bekerja sambilan di kedai gunting rambut milik rakannya bagi memantapkan teknik guntingan.

Katanya, wang daripada hasil kerja sambilan itu digunakan untuk menampung kos menghadiri kursus keusahawanan penggayaan rambut, antaranya anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Alor Setar, Kedah dan akademi gunting rambut tempatan.

Ketika ini, beliau hanya sempat menjalankan perniagaan gunting rambut secara sambilan pada hari cuti kerana terikat dengan pengajian di KV Sungai Buloh.

Sehubungan itu, beliau mengambil keputusan untuk mewujudkan perniagaan 'mobile barber' yang membolehkannya bergerak ke mana juga dan pada bila-bila masa sahaja bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Dengan cara itu, beliau dapat meluaskan perkhidmatan dalam usaha mengumpul modal bagi merealisasikan impian untuk memiliki premis perniagaan sendiri.

"Saya bergerak dengan menunggang motosikal sambil membawa pelbagai kelengkapan menggunting rambut dalam kotak khas yang saya sediakan dan boleh dibawa ke mana-mana.

“Saya belanja hampir RM1,000 untuk beli kelengkapan seperti gunting, mesin rambut, jubah gunting rambut, syampu dan gel rambut.

"Ramai pelanggan saya tinggal di Kuala Lumpur dan Shah Alam. Jika mereka mahu gunting rambut, saya nasihatkan bawa beberapa rakan supaya berbaloi dan caj pun tidak mahal.

"Caj yang saya kenakan antara RM18 hingga RM28 seorang. Jadi, kalau mahu lagi murah, mereka boleh bawa lebih ramai kawan," katanya.

Tidak terkecuali menggunakan khidmatnya adalah `Raja Sehari’ pada hari perkahwinan.

Muhammad Danish berkata, caj bagi pakej khas `Raja Sehari’ ialah RM60 merangkumi gunting rambut, cuci rambut, mencukur misai dan janggut serta penggayaan rambut.

Dalam usaha menjadikan perkhidmatan gunting rambut berbeza dengan yang lain, beliau turut memberi nasihat kepada pelanggan dari segi penjagaan rambut dan kulit kepala.

Sebelum menggunting rambut pelanggan, beliau akan memberi nasihat mengenai gaya rambut yang bersesuaian mengikut keadaan rambut dan kulit kepala pelanggan.

Katanya, ilmu pengetahuan mengenai penjagaan rambut dan kulit kepala diperoleh hasil mengikuti kursus penggayaan rambut sebelum ini.

"Tidak seperti tukang gunting rambut warga asing atau orang lain yang akan gunting rambut tanpa 'berunding' dengan pelanggan terlebih dahulu mengenai kesesuaian gaya rambut mengambil kira kesihatan rambut dan kulit kepala mereka.

"Saya anggap ilmu mengenai penjagaan rambut dan kulit kepala adalah nilai tambah dalam perkhidmatan yang ditawarkan. Apa pun, terpulang kepada pelanggan sama ada untuk ikut nasihat saya atau ikut keputusan mereka.

"Yang penting, saya sudah menjalankan tugas dan tanggungjawab untuk beri kesedaran kepada setiap pelanggan yang guna khidmat saya," katanya.

519 dibaca
Berita Harian X