Ahad, 10 Januari 2021 | 11:30am
Pemandangan Bukit Kodiang, Kampung Kandis indah melihat sawah padi menghijau luas terbentang.-Foto/ Ihsan HACCK
Pemandangan Bukit Kodiang, Kampung Kandis indah melihat sawah padi menghijau luas terbentang.-Foto/ Ihsan HACCK

Bukit Kodiang 360 darjah menerusi 'dropzone'

Melihat pemandangan 360 darjah sawah padi hijau, menguning pada paras ketinggian 170 meter dari udara menerusi aktiviti 'dropzone' memberikan pengalaman yang berbeza dan begitu memukau.

Suasana damai sawah padi luas terbentang bak hamparan permaidani antara produk pelancongan baharu ditawarkan di Bukit Kodiang, Kampung Kandis, Kodiang, Kedah pasti mampu menggamit pengunjung yang ingin melihat keindahan alam semula jadi di desa.

Malah, ia akan memberikan daya tarikan tersendiri bagi penggemar sukan lasak.

Aktiviti ‘dropzone’ boleh menampung individu seberat sehingga 150 kilogram.- foto/Ihsan HACCK
Aktiviti ‘dropzone’ boleh menampung individu seberat sehingga 150 kilogram.- foto/Ihsan HACCK

Aktiviti 'dropzone' yang dianjurkan Persatuan Mendaki Negeri Kedah (HACCK) kini semakin mendapat sambutan menggalakkan serta menjadi produk baharu pelancongan sukan di kawasan utara.

Presidennya, Nazrilazdin Jamaludin, berkata dropzone ialah kaedah bagi menurunkan mangsa dari tempat tinggi sekali gus memberi ilham kepada persatuan berkenaan memulakan aktiviti itu, pada November tahun lalu.

Nazrilazdin berkata, Bukit Kodiang setinggi 180 meter menjadi pilihan berikutan popular dengan hamparan pemandangan sawah padi bagaikan permaidani memukau terutama ketika padi menguning dan menghijau.

Penulis yang gemar aktiviti sukan lasak tidak melepaskan peluang mencuba aktiviti ‘dropzone’ di Bukit Kodiang.- Foto/Ihsan HACCK
Penulis yang gemar aktiviti sukan lasak tidak melepaskan peluang mencuba aktiviti ‘dropzone’ di Bukit Kodiang.- Foto/Ihsan HACCK

"Aktiviti ini membolehkan peserta menggunakan abah-abah pada ketinggian 170 meter bukit berkenaan sebelum diturunkan kira-kira 40 meter dan dalam keadaan 'tergantung'.

"Foto kenangan berlatarkan saujana sawah padi memberi kepuasan yang tidak dapat digambarkan dalam kalangan peserta," katanya.

Buang rasa gayat

Nazrilazdin berkata, terdahulu peserta perlu mendaki kira-kira 20 minit sebelum sampai ke Beranda Bukit Kodiang dan aktiviti dropzone dipantau oleh kru bertauliah dan berlesen.

Aktiviti berkenaan boleh dicuba peserta yang mempunyai berat sehingga 150 kilogram (kg) dan dicatatkan kanak-kanak berusia enam tahun menjadi peserta termuda selain peserta tertua berusia 69 tahun.

Minat aktiviti lasak menjadikan Bukit Kodiang kerap dikunjungi pelbagai kumpulan untuk merasai kelainan keindahan menikmati alam semula jadi.- Foto/Ihsan HACCK
Minat aktiviti lasak menjadikan Bukit Kodiang kerap dikunjungi pelbagai kumpulan untuk merasai kelainan keindahan menikmati alam semula jadi.- Foto/Ihsan HACCK

"Ada peserta yang gayat tetapi mahu mencuba, namun selepas itu mereka berulang kali menyertai aktiviti berkenaan.

"Kami tidak menggalakkan pemakaian abah-abah penuh (full harness) yang lazim digunakan dalam kerja industri kerana tidak sesuai dan akan menyukarkan pergerakan peserta," katanya.

Sehubungan itu, Nazrilazdin berkata, operator sukan lasak bertauliah dan berlesen yang lain boleh mengambil peluang menggiatkan lagi pelancongan sukan di tempat masing-masing.

"Berikutan norma baharu COVID-19, kebanyakan masa dihabiskan dengan bercuti dalam negara, jadi kita ambil peluang ini bagi mewujudkan aktiviti seumpamanya.

 Ameer Mu'az berusia tujuh tahun, peserta termuda bersama ibunya antara yang mencuba aktiviti ini.- Foto/Ihsan pembaca
Ameer Mu'az berusia tujuh tahun, peserta termuda bersama ibunya antara yang mencuba aktiviti ini.- Foto/Ihsan pembaca

"Namun menjadi kebimbangan ialah lambakan alatan dan kelengkapan sukan lasak yang tidak berkualiti kini, semakin berleluasa di pasaran," katanya.

Peserta termuda

Peserta termuda lakukan DropzonePeserta termuda, Ameer Mu'az Abd Rahman, 7, peserta paling muda mencuba aktiviti itu.

Hadir bersama ibunya, Nabilah Hanim Abd Rahman, 38, mengakui beliau tidak memaksa anaknya menyertai aktiviti itu, sebaliknya Ameer Mua'az didorong perasaan ingin mencuba.

Nabilah Hanim berkata, anaknya memang menunjukkan minat terhadap sukan lasak dan gemar menyertai aktiviti mencabar.

"Memang risau, tetapi saya tidak menghalang kerana seorang yang berani. Tambahan pula aktiviti ini dikendalikan pakar tali yang bertauliah, jadi tidak salah jika dia mahu mencuba," katanya.

Lihat pemandangan indah

Peserta dari Kuala Lumpur, Muhd Jafni Baharudin, 24, berkata berkata mencuba aktiviti itu yang tidak pernah ada di tempat lain.

"Tak dapat saya nak gambarkan perasaan takut berada di tempat tinggi, tetapi bila sudah selesai terasa bangga dengan keupayaan diri menghilangkan perasaan itu.

"Saya harap ia dapat diteruskan di tempat lain pula dengan pemandangan indah dan rupa bentuk bukit yang lain pula," katanya yang bekerja sebagai penyelia.

Berita Harian X