Ahad, 22 November 2020 | 10:38am
Pengembaraan Cory di Antartika, iaitu lokasi diterokai sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia. - Foto Agensi
Pengembaraan Cory di Antartika, iaitu lokasi diterokai sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia. - Foto Agensi

Pemuda OKU takluk 7 benua

KECANTIKAN, keindahan dan kisah menakjubkan mengenai tujuh benua membuatkan lokasi itu sering menjadi destinasi impian dan pilihan pengembara untuk menjejakkan kaki ke situ.

Bagi individu yang suka mengembara dan menjelajah pelbagai lokasi menarik pasti tidak menghiraukan keadaan serta cabaran bakal ditempuhi.

Situasi sama yang dilakukan oleh seorang pemuda dari Lafayette, Georgia, Amerika Syarikat, Cory Lee, meskipun berstatus Orang Kurang Upaya (OKU), beliau tidak menjadikan keadaan itu halangan meneruskan minatnya menjelajah destinasi menarik di seluruh dunia.

Cory yang juga blogger pengembara melakarkan coretan yang dikongsi bersama gambar dan video dalam laman sosial memperlihatkan aktivitinya itu amat mengagumkan.

Pemuda yang gigih dan tinggi semangat juangnya sudah mengunjungi lebih 37 negara di kesemua benua.

Cory menyimpan keinginan besar sejak kecil untuk menawan kesemua benua berkenaan dan akhirnya berjaya merealisasikan cita-cita itu meskipun mempunyai masalah otot dan tulang belakang sejak berumur empat tahun.

Segala-galanya sudah terbukti dengan bertemankan kerusi roda berkuasa tinggi untuk setiap pergerakannya bagi menerokai lokasi idamannya.

Cory berada di atas jambatan gantung di Costa Rica antara 37 lokasi di tujuh benua yang diterokai. - Foto Agensi
Cory berada di atas jambatan gantung di Costa Rica antara 37 lokasi di tujuh benua yang diterokai. - Foto Agensi

Bagi sesetengah orang mungkin keadaan fizikalnya itu menyedihkan dan membataskan pergerakan, namun, Cory menyifatkan apa dihadapinya membuatkan beliau tetap bersemangat dan lebih berusaha menggapai impian kerana percaya tiada apa yang mustahil dikecapi asalkan mencuba sebaik mungkin.

Mula jelajah dunia sejak usia 15 tahun

Menceritakan kisah awal di sebalik penjelajahan ke pelbagai lokasi dunia, termasuk menerokai tujuh benua terbabit, iaitu Asia, Afrika, Amerika Utara, Amerika Selatan, Eropah, Australia dan Antartika, Cory berkata, minat itu bermula apabila sering mengikut ibunya mengembara ketika cuti musim panas.

Katanya, walaupun bergelar ibu tunggal, ibu Cory mengumpul wang hasil pendapatannya sebagai guru untuk membawanya bercuti ke banyak tempat menarik di sekitar Amerika Syarikat.

Jelajah Antartika sebelum COVID-19

Menyingkap kembali kisah penjelajahannya itu, Cory berjaya menamatkan pengembaraan ke benua yang terakhir iaitu Antartika sejurus sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia.

"Kami menaiki kapal pelayaran ke Antartika sebelum sempadan ditutup akibat COVID-19. Ia pengalaman mengagumkan, saya melihat aisberg, gunung dipenuhi ais dan penguin. Ia adalah pemandangan tidak boleh diungkapkan dengan kata-kata," katanya.

Laluan khas untuk individu berkerusi roda memudahkan Cory yang mengalami otot dan tulang belakang sejak berumur empat tahun melakukan kembara di seluruh dunia. - Foto Agensi
Laluan khas untuk individu berkerusi roda memudahkan Cory yang mengalami otot dan tulang belakang sejak berumur empat tahun melakukan kembara di seluruh dunia. - Foto Agensi

Cory berkata, biarpun terpaksa menggunakan kerusi roda sepenuhnya, perancangan dan penyelidikan intensif memainkan peranan dalam menjayakan usahanya itu.

Pengembaraan ke Antartika sebagai contoh, beliau perlu menempah penjelajahan itu dua tahun lebih awal bagi memastikan perancangannya berjalan dengan lancar.

"Saya melakukan pelbagai kajian, dari syarikat pelancongan termasuk pengangkutan yang boleh digunakan. Tidak dinafikan ia adalah satu beban dan cabaran besar," katanya yang memilih perjalanan dilengkapi laluan mesra OKU.

Menunggang unta di Gurun Sahara

Bagi berkongsi pengalamannya, selain menawarkan maklumat yang mudah diakses bagi bakal pengembara, Lee menghasilkan blog bertajuk 'Curb Free with Cory Lee'.

Blog itu jelasnya mengandungi pelbagai maklumat yang boleh digunakan kepada bakal pengembara kerana beliau amat memahami kesukaran sering dialami pengembara baharu.

Daripada 37 negara yang disinggahi, Antartika dan Maghribi antara destinasi paling disukai Cory.

Teruja menunggang unta ketika berkunjung ke Maghribi. - Foto Agensi
Teruja menunggang unta ketika berkunjung ke Maghribi. - Foto Agensi

"Saya tidak menjangkakan Maghribi sebuah negara yang sangat menakjubkan tetapi selepas menelusuri lorong di Marrakesh dan melihat pertunjukan ular, saya sedar tempat itu amat mengagumkan.

"Aktiviti menunggang unta di Gurun Sahara juga sangat menyeronokkan. Jika anda membuat kajian terlebih dahulu, sebenarnya banyak syarikat yang menawarkan pelbagai perkhidmatan dan aktiviti menarik.

"Dengan kajian dan persediaan rapi, pengalaman mengembara mengelilingi dunia akan menjadi sangat menyeronokkan dan tidak mustahil dilakukan walaupun berkerusi roda," katanya.

Laluan mudah akses kerusi roda

Beliau menunggang unta di Maghribi, belayar di Wisconsin dan pernah patah lengannya ketika bermain ski di perairan.

"Saya sangat suka mendaki di Amazon Rainforest. Saya ke Ecuador pada Januari 2017. Ada sebuah syarikat yang memfokuskan perjalanan menggunakan jalan khas yang boleh dilalui kerusi roda.

Kecacatan bukan halangan melakukan aktiviti lasak. - Foto Agensi
Kecacatan bukan halangan melakukan aktiviti lasak. - Foto Agensi

"Mungkin ada pengguna kerusi roda hanya duduk di rumah dan tidak melakukan apa-apa sepanjang hari, tetapi saya ingin menunjukkan bahawa saya boleh melakukan seperti orang lain," katanya.

Bagi mereka yang ingin melihat kisah dan gambar penjelajahan Cory merentas dunia di tujuh benua, boleh mengikuti laman sosial Instagram, curbfreecorylee. - AGENSI

Berita Harian X