Khamis, 19 November 2020 | 9:38am
Lukisan gajah pada dinding menambah seri bangunan di daerah Alor Gajah.
Lukisan gajah pada dinding menambah seri bangunan di daerah Alor Gajah.

Lukisan mural penambah seri Alor Gajah

LAKARAN lukisan mural pelbagai motif dan reka bentuk menghiasi bangunan lama, deretan kedai, dinding lorong jalanan serta pelbagai premis sudah menjadi pemandangan biasa di mana-mana sahaja.

Semuanya hanya satu tujuan, iaitu menambah nilai keindahan sesuatu premis.

Daripada kelihatan bangunan buruk dan berlumut, tambah seri apabila dihiasi lakaran berwarna-warni mengikut sesuatu tema dipilih. Yang penting tempat sedemikian menjadi tumpuan warga tempatan dan asing merakamkan gambar dan video untuk kenang-kenangan lokasi dikunjungi.

Justeru, keadaan sama di Alor Gajah, yang memiliki keluasan 67,298.027 hektar kini berfungsi sebagai daerah kedua termaju di Melaka selepas daerah Melaka Tengah berikutan pembangunan pesat dari aspek fizikal, ekonomi dan sosial, melakukan perkara sama.

Dengan penduduk seramai 215,100 daerah berkenaan dijangka menikmati pendapatan melalui hasil cukai dan bukan cukai sebanyak RM68.3 juta menjelang hujung tahun ini berbanding RM57.8 juta tahun lalu.

Alor Gajah, terutama bandar lama menempatkan pejabat Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah, Pejabat Pos, Stesen Bas Alor Gajah dan seumpamanya tetap menjadi tumpuan orang ramai, termasuk pelancong walaupun pelbagai bangunan baharu memenuhi ruang pembangunan di sekitar kawasan lima kilometer sekeliling bandar itu.

Mohd Fadhil Hassan meneliti lukisan mural rumah tradisional Melaka pada dinding kedai berhampiran Bulatan Alor Gajah menggamit pelancong.
Mohd Fadhil Hassan meneliti lukisan mural rumah tradisional Melaka pada dinding kedai berhampiran Bulatan Alor Gajah menggamit pelancong.

Lakaran ikan antara mewarnai bangunan lama di Alor Gajah.
Lakaran ikan antara mewarnai bangunan lama di Alor Gajah.

Lukisan mural tangga batu

Bagi memperindahkan bandar berkenaan, MPAG dengan kerjasama Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi MARA (UiTM) Lendu, Alor Gajah melaksanakan program menyiapkan lukisan mural di bangunan perniagaan swasta dan MARA.

Untuk tujuan itu, Jabatan Perancangan Bandar MPAG memilih bahagian hujung bangunan kedai dimiliki peniaga kedai gambar untuk menyiapkan lukisan mural bertemakan budaya tempatan.

Kakitangan MPAG dan 20 penuntut dan pensyarah fakulti berkenaan memilih mengabadikan lukisan mural tangga batu, dinding dan tingkap rumah tradisional Melaka pada dinding kedai berkenaan.

Dengan kos RM10,000 yang dibiayai oleh MPAG, mereka berjaya mengadunkan pelbagai warna menarik bagi menyiapkan lukisan mural gergasi berkenaan selama lapan hari, pada 2017.

Replika keris menyerikan Bulatan Alor Gajah.
Replika keris menyerikan Bulatan Alor Gajah.

Lukisan mural berkonsep budaya masyarakat tempatan mewarnai dinding bangunan perniagaan MARA berhampiran Pejabat Pos Alor Gajah.
Lukisan mural berkonsep budaya masyarakat tempatan mewarnai dinding bangunan perniagaan MARA berhampiran Pejabat Pos Alor Gajah.

Keindahan 'rumah limas'

Tangga batu adalah struktur binaan paling popular dalam rumah tradisional Melaka yang diistilahkan sebagai 'rumah limas' dan bagi mereka yang berada hampir dengannya, mereka tidak mahu melepaskan peluang 'menyentuh' tangga berkenaan.

Jika dilihat dari bulatan berhampiran bangunan berkenaan, lukisan mural itu seakan-akan rumah limas Melaka yang sebenar yang sedia menerima kehadiran tetamu.

Bagi Yang Dipertua MPAG, Mohd Fadhil Hassan, lukisan mural bukan setakat menambah keindahan pemandangan di bandar itu, malah meningkatkan ilmu pengetahuan pelancong mengenai rumah tradisional Melaka.

"Melalui lukisan mural itu, keindahan pemandangan di tengah bandar Alor Gajah tersemat dalam fikiran pelancong, terutama hal yang berkaitan dengan seni dan budaya masyarakat tempatan," katanya.

Mural berkonsepkan makanan tradisional

MPAG dan fakulti berkenaan turut memilih bangunan perniagaan MARA berhampiran Pejabat Pos Alor Gajah untuk menyiapkan lukisan mural berkonsepkan makanan tradisional dan budaya tempatan.

Antara makanan itu ialah pelbagai jenis makanan laut manakala budaya tempatan ialah kereta lembu yang popular di negeri ini sekitar 1970-an dan kini sesekali masih digunakan, terutama untuk mengarak pengantin ketika majlis perkahwinan.

Selain itu, gajah sebagai haiwan yang ada kaitan dengan sejarah penamaan kawasan itu sempena nama haiwan berkenaan turut diabadikan pada lukisan mural dan diserikan dengan lukisan mural burung merpati hinggap di atas bumbung bangunan itu.

Projek berkenaan disiapkan dalam tempoh lapan hari membabitkan petugas MPAG dan penuntut UiTM dengan kos RM8,000 pada 2018.

Banyak tarikan destinasi pelancongan

Selain lukisan mural berkenaan, Alor Gajah turut memiliki pelbagai destinasi pelancongan menarik seperti Kolam Air Panas Gadek, Kolam Air Panas Cherana Putih, pantai peranginan Tanjung Bidara dan pantai Pengkalan Balak serta Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Padang Kemunting, Masjid Tanah.

Bagi mereka yang mencintai keindahan alam semula jadi hutan dan paya bakau, aktiviti menyusuri Sungai Rembau di Kampung Paya Lebar di Lubok Cina sedia menunggu kehadiran pelancong.

Sambil menikmati pemandangan indah di sepanjang Sungai Rembau, Sungai Ramuan Cina dan Kuala Linggi, orang ramai turut berpeluang melihat buaya berjemur di tebing sungai atau berenang di sungai berkenaan.

Terpesona nikmati damai pantai, alam sekitar

Pelbagai makanan tradisional masyarakat Melaka, terutama asam pedas di kebanyakan warung dan restoran di Masjid Tanah dan Pengkalan Balak turut setia menunggu kehadiran pelancong.

Pendek kata, Alor Gajah pastinya tidak akan mengecewakan mereka yang gemar menikmati lukisan mural berkaitan budaya masyarakat Melaka, selain pastinya terpesona menikmati keindahan pantai dan alam semula jadi dipenuhi paya bakau.

Berita Harian X