Ahad, 25 Oktober 2020 | 10:31am

Refarm Leisure janjikan percutian menarik

Malaysia kaya dengan khazanah alam semula jadi yang masih terpelihara yang mampu menjana sumber ekonomi negara khususnya dalam sektor ekopelancongan

Ladang rekreasi, Refarm Leisure terletak di Kampar, Perak yang dikelilingi bukit-bukau serta hutan simpan antara lokasi yang mampu menjanjikan percutian menarik buat seisi keluarga.

Kawasan seluas 10.4 hektar itu menyajikan pelbagai aktiviti riadah dan mampu mencipta pengalaman cukup berbeza terutama bagi mereka yang gemarkan keindahan alam semula jadi.

Dilengkapi tiga kolam mandi untuk pelbagai peringkat umur yang terletak berhampiran air terjun sudah tentu menjadikan Refarm Leisure lokasi tumpuan kerana air dialirkan secara semula jadi.

Kunjungan ke Refarm Leisure pastinya tidak lengkap jika tidak mengunjungi zoo mini. Antara tarikannya ialah burung unta, ayam mutiara, burung pegar, burung merak, itik Muscovy, ayam Polish, rusa dan kambing.

Binaan haiwan simenfero yang terdapat di kolam ikan air tawar pastinya menggamit kedatangan pengunjung terutama kanak-kanak.

Terowong masa
Terowong masa

Terowong masa

Bagi pencinta sejarah, Refarm Leisure menyediakan terowong masa yang dibina di bawah tanah sepanjang kira-kira 100 meter untuk mengenali lebih dekat identiti Kampar yang dahulunya dikenali sebagai Bandar Bijih Timah.

Terowong masa menyajikan gambar yang lengkap dengan maklumat mengenai pekan yang terdapat di Kampar, kronologi peristiwa, gambar kedai lama, syurga pelombong bijih timah, kepelbagaian agama dan aliran pendidikan, transisi ekonomi serta gaya kehidupan dan suku kaum Orang Asli.

Bagi mereka yang sukakan aktiviti pertanian, bolehlah melawat ladang sayur-sayuran dan pembiakan lebah serta zon haiwan merangkumi ikan, ayam, kambing, rusa, arnab, kura-kura serta itik, di mana pengunjung boleh memberi makanan kepada haiwan ini.

Selain itu, terdapat juga aktiviti menunggang basikal, permainan layang-layang, menyauk ikan dan menaiki bot pedal di kolam.

Kehijauan menggamit pengunjung

Mereka yang gemar menerokai alam semula jadi, pendakian sambil menikmati kehijauan hutan tropika pastinya menjadi pilihan.

Refarm Leisure turut memenuhi impian mereka yang memilih untuk merasai suasana malam dengan penginapan ladang dan vila pada harga berpatutan.

Pengunjung, Nor Izwan Osman, 33, berkata Refarm Leisure menjanjikan pengalaman percutian yang berbeza kerana di samping menjalankan aktiviti riadah, pengunjung boleh menikmati panorama alam semula jadi.

Katanya, pengunjung khususnya kanak-kanak pasti teruja terutama ketika mandi di kolam.

"Pelbagai kemudahan di Refarm Leisure menjadikan kunjungan kami tidak membosankan kerana banyak aktiviti yang boleh dijalankan di sini.

"Suasana di kawasan yang bebas daripada pencemaran bunyi mewujudkan suasana yang tenang," katanya.

Info:

  • Refarm Leisure adalah ladang rekreasi.
  • Terletak 4 kilometer dari pekan Kampar, Perak.
  • Refarm Leisure dikelilingi bukit bukau dan hutan simpan.
  • jika pengunjung menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dari arah utara boleh menggunakan susur keluar di Plaza Tol Gopeng.
  • Pengunjung dari arah selatan pula perlu menggunakan susur keluar di Plaza Tol Tapah.
  • Berita Harian X