Ahad, 18 Oktober 2020 | 10:19am
Pengunjung mengambil masa cuti umum dan hujung minggu bersantai di pusat peranginan. - Foto/NSTP
Pengunjung mengambil masa cuti umum dan hujung minggu bersantai di pusat peranginan. - Foto/NSTP

Dabong buang imej kawasan 'jin bertendang'

DABONG, Kuala Krai, Kelantan dahulunya hanya sebuah kawasan pedalaman yang tiada keistimewaan dan seakan terpinggir daripada pembangunan.

Namun, sejak kebelakangan ini Dabong menjadi antara destinasi tumpuan penduduk tempatan dan dari luar Kelantan yang semakin menghargai lokasi itu yang mempunyai pelbagai keindahan alam semula jadi.

Lantas destinasi seperti Gua Ikan, Air Terjun Jelawang dan Gunung Stong menjadi pilihan ramai terutama mereka yang gemar dengan aktiviti lasak untuk mengisi kegiatan percutian.

Malah, penularan pandemik COVID-19 membuatkan penduduk tidak dapat bergerak jauh ke luar sempadan negara, sekali gus menghidupkan semula Dabong dan kawasan sekitarnya sebagai lokasi ekopelancongan yang sebelum ini hanya digemari pelancong asing.

Lebih menarik, pengunjung boleh menggunakan kemudahan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk menikmati percutian santai mengambil masa enam jam bagi perjalanan pergi dan balik dari Stesen Wakaf Bharu, Tumpat sehingga tercetusnya fenomena 'Train to Dabong'.

Tiket untuk dewasa ialah RM5 dan kanak-kanak pula RM3 bagi perjalanan sehala. Waktu perjalanan pula adalah pada jam 4.20 pagi dan 10.30 pagi.

Ketika COVID-19 dilihat semakin serius dan pintu sempadan ditutup untuk mengekang penularan wabak berkenaan membuatkan orang ramai mula 'beralih angin' melancong dalam negeri termasuk dengan melawat lokasi ekopelancongan di sekitar Dabong kerana tidak mempunyai pilihan dan hanya dibenarkan melancong di dalam negara sahaja.

Justeru, 'Train to Dabong' mencetuskan 'trend' baharu dalam kalangan rakyat Kelantan melancong ke pekan Dabong setiap hujung minggu memandangkan di sana terdapat banyak lokasi pelancongan menarik masih belum terokai keindahan serta keistimewaannya, berbanding sebelum ini dikenali sebagai kawasan 'jin bertendang'.

Fenomena 'Train to Dabong'

Bagi penuntut Semester Tiga Diploma Kejuruteraan Awam, dari Politeknik Kok Lanas, Wan Azrai Wan Mustafa, 19, berkata, sebelum ini tren hanya menjadi medium pengangkutan utama penduduk di sekitar Kuala Krai malah diibaratkan 'bas sekolah' kepada murid dan pelajar yang pernah diberi gelaran 'Ghost Train' kerana tren ini muncul di dalam kabus yang tebal sebelum kesemua mereka menaiki pengangkutan awam untuk ke sekolah.

Bagaimanapun, ia kini menjadi pilihan masyarakat khususnya di Kelantan yang ingin membawa ahli keluarga merasai sendiri pengalaman menaiki tren selain menerokai sendiri keindahan alam semula jadi sepanjang perjalanan sebelum sampai ke Stesen Keretapi Dabong.

"Fenomena 'Train to Dabong' kian hangat dibualkan di media sosial Facebook susulan pintu sempadan negara ditutup bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 menyebabkan ramai yang beralih angin dan ini adalah peluang untuk mereka menerokai sendiri keindahan yang ada dalam negara.

"Saya suka melancong dan mengambil peluang merasai sendiri pengalaman menaiki tren dan mahu melawat tempat menarik di sekitar Dabong belum pernah dilawati," katany.

Gambar kiri; EKOPELANCONGAN yang tersedia di Dabon dan Sungai Kenerong antara kegiatan lasak yang digemari pelancong di Kuala Krai (kanan).- Foto/NSTP
Gambar kiri; EKOPELANCONGAN yang tersedia di Dabon dan Sungai Kenerong antara kegiatan lasak yang digemari pelancong di Kuala Krai (kanan).- Foto/NSTP

Berkelah sambil menikmati pemandangan

Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan, Hassan Abe Ali, 56, berkata dia amat teruja menaiki kereta api dan ini kali pertama menggunakan semula pengangkutan awam ini selepas lebih 20 tahun tidak menaikinya.

"Saya mengambil peluang untuk merasai semula pengalaman menaiki tren, selain cucu saya Mohd Danish Aryan Mohd Shahir, 3 sudah beberapa kali mengajak menaiki pengangkutan awam ini.

"Isteri Wan Roziah Wan Mohamad, 60, dan anak-anak saya juga turut ikut serta dan kami juga membawa kelengkapan untuk berkelah serta makanan sambil menikmati pemandangan di Air Terjun Jelawang," katanya.

Perjalanan santai pada hujung minggu

Pekerja kilang elektronik, Mohd Faizul Sahari, 35, yang tidak melepaskan peluang untuk bersama isteri, anak-anak serta keluarga mentuanya menaiki tren ke Dabong.

"Kami sekeluarga sudah lama bersepakat untuk ke Dabong menaiki tren selepas ianya tular di media sosial Facebook dan mengambil keputusan untuk ke sana pada hari minggu memandangkan pada ketika itu kami tidak bekerja.

"Anak saya berasa teruja apabila menaiki tren ini kerana ia kali pertama mereka menggunakan pengangkutan awan ini untuk perjalanan agak jauh dalam suasana santai.

"Pada awalnya, kami ingin menaiki tren seawal jam 4.30 pagi, namun memikirkan keadaan anak kecil menyebabkan kami sebulat suara mengambil keputusan menaiki tren pada jam 10.30 pagi di Stesen Pasir Mas.

"Mujur tiket dijual di kaunter masih ada, dan kami sekeluarga menarik nafas lega kerana bimbang tiket yang dijual habis memandangkan fenomena Train to Dabong menjadi tarikan utama masyarakat di negeri ini untuk membawa keluarga bercuti," katanya.

Perkhidmatan ‘Train to Dabong’ cetuskan fenomena hingga menjadikan kawasan itu jadi tumpuan untuk melakukan pelbagai aktiviti ekopelancongan.- Foto/NSTP
Perkhidmatan ‘Train to Dabong’ cetuskan fenomena hingga menjadikan kawasan itu jadi tumpuan untuk melakukan pelbagai aktiviti ekopelancongan.- Foto/NSTP

Pengalaman menaiki tren

Ketua Komunikasi Strategik KTMB, Ahmad 'Asri Khalbi, berkata jumlah penumpang menaiki kereta api untuk ke Dabong pada Jumaat dan Sabtu meningkat 100 peratus berbanding hari biasa.

"Orang ramai boleh memilih berada selama sejam di sini sebelum menaiki kereta api yang sama untuk pulang atau menaiki kereta api terakhir pada jam 6 petang," katanya.

Katanya, bagi keselesaan penumpang, KTMB terpaksa menambah lima gerabak tambahan pada setiap hari minggu berbanding empat gerabak pada hari biasa bagi menampung jumlah pengguna yang menaiki kereta api.

"Hampir setiap minggu gerabak kereta api dipenuhi dengan penumpang bukan sahaja dari Kota Bharu, malah ada juga dari daerah lain yang mengambil peluang dan merasai sendiri pengalaman menaiki kereta api.

"Mereka diwajibkan memakai pelitup muka, penjarakan fizikal jangan diabaikan ketika kita semua teruja untuk melancong ke pelbagai lokasi di dalam negara kerana COVID-19 masih ada dan terdedah untuk dijangkiti," katanya.

"Setiap penumpang yang menaiki tren perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Walaupun dalam keadaan bersuka ria, keselamatan dan kesihatan penumpang menjadi keutamaan KTMB apatah lagi fenomena Train to Dabong ini mula popular dalam kalangan masyarakat ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19.

"Sambutan masyarakat yang menggunakan perkhidmatan tren untuk ke destinasi ekopelancongan tidak terhenti setakat ini sahaja tetapi biarlah ia berterusan sampai bila-bila," katanya.

Pengurus Stesen KTMB Dabong, Adnan Aripin, 57, sejak sebulan lalu dia dapat merasai hiruk-pikuk suasana di Stesen Dabong terutamanya pada hari minggu kerana ramai penumpang yang menggunakan tren untuk ke Dabong.

"Jika sebelum ini, pengangkutan awam ini hanya digunakan oleh pelajar dan guru untuk berulang-alik ke sekolah yang terletak di daerah berkenaan, namun kini ia menjadi satu tarikan dalam kalangan masyarakat.

"Ia memberikan kelebihan kepada KTMB dan orang kampung untuk menjual pelbagai menjual makanan, khidmat kereta sewa dan rumah tumpangan yang mampu menjana pendapatan selepas melihat sambutan baik masyarakat di Kelantan khususnya yang bersedia beralih kepada pelancongan domestik

Berita Harian X