Ahad, 4 Oktober 2020 | 10:30am
LOKASI popular pengunjung berkayak tuib di Sungai Kenerong yang begitu mengujakan. - Foto/Nik Abdullah Nik Omar
LOKASI popular pengunjung berkayak tuib di Sungai Kenerong yang begitu mengujakan. - Foto/Nik Abdullah Nik Omar

Terapung lasak di Sungai Kenerong

Ketenangan dan kejernihan Sungai Kenerong, Kuala Krai, Kelantan yang jauh dari hiruk-pikuk kota ternyata menjadikannya lokasi tepat untuk pencinta alam semula jadi menikmati kelainan bagi aktiviti percutian.

Penerokaannya secara lebih dekat iaitu melalui aktiviti berkayak tiub atau 'tubing' apabila seronok bersantai dengan terapung di atas pelampung sambil menikmati pemandangan indah sudah pasti berbaloi walau untuk yang kali pertama mencuba aktiviti itu.

Arus yang kadang perlahan dan berganti deras agak menggetarkan adrenalin terutama bagi yang baharu 'berkenalan' dengan aktiviti ini kerana masih belum dapat menyesuaikan diri dan mengemudi pelampung gergasi dari tiub lori terpakai itu.

Aktiviti tubing adalah aktiviti lasak yang baharu di negeri ini dan sejak diperkenalkan oleh dua beradik dari Kampung Sungai Batu merangkap pemilik sebuah lokasi peranginan, di sini iaitu Wan Nurul Asifa Wan Abdul Aziz, 26 dan Wan Zonnum Al Masri, 24, ia mendapat sambutan di luar jangkaan dalam kalangan pencinta alam semula jadi.

‘TUBING’ aktiviti terbaharu yang menjadi tumpuan dalam program percutian pengunjung.- Foto NSTP
‘TUBING’ aktiviti terbaharu yang menjadi tumpuan dalam program percutian pengunjung.- Foto NSTP

Diperkenalkan sejak tahun lalu iaitu beberapa bulan sebelum pembukaan Jelawang Pipe Resort & Extreme Park, Wan Nurul Asifa yang juga graduan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Puncak Alam menyifatkan percubaan bersama adiknya itu satu kejayaan kerana secara tidak langsung dapat memperkenalkan kampung halamannya kepada masyarakat luar.

"Sebelum membuka kawasan riadah ini, kami mengkaji terlebih dahulu apa yang potensi lain yang boleh didedahkan kepada pengunjung mengenai kawasan ini selain air terjun Jelawang dan aktiviti mendaki Gunung Stong.

"Melihatkan aliran Sungai Kenerong yang terletak tidak jauh dari rumah, kami mula terfikir untuk memperkenalkan aktiviti 'tubing' yang juga sesuatu yang baharu di negeri ini dan kami mula merencanakan persediaan.

"Bermula dengan hanya lima tiub lori terpakai, kini sudah mencecah 40 unit termasuk tiub trailer untuk kegunaan pengunjung yang berbadan besar," katanya.

UJI keberanian lakukan aktiviti lasak, 'zipline' yang seakan 'flying fox' sejauh 170 meter merentasi sungai.
UJI keberanian lakukan aktiviti lasak, 'zipline' yang seakan 'flying fox' sejauh 170 meter merentasi sungai.

Lihat pemandangan menghijau

Penulis berpeluang merasai sendiri pengalaman melakukan aktiviti 'tubing' di sepanjang 1.7 kilometer yang memakan masa sehingga satu jam setengah bersama rombongan dari Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Kelantan, baru-baru ini.

Pemandangan hijau di kiri kanan yang sangat mendamaikan tiba-tiba terganggu dengan jeritan ahli rombongan yang pelampungnya dibawa arus sehingga terperosok ke dalam semak di tebing sungai.

Bagi Wan Zonnum, insiden sebegitu sudah biasa berlaku, namun pengunjung tidak perlu bimbang kerana mereka akan diiringi pemandu pelancong alam semula jadi yang menjaga sepanjang aktiviti itu berjalan.

"Kami mengenakan bayaran sebanyak RM60 untuk aktiviti ini dan ia boleh dijalankan dengan bilangan minimum adalah tiga orang," katanya yang juga berkelulusan Diploma dan Kejuruteraan Mekanikal di UiTM Jengka, Pahang.

KENDERAAN all terrain vehicle (ATV), turut disediakan bagi melengkapkan percutian di resort berhampiran.-
KENDERAAN all terrain vehicle (ATV), turut disediakan bagi melengkapkan percutian di resort berhampiran.-

Jadi tarikan di kampung

menaiki kenderaan serba rupa bumi atau lebih dikenali all terrain vehicle (ATV)Wan Zonnum berkata, selain 'tubing' di Sungai Kenerong, aktiviti lain yang mendapat sambutan menggalakkan pengunjung yang datang ke kawasan riadah mereka adalah menaiki kenderaan serba rupa bumi atau lebih dikenali all terrain vehicle (ATV).

Dengan bayaran serendah RM50, orang ramai boleh menunggang kenderaan itu melalui dengan memilih tiga trek berbeza iaitu anak sungai, cerun bukit atau permatang.

"Sebanyak 22 unit ATV yang disediakan dengan kerjasama Koperasi Kampung Jelawang dan kami difahamkan aktiviti ini adalah satu-satunya terdapat di negeri ini sekali gus memang menjadi tarikan pengunjung.

"Di samping itu, satu lagi aktiviti ekstrim yang tidak ramai berani melakukannya namun ada peminatnya tersendiri iaitu 'zipline' yang seakan 'flying fox' sejauh 170 meter merentasi sungai," katanya.

Air Terjun Jelawang tertinggi di Asia Tenggara

Selain itu, tarikan di Jelawang tidak boleh lari daripada mendaki puncak Gunung Stong atau Kem Baha bagi menikmati pemandangan 'awan karpet'.

Juga paling mengujakan pengunjung pasti terpegun dengan keindahan Air Terjun Jelawang yang tertinggi di Asia Tenggara, iaitu setinggi 303 meter dari aras laut dan menariknya di sini, air terjunnya setinggi tujuh tingkat

TEROKA khazanah semula jadi di gua berusia lebih 150 juta tahun.
TEROKA khazanah semula jadi di gua berusia lebih 150 juta tahun.

Tidak dinafikan Kompleks Gua Ikan, iaitu tarikan utamanya adalah fenomena 'God Light'. Di dalamnya Bukit Batu Kapur yang direntangi oleh sebuah anak sungai yang jernih.

Lokasi ini sesuai untuk berkhemah dan rekreasi di samping 'melayan' khazanah alam semula jadinya yang menyimpan pelbagai sejarah, cerita dan rahsia kejadian alam sejajar dengan usianya yang sudah berusia lebih 150 juta tahun.

Tidak terhenti di situ, pengunjung boleh meredah Gua, Pagar, Gua Gelap dan Gua Keris yang terletak berdekatan antara satu sama lain.

"Disebabkan faktor itu, kami cuba memperbanyakkan lagi aktiviti di kawasan sekitar untuk memanfaatkan alam semula jadi yang terdapat di sini sekali gus memperkenalkan Jelawang dan Dabong di mata umum," katanya.

Kekayaan produk alam semula jadi itu juga menyumbang kepada kehadiran pelancong sama ada domestik atau asing yang bertali arus.

TIADA halangan pengunjung wanita melakukan kegiatan lasak meredah sungai, gunung dan lain.
TIADA halangan pengunjung wanita melakukan kegiatan lasak meredah sungai, gunung dan lain.

Berita Harian X