DIKENALI sebagai 'Maldives Malaysia' membuatkan Pulau Rawa, di daerah Mersing, Johor begitu terkenal dan sering menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara untuk bercuti di pulau itu.
Keindahan perairan di Pulau Rawa tidak perlu disangkal lagi apabila sering mendapat pujian pelancong luar negara yang menyamakannya dengan kepulauan Maldives.
Panorama di pulau itu cukup mempesonakan. Dengan pasir putih bersih, air laut hijau kebiruan, manakala dasarnya cukup jernih pasti mengujakan sesiapa sahaja yang berkunjung di pulau yang dianggap privasi dan eksklusif.
Apatah lagi angin Laut China Selatan yang bertiup sepoi-sepoi bahasa dan sesekali kuat mencetuskan suasana damai, sekali gus menghilangkan segala tekanan dan rasa 'sayang' meninggalkan pulau ini.
Terdapat dua resort yang ada di Pulau Rawa, iaitu Rawa Island Resort dan Alang Rawa Resort untuk pengunjung menginap di pulau berkenaan.
Lihat matahari terbit
Dengan menaiki bot laju disediakan, menuju ke Pulau Rawa mengambil masa 30 minit sahaja dari jeti di bandar Mersing.
Antara aktiviti yang paling mengujakan adalah bermain dua gelongsor di jeti pulau berkenaan, selain melakukan aktiviti berkayak dan mandi di pantai Pulau Rawa.
Jika sudah sampai ke lokasi itu jangan lepaskan peluang juga mendaki bukit di bahagian belakang Pulau Rawa dan menyaksikan pemandangan matahari terbit dan matahari terbenam dari atas bukit sambil menikmati keindahan Laut China Selatan.
Pendakian tidak terlalu lama sekurang-kurangnya hanya mengambil masa cuma 10 minit sahaja untuk sampai ke puncak dengan laluan bertangga turut disediakan pada awal pendakian.
Aktiviti jelajah hutan
Di sini juga ada boleh mengintai ikan melalui aktiviti snorkeling kerana kawasan air ceteknya luas dan tenang menyebabkan banyak ikan jinak berenang di sini.
Keaslian dan keindahan alam sekitar semula jadi yang belum terjejas dan dijaga rapi di Pulau Rawa termasuk bukit-bukau, hutan dan tumbuhan semula jadi membolehkan pelbagai aktiviti dijalankan seperti jelajah hutan, penyelidikan dan sebagainya.
Pengunjung juga boleh bermain dengan merak berwarna hijau dan putih yang jinak di sekitar tempat penginapan di resort berkenaan.
Jika bercuti di Pulau Rawa bersama keluarga atau rakan yang ramai jangan lepaskan peluang untuk meluangkan masa bersama dengan bermain sukan bola tampar pantai kerana keadaan pantai di pulau berkenaan yang luas dan warna pasirnya yang memutih sudah pasti lebih menyeronokkan jiwa pengunjung.
Pada saat ini waktu paling sesuai untuk meneroka keindahan produk pelancongan domestik seperti di Pulau Rawa ini bagi menyokong menghidupkan semula industri itu yang terjejas teruk berikutan penularan pandemik COVID-19 melanda dunia.