Ahad, 9 Ogos 2020 | 10:30am
PULAU Jerejak dulu dikenali sebagai kawasan hitam, selepas dibangunkan jadi pusat tarikan pelancongan.- Foto/Zuhainy Zulkiffli
PULAU Jerejak dulu dikenali sebagai kawasan hitam, selepas dibangunkan jadi pusat tarikan pelancongan.- Foto/Zuhainy Zulkiffli

Pulau Jerejak 'hidup semula'

SUATU masa dulu, Pulau Jerejak digelar Alcatraz Malaysia berikutan pernah dijadikan penempatan tahanan perang, selain menjadi lokasi pengasingan bagi pesakit kusta dan tuberculosis (TB).

Sejarah itu menjadikan lokasi berkenaan terus dikenali sebagai kawasan hitam, malah kisah misteri dan seram yang sering dimomokkan secara lisan menyebabkan pulau itu terus sepi.

Difahamkan beberapa syarikat perhotelan dan resort pernah mencuba nasib bagi membangunkan kawasan itu sebelum ini, namun tidak mendapat sambutan.

Kawasan seluas lebih lapan hektar itu, kemudian dibangunkan pula oleh Jerejak Island Resort pada 2018 yang bertanggung jawab mewujudkan pelbagai tarikan serta spot bergambar bagi 'menghidupkan semula' pulau terbabit.

TARIKAN 'tangga langit' memberi peluang kepada pengunjung bergambar dengan kreativiti masing-masing di Jerejak Pantaiku, Jerejak Island. Foto/ Zuhainy Zulkiffli
TARIKAN 'tangga langit' memberi peluang kepada pengunjung bergambar dengan kreativiti masing-masing di Jerejak Pantaiku, Jerejak Island. Foto/ Zuhainy Zulkiffli

Perjalanan dari Jeti Pulau Jerejak ke pulau berkenaan hanya mengambil masa kira-kira 10 minit menaiki bot dan pengunjung boleh membeli tiket di kaunter pada harga RM22 seorang atau hanya RM20 bagi pembelian secara dalam talian.

Dengan pembukaan semula industri pelancongan tempatan, kerajaan menetapkan semua aktiviti berkenaan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) supaya penularan wabak COVID-19 dapat dikekang terutama tempat sebegini dikunjungi ramai dan tumpuan awam.

Dengan SOP ketat, iaitu mendaftar, mengambil suhu badan, memakai pelitup muka dan sentiasa mencuci tangan dengan pembasmi kuman, sebelum menaiki menaiki bot dan patuhi garis panduan lain ketika sampai ke pulau itu menjadi ia sesuatu yang tidak disangsikan untuk setiap individu merasa seronok meneroka sepuasnya di situ.

Pengalaman ini ternyata berbeza dan bagi penulis sendiri ia saat yang mengujakan. Bagaikan berada di negeri asing saat menjejakkan kaki ke pulau bersejarah ini, malah penulis kagum dengan tarikan yang tersedia sekali gus memberi kelainan terhadap industri pelancongan negeri.

Di pintu masuk pulau itu, pengunjung boleh memilih sama ada mahu berjalan kaki di sekitar pulau berkenaan atau menaiki basikal dan motosikal yang disewa pada harga tertentu.

Bagi pengunjung berstatus kurang upaya (OKU) atau warga emas juga turut disediakan kemudahan kerusi roda dan buggy.

Penulis memilih berjalan kaki sambil menghirup udara segar dan menikmati panorama landskap yang indah.

Berikutan hanya terletak kira-kira lebih 1.5 batu nautika, pengunjung dapat melihat jelas kesibukan jalan raya di sebahagian kawasan Bayan Lepas.

Pengurus Operasi Jerejak Pantaiku, Jerejak Island Resort Muhamad Hayat Jahaya, berkata sejak tarikan berkenaan dibina, jumlah pengunjung ke pulau berkenaan terus meningkat terutamanya kepada kaki lensa.

Katanya, hampir setiap hari pulau berkenaan menerima antara 500 hingga 700 pengunjung malah melebihi 1,000 orang pada hujung minggu.

"Tidak kurang juga yang menginap di sini berikutan mahu mencuba pelbagai aktiviti seperti mendaki, memanah, berkayak, berenang, berbasikal, bermain 'paintball' dan memancing.

PENGUNJUNG boleh berbasikal mengelilingi kawasan Jerejak Pantaiku. - Foto/Zuhainy Zulkiffli
PENGUNJUNG boleh berbasikal mengelilingi kawasan Jerejak Pantaiku. - Foto/Zuhainy Zulkiffli

"Malah pengunjung juga boleh melihat struktur bekas penjara lama di kawasan berhampiran," katanya ketika ditemui.

Pada waktu malam, sekitar kawasan pulau itu dilimpahi cahaya lampu sekali gus menyerlahkan keindahannya.

Bukan sahaja pohon, malah kawasan siar kaki juga turut dipasang lampu berwarna-warni, selain disapa angin bayu dan ombak pada waktu malam.

Di satu sudut tersedia Avatar Secret Garden, di sini pengunjung seakan dapat merasai pengalaman seperti berada di dunia asing dengan lampu berwarna-warni menerangi taman dan ia seperti dalam filem Avatar.

Landskap indah dengan deretan hiasan bunga tulip berwarna-warni tambah menarik pada waktu malah ia disirami dengan pancaran lampu LED pelbagai warna dengan tema berbeza.

Lebih menarik turut kawasan itu dihiasi telefon berwarna merah dan Taman Jepun, seakan percutian di luar negara.

Tidak boleh dilepaskan dalam siri lawatan ke Pulau Jerejak ialah bergambar dengan latar belakang unik seperti 'Stair Away to Heaven' dan 'Buaian Lombok' turut disediakan untuk mereka yang gemar berkongsi foto percutian unik di laman sosial.

Kata Muhamad Hayat, sambutan menggalakkan dalam kalangan pengunjung bukan sahaja mampu meningkatkan industri pelancongan tetapi memberi peluang pekerja kepada operator bot serta penduduk tempatan.

Kini pihaknya bercadang bagi mewujudkan tarikan baharu taman permainan pengembaraan bertujuan mendekatkan pengunjung dengan alam semula jadi.

"Perancangan berkenaan sudah masuk fasa pelaksanaan dan dijangka siap tidak lama lagi, selain itu kami turut merangka pelbagai aktiviti baharu yang bersesuaian," katanya.

Selain kemudahan bilik dan chalet, turut disediakan ialah tapak perkhemahan, bilik persidangan, dewan, surau, kolam renang, gimnasium dan kafe.

Secara keseluruhannya, penulis dapati Pulau Jerejak berjaya membawa pelbagai lapisan masyarakat dan usia beriadah serta lari daripada kesibukan bandar raya.

PONDOK telefon menghiasi landskap sekitar Jerejak Pantaiku, Jerejak Island Resort, Bayan Lepas.
PONDOK telefon menghiasi landskap sekitar Jerejak Pantaiku, Jerejak Island Resort, Bayan Lepas.

Dicadangkan supaya pengunjung datang pada waktu petang serta merakamkan foto di saat matahari terbenam dan seterusnya menikmati keindahan malam di pulau berkenaan.

Tidak puas rasanya menghabiskan masa di kawasan pulau berkenaan dan penulis pasti akan datang semula menginap di sini bersama keluarga.

SUASANA berbeza menjadikan pelancong teruja untuk menerokai sekitar pulau.
SUASANA berbeza menjadikan pelancong teruja untuk menerokai sekitar pulau.

PAYUNG tergantung pelbagai warna menambah keindahan landskap di sini.
PAYUNG tergantung pelbagai warna menambah keindahan landskap di sini.

INFO:

PULAU JEREJAK

•Sebuah pulau yang kecil di selatan Pulau Pinang.

• Dulu sebuah penempatan untuk banduan yang dibuang negeri.

•Kawasan seluas 362 hektar

•Pada 1910, Pulau Jerejak dijadikan sebuah pusat kuarantin kesihatan untuk pendatang

•Pada 1930-an, ada sebuah hospital kusta dibina di bahagian timur pulau ini

•Tiket RM22 seorang/ RM20 pembelian dalam talian

•Tiket percuma bagi kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah

•Waktu operasi bot ialah seawal jam 6.30 pagi - 12 malam

•Terdapat kafe di sekitar Jerejak Pantaiku

•Harga penginapan di chalet antara RM99 hingga RM199.

Berita Harian X