Ahad, 26 April 2020 | 10:42am
Pengalaman 13 hari berkurung di Sri Lanka beri pengalaman berbeza Alaika ketika lawatannya, awal Mac lalu. - NSTP/Alaika Sahrin
Pengalaman 13 hari berkurung di Sri Lanka beri pengalaman berbeza Alaika ketika lawatannya, awal Mac lalu. - NSTP/Alaika Sahrin

13 hari berkurung di Sri Lanka

Melancong aktiviti menyeronokkan bukan sahaja mampu meneroka pelbagai destinasi menarik, malah dapat memahami dan mendalami seni, budaya, warisan serta gaya hidup masyarakat di seluruh dunia.

Begitu juga dengan Alaika Sahrin, 30, yang gemar mengembara ke seluruh pelosok dunia sambil menggunakan kesempatan itu untuk menghasilkan sebuah travelog di setiap destinasi dikunjungi.

Beliau yang juga bekas wartawan penyiaran TV3, mengakui semua pengalaman dan pengetahuan diperoleh di setiap lokasi itu mempunyai keunikan dan keistimewaan yang perlu abadikan.

Banyak tempat dijelajahi dan melalui pengalaman berbeza. Antara yang akan menjadi memori beliau dan tak mungkin dilupakan adalah ketika mengunjungi Sri Lanka, baru-baru ini.

Namun, pengalaman dialami Alaika, 30, dan suaminya, Firdaus Malek, 34, ternyata berbeza, apabila kedua-duanya terperangkap di Sri Lanka ketika kerajaan negara itu mengisytiharkan perintah berkurung ke atas semua rakyatnya bagi mengawal penularan wabak COVID-19.

Mengimbau kembali perjalanan mereka, Alaika berkata mereka tiba di negara pengeluar teh keempat terbesar dunia itu, awal Mac lalu, namun, ketika itu Sri Lanka hanya merekodkan empat kes positif COVID-19.

ANTARA pusat tumpuan pelancong sebelum perintah berkurung dikuatkuasakan di Sri Langka. - NSTP/Alaika Sahrin
ANTARA pusat tumpuan pelancong sebelum perintah berkurung dikuatkuasakan di Sri Langka. - NSTP/Alaika Sahrin

Bagaimanapun, selepas empat hari berada di Colombo, kerajaan negara itu mula mengeluarkan perintah menutup sekolah, pejabat dan kawasan tarikan pelancong secara berperingkat.

Katanya, sebaik arahan itu dikeluarkan, semua pusat peranginan dan ladang teh yang terkenal di negara itu, mulai lengang.

"Penduduk di negara itu dilihat amat mematuhi arahan dikeluarkan kerajaan, malah, sepanjang kami berada di sana, sukar melihat penduduk keluar berjalan-jalan tanpa sebarang tujuan.

"Keadaan yang kebiasaannya hingar-bingar, kini mula berubah. Jalanan mula sepi, kebanyakan kedai sudah tidak beroperasi," katanya.

Memasuki hari kelapan di sana, Alaika berkata kerajaan Sri Lanka sudah mula mengeluarkan arahan perintah berkurung bermula dari jam 6 petang hingga 7 pagi.

Katanya, lebih menggusarkan, keesokan harinya, semua jalan dan lebuh raya ditutup, sekali gus menyebabkan beliau dan suami terperangkap dan tidak boleh ke mana-mana.

"Kami sudah mulai gusar memandangkan syarikat penerbangan membatalkan tiket perjalanan untuk kembali ke Malaysia.

"Jalan terakhir kami untuk pulang adalah dengan menghubungi pihak Kedutaan Malaysia di Colombo.

"Pada sama sama membeli tiket penerbangan pulang dengan secepat mungkin," katanya menceritakan semula detik cemas yang dihadapi untuk pulang ke tanah air.

Atas bantuan kedutaan, beliau dimaklumkan terdapat kekosongan tempat duduk apabila ada beberapa rakyat negara itu membatalkan penerbangan untuk ke Malaysia.

Tambahnya, sebaik menerima perkhabaran gembira itu, beliau dan suami mula bersiap untuk meninggalkan hotel dan segera menuju ke lapangan terbang.

"Namun, kami dimaklumkan semua jalan keluar untuk ke lapangan terbang sudah ditutup. Kami sekali lagi dirundung rasa sedih dan kecewa.

"Mendung di awan tidak selamanya. Malam itu kami menerima panggilan dari pihak kedutaan meminta kami bersedia untuk dibawa ke lapangan terbang dan menaiki pesawat pulang ke tanah air," katanya.

Alaika berkata, sebaik menjejakkan kaki ke tanah air sendiri, perasaan bersyukur dan terharu menyelubungi diri.

Katanya, walau di mana saja rakyat Malaysia berada, kerajaan dan pihak kedutaan sentiasa berusaha menjaga kebajikan dan memastikan keadaan rakyatnya selamat.

"Tanpa campur tangan kedutaan, kami mungkin masih terperangkap di Colombo," katanya yang turut memaklumkan menjalani kuarantin selama 14 hari sebaik tiba di Malaysia.

Ditanya sama ada pengalaman yang ditempuhi membuatkan beliau serik untuk kembali mengunjungi Sri Lanka, Alaika menjawab: "Tidak".

ALAIKA sempat mengunjungi antara tempat tumpuan pelancong di Sri Lanka, sebelum perintah berkurung dilaksanakan. - NSTP/Alaika Sahrin
ALAIKA sempat mengunjungi antara tempat tumpuan pelancong di Sri Lanka, sebelum perintah berkurung dilaksanakan. - NSTP/Alaika Sahrin

"Bila keadaan di seluruh dunia sudah kembali pulih, saya pasti akan meneruskan kembara ke Sri Lanka.

"Bagaimanapun, buat masa ini, kita perlu mendengar seruan kerajaan untuk berada di rumah dan putuskan rangkaian COVID-19," katanya.

Berita Harian X