Ahad, 22 March 2020 | 10:00am
Askar berkawal di stesen kereta api di Brussel, Belgium.
Askar berkawal di stesen kereta api di Brussel, Belgium.

COVID-19: Sunyi dan sepi

Cuti umum dan persekolahan sudah semestinya dinantikan orang ramai terutama ibu bapa untuk membawa anak mereka bercuti di dalam negara mahupun di luar negara.

Pusat peranginan tanah tinggi, keindahan pantai dan pulau yang terdapat di negara ini sudah tentu menjadi lokasi pilihan untuk sekeluarga bercuti memanfaatkan masa bersama.

Tidak lupa juga ada antara mereka menjadikan negara luar seperti Perancis, United Kingdom (UK) mahupun Amerika Syarikat (AS) sebagai lokasi pelancongan pilihan bagi meninjau dan melihat keindahan yang terdapat di negara berkenaan.

Bagaimanapun, impian untuk bercuti ke destinasi terbabit, malah hampir kebanyakan pusat tumpuan pelancongan di seluruh dunia ditutup bagi menerima kunjungan pelawat tidak dapat direalisasikan.

Impak akibat penularan wabak maut, COVID-19 maha hebat sehingga meragut ribuan nyawa, di seluruh dunia manakala ratusan ribu disahkan positif virus berkenaan.

Kesan COVID-19 bukan sahaja kepada kesihatan malah kepada ekonomi dunia terutama sektor pelancongan yang menyaksikan banyak tempahan hotel dibatalkan, industri penerbangan merosot dan tempat tumpuan pelancong ditutup.

Di Malaysia, pantai peranginan, pusat rekreasi dan tempat percutian tanah tinggi ditutup kepada orang ramai dalam usaha kerajaan mengekang penularan COVID-19.
Di Malaysia, pantai peranginan, pusat rekreasi dan tempat percutian tanah tinggi ditutup kepada orang ramai dalam usaha kerajaan mengekang penularan COVID-19.

Tutup sementara

Di Malaysia, pantai peranginan, pusat rekreasi dan tempat percutian tanah tinggi ditutup kepada orang ramai dalam usaha kerajaan mengekang penularan COVID-19.

Ia juga selari dengan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara selama 14 hari sehingga 31 Mac ini.

Resort World Genting antaranya menutup sementara operasinya sehingga 31 Mac ini selaras Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan Perdana Menteri.

Penutupan sementara itu termasuk semua hotel, premis makanan, kasino, Skytropolis Indoor Theme Park, kemudahan hiburan, tarikan, pasar raya dan kedai di Resort World Genting.

Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Pahang pula menyekat kemasukan pengunjung di pantai peranginan dan pusat rekreasi di daerah itu sehingga 31 Mac ini.

Sekatan kemasukan itu antaranya membabitkan Pusat Rekreasi Balok, pantai Teluk Cempedak dan pantai Batu Hitam serta kemasukan pengunjung di Bazar Serambi Teruntum, Terowong Sungai Lembing dan Mini Zoo Teruntum.

Taman tema Walt Disney World di AS ditutup sementara kepada pelancong.
Taman tema Walt Disney World di AS ditutup sementara kepada pelancong.

Laksanakan perintah berkurang

Di luar negara, langkah sama turut diambil antaranya di AS yang menyaksikan taman tema terkemuka dunia, Walt Disney World, di Orlando, Florida, serta Disneyland Resort di Los Angeles ditutup sementara kepada pelancong.

Malah, acara besar di negara itu seperti Festival Muzik Coachella dan Stagecoach yang saban tahun dihadiri ribuan orang dibatalkan bagi membendung penularan COVID-19.

Di Itali, yang kini menjadi pusat penularan COVID-19 di Eropah turut menerima kesan apabila negara yang terkenal dengan seni bina warisan dan tamadun dunia melaksanakan perintah berkurung.

Sudah tentu, muzium dan tapak arkeologi terkenal yang terdapat di negara itu ditutup dan tidak dapat dilawati pelancong.

Sekitar bandar Madinah yang sepi.
Sekitar bandar Madinah yang sepi.

Tak benarkan umrah larang kali pertama

Larangan kerajaan Arab Saudi mengerjakan umrah termasuk bagi rakyatnya sehingga satu masa ditentukan, selain menyekat menziarahi Masjid Nabawi dan beribadat yang menjadi tumpuan dunia kepada umat Islam

Arab Saudi menghalang kemasukan warga asing terutama daripada negara yang terjejas akibat COVID-19 ke Makkah dan Madinah.

Menara Eiffel di Perancis ditutup sehingga ke suatu tempoh yang akan diumumkan kelak.
Menara Eiffel di Perancis ditutup sehingga ke suatu tempoh yang akan diumumkan kelak.

Menara Eiffel ditutup

Ireland juga mengambil langkah serupa apabila negara itu membatalkan perarakan St Patrick's Day, acara terbesar yang sering disertai pelancong dari seluruh dunia berikutan wujud kebimbangan akibat COVID-19.

Menara Eiffel di Perancis yang menjadi mercu kebanggaan negara itu turut ditutup sehingga ke suatu tempoh yang akan diumumkan kelak.

Menurut laman web rasmi www.toureiffel.paris, pelawat yang sudah membeli tiket awal untuk melawat menara itu akan dikembalikan wang mereka.

Tokyo Disneyland, Universal Studio

Sementara itu, di Jepun, operator Tokyo Disneyland dan DisneySea memaklumkan dua taman tema itu ditutup sehingga April ini manakala Universal Studio Jepun ditutup sehingga 22 Mac ini.

Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan Jepun turut memaklumkan kebanyakan tempat tumpuan pelancong di negara itu seperti muzium dan taman tema ditutup buat sementara waktu.

Elak virus merebak

China pula, negara di mana virus itu bermula masih menutup semua pusat pelancongannya termasuk Muzium Istana Beijing di Forbidden City yang ditutup sejak 25 Januari lalu.

Bagaimanapun, China's National Cultural Heritage Administration (NCHA) mengarahkan supaya operator pusat pelancongan di republik supaya terus kekal aktif menawarkan perkhidmatan masing-masing secara digital.

Polis menutup laluan ke pantai di Sepanyol.
Polis menutup laluan ke pantai di Sepanyol.

Patuh arahan

Justeru, orang ramai yang merancang untuk bercuti atau melawat mana-mana lokasi tumpuan pelancong dinasihatkan supaya tidak berbuat demikian dan patuh kepada arahan pihak berkuasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Rancanglah semula perjalanan anda apabila keadaan kembali pulih.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X