Ahad, 20 Oktober 2019 | 11:36am
Indorawati teruja dapat menyaksikan panorama di Pamukkale, Turki. - Gambar Ihsan

Teruja naik belon panas

“Ketika menaiki belon panas saya dapat rasakan kebas dalam telinga dan tangan sejuk disebabkan tidak memakai sarung tangan. Keseronokan terapung di udara tidak dapat diungkap dengan kata-kata.

“Saya dapat menyaksikan pemandangan di Cotton Castle, iaitu kawasan perumahan penduduk tempatan, lereng bukit dan jalan raya yang berselekoh.

“Sambil mengambil gambar sepuas-puasnya, tanpa saya sedari sudah berada pada ketinggian 305 meter. Ketika berada pada paras di ketinggian itu, mula rasa takut dan terfikir perkara yang bukan-bukan.

“Keterujaan dan rasa kagum dengan kebesaran Allah membuatkan saya lawan perasaan takut dan gayat,” kata pegawai bank, Idorawati Idrus yang berkongsi pengalamannya menaiki belon panas ketika kunjungannya ke Pamukkale, Turki, baru-baru ini.

Katanya, walaupun belon udara boleh diterbangkan lebih tinggi di angkasa, pengendali tidak berbuat demikian sekiranya terdapat warga emas berusia lebih 70 tahun di dalam belon.

Berkongsi pengalaman itu, katanya, apabila belon hendak turun pada jarak 153 meter, penumpang perlu duduk mencangkung bagi melawan tekanan udara kerana angin berat.


KAGUM dengan keindahan alam semula jadi dan kebesaran Allah melihat pemandangan dari angkasa. - Gambar Ihsan

“Selepas 90 meter, kami boleh berdiri semula. Saya dapat melihat dengan jelas permukaan langit di Turki yang berwarna kemerah-merahan,” katanya yang sebelum ini hanya menonton pemandangan indah itu di kaca televisyen.

Beliau berkata, selalunya aktiviti menaiki belon panas lebih popular di Cappadocia.

Bagaimanapun, beliau dimaklumkan lokasi asal itu sering berdepan dengan masalah angin kuat selain cuaca pula tidak menentu dan akhirnya ia dibatalkan pada saat akhir.

“Begitupun, hati saya teruja dan berbunga-bunga untuk berada di awan. Sebelum naik, banyak cerita kurang enak saya dengar tetapi saya sangka ia hanya gurauan.

“Saya juga sedar banyak kejadian tidak diingini boleh berlaku termasuk sebuah keluarga dari Malaysia yang pernah kemalangan ketika menaiki belon panas ini,” katanya.

“Keterujaan itu membuatkan beliau hilangkan semua kebimbangan itu dan rasa panik. Pada saya bukan mudah untuk sampai ke sini,” katanya

Beliau berkata, satu belon dibahagi kepada dua daripada 14 orang penumpang. Oleh itu, masing-masing tujuh di bahagian kiri dan kanan, manakala seorang pengendali belon berdiri di bahagian tengah.

Kagum kebesaran Allah

Selain ke Pamukkale, beliau turut dibawa mengembara ke Cotten Castle. Lokasi ini turut membuka mata Idorawati kerana beliau tidak sangka perjalanan berliku menuju ke atas bukit dengan menaiki bas menghidangkan pemandangan menakjubkan.

“Subhanallah. Saya tidak sangka di sebalik atas bukit ini rupanya terdapat banyak tempat menarik dengan pemandangan yang indah. Saya terkesima menyaksikan pemandangan yang terlalu cantik.


KUNJUNGAN ke Turki menjanjikan kepuasan dengan melihat pelbagai tempat menarik di negara itu. - Gambar Ihsan

“Jika orang tengok gambar saya di sini, mereka sangka saya berada di tempat bersalji. Tetapi tidak. Saya seakan berada di kawasan gurun pada musim sejuk kerana tanah di kawasan ini berwarna putih seakan diselaputi salji.

“Ia bukan salji, sebaliknya tanah berwarna putih seperti batu kapur.

“Cuma, apabila pegang ia tidak meninggalkan kesan putih pada tapak tangan. Tempat ini juga tidak berumput tetapi ada banyak kelopak air semula jadi di sini. Uniknya, ada juga kolam Cleopatra bertingkat-tingkat di sini yang menjadi tarikan utama pelancong,” katanya.

Beliau yang turut meminati sejarah menimba banyak ilmu ketika melawat ke Ancient City yang dikatak

an sebuah kota yang mempunyai banyak bangunan lama ala-colasium tetapi runtuh akibat ditenggelami air.

Dulu kota itu sebuah kota kedua terbesar di Romawi selepas Rome.

“Saya rasa kagum melihat bangunan di sekelilingnya kerana seni pembinaan unik dan mampu bertahan beratus tahun sehingga sekarang. Dulu, bangunan lama di sini dijadikan tempat untuk berperang. Walaupun tidak lagi sempurna tetapi ia masih utuh.

“Rasa masyarakat dulu lebih hebat daripada sekarang kerana bangunan yang dibina mereka tidak menggunakan paku mahupun skru dan masih kukuh.

“Kagum dengan kecerdikan dan kreativiti arkitek bangunan dulu yang boleh menghasilkan bangunan hebat ini,” katanya.

Selain itu, turut tersimpan artifak sejarah yang ditinggalkan masyarakat dulu termasuk makam raja.

“Paling menarik perhatian saya ialah ketika dibawa menuju ke sebuah bilik di bawah tanah yang dikatakan

‘tandas’ untuk raja dan pembesar. Fungsi bilik kecil itu bagi tujuan untuk raja mengadakan perbincangan mengenai hal negara secara tertutup bersama pembesar serta menteri. Perbincangan dilakukan sambil duduk mencangkung di atas lubang yang dikorek sebesar lubang tandas,” katanya.

Penerokaan selama 10 hari di bumi Turki, selain kota Istanbul, Kusadasi, Bursa, Konya, Ancient City, Cappadocia dan Kirsehir membuka membuka mata wanita ini mengenai keindahan alam dan keunikan di sebalik sejarahnya.

“Banyak perkara dipelajari mengenai sejarah Turki dan membuka mata saya mengenai kebesaran Allah,” katanya.


ANTARA kawasan menarik wajar dikunjungi. - Gambar Ihsan.

Berita Harian X