Ahad, 15 September 2019 | 2:28pm
KUCHING 21-23 OGOS 2019. Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak Kuching, Sarawak. NSTP/ROHANIS SHUKRI.
KUCHING 21-23 OGOS 2019. Sarawak River Cruise menawarkan pakej perjalanan menyusuri sungai Sarawak. NSTP/ROHANIS SHUKRI.
KUCHING 21-23 OGOS 2019. Sarawak River Cruise. NSTP/ROHANIS SHUKRI.
Sarawak River Cruise. - NSTP/Rohanis Shukri

Kepelbagaian etnik tarikan pelancong ke Sarawak

Jika ditanya masih ramai belum pernah menjejakkan kaki ke Bumi Kenyalang atau negeri di bawah bayu. Selain Laut China Selatan menjadi tembok pemisah, tiada pilihan pengangkutan alternatif kecuali menerusi penerbangan, membuatkan ramai memilih destinasi percutian dalam negara yang lain.

Bagaimanapun, bagi pencinta kepelbagaian etnik, budaya, warisan sejarah, bandar raya seperti Kuching, Sarawak pasti menggamit kunjungan terutama bagi mereka yang gemar percutian singkat yang ketiadaan masa.

Penulis yang berpeluang mengunjungi negeri itu untuk kali kedua, merasai pengalaman berbeza berikutan percutian kedua selama tiga hari dua malam tertumpu di lokasi bandar. Meskipun tidak berkunjung ke taman negara memenuhi hobi mendaki, berjalan-jalan di bandar cukup menggembirakan.

Apakan tidak, di pusat pentadbiran negeri ini, suasana meriah seakan berada di Kuala Lumpur dengan projek bangunan mega, pusat beli-belah, tetapi menariknya tiada kesesakan trafik sekali gus memberi jaminan selamat bagi pejalan kaki untuk bersiar-siar atau risiko terbabit kemalangan.

Menariknya, di Kuching khususnya, warisan sejarah kekal terpelihara biarpun kerancakan pembangunan dan kemodenan, menerusi keunikan, kepelbagaian etnik, daripada usaha mengekalkan bangunan bersejarah,  makanan tradisi rimba dan menggamit perhatian dengan elemen hipster diolah pada kebanyakan dinding mural, mencerminkan penceritaan tersendiri masyarakat setempat.

Antara lokasi menarik, kami mengunjungi Masjid Negeri atau Masjid Bandaraya Kuching dibina sejak 1839, menyaksikan kedudukan masjid dengan persekitaran perkuburan lama, menjadi tumpuan kerana lokasinya berada di kawasan berbukit yang strategik melihat matahari terbenam.

Berdekatan, masih jelas empangan lama dibina era Brooke, iaitu sekitar 1907 menjadi warisan sejarah membuktikan kedatangan raja putih itu.

Lengkap prasarana

Dibantu jurupandu pelancong tempatan, Seth Sumbang Peli, kumpulan media dibawa mengunjungi tapak balai bomba lama yang menyaksikan penggunaan jentera bomba arang batu dibawa dari England.

Menurut penerangan lelaki etnik Dayak itu, stesen dibina 1917, berdekatan Sungai Gartak di mana sumber air itu disedut bagi operasi memadamkan kebakaran.

Lokasi seterusnya, Masjid India yang terletak di antara Lorong India dan Lorong Gambier, dibina sekitar 1850-an dengan berdinding dan beratap rumbia. Sehingga kini masjid yang mampu memuatkan 300 jemaah masih ada tetapi tidak digunakan berikutan sudah dipindahkan tidak jauh dari situ.

Kini Masjid Terapung, yang terletak di tebing Sungai Sarawak, menjadi tarikan terbaharu di bandar raya ini selepas Jambatan Darul Hana iaitu binaan bernilai RM21 juta yang dirasmikan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud, pada 1 Mac lalu.

Kemudahan prasarana itu berupaya menampung 1,600 jemaah pada satu masa, selain mempunyai reka bentuk menarik, ia menjadi simbol keagungan syiar Islam di sini.

Tatkala waktu senja, panaroma sekitar masjid sungguh mengasyikkan apabila ia dilimpahi dengan cahaya keemasan matahari terbenam yang menampakkan lagi seni binanya yang agung.

Di sebelah malam pula, Masjid Terapung yang dibina di atas tapak warisan jalan Kuching itu akan diterangi dengan lampu diod pemancar cahaya (LED) pelbagai warna bagi menaikkan lagi seri dan suasana di tebingan sungai itu.

Sasaran lima juta pelancong

Tidak dilupakan jika ke Kuching, pastikan berkunjung ke Taman Budaya Sarawak di mana destinasi pelancongan yang berkeluasan 6.9 hektar, mempamerkan hampir keseluruhan keunikan Sarawak di dalam satu taman.

Di sini, ada persembahan tarian kebudayaan etnik secara langsung selama 30 minit dalam slot tertentu setiap hari. Khusus di tebingan Sungai Sarawak, ramai pelancong tempatan dan luar negara bersiar menaiki cruise atau bot persiaran, menyaksikan panorama petang Sungai yang di seberang terdapat perkampungan tradisional serta Kubu Margherita.

Ketika menyusuri Sungai, terbentang pemandangan seperti masjid terapung, Astana, Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN), Perkampungan Melayu di sepanjang sungai, Tebingan Kuching serta banyak lagi lokasi menarik mencerminkan negeri Sarawak.

Bagi Penolong Pengurus Komunikasi Bahagian Pemasaran Sarawak Tourism Board, Kevin Nila Nangai, kerajaan negeri berhasrat menarik lebih ramai pengunjung domestik dan luar negara bagi merancakkan industri pelancongan tempatan.

Dalam suatu kenyataan baru-baru ini, Ketua Menteri Sarawak, menyasarkan kehadiran lima juta pelancong  bagi tahun ini selain  berhasrat menjadikan negeri itu sebagai destinasi pelancongan dunia.

Bersaing secara sihat

Sementara itu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg,  berkata  negeri itu komited menyertai perniagaan pelancongan dan mahu bersaing secara sihat dengan pemain industri  pelancongan di negara ini.

“Sarawak mempunyai pelbagai tarikan termasuk pesona pelancongan dalam bandar, sesuai untuk mereka yang menginginkan percutian singkat, dalam lingkungan jarak dalam bandar dan mesra pelancong.

“Lokasinya berdekatan antara satu sama lain, pengunjung boleh berjalan kaki, selain membeli belah produk tempatan seperti kek lapis Sarawak, ikan terubuk masin, produk kraf dan koleksi fabrik tradisional masyarakat setempat," katanya yang meluangkan masa makan malam di Buntal Village, restoran yang menghidangkan makanan tradisi seperti nasi Bario, terung Dayak ikan salai, kerabu midin, umai ikan, ayam pansuh dan daging lada hitam Sarawak.

Info

Kuching

* Bandar raya pertama diiktiraf sebagai “Bandaraya Perpaduan”.

* Mempunyai tiga Rajah Putih iaitu James Brooke, Charles Brooke dan Charles Vyner Brooke iaitu tiga generasi pemerintahan.

Asal usul nama 'Kuching'

* Memperoleh nama sempena sebatang sungai kecil, Sungai Kuching yang mengalir di antara Muzium Cina dan Kuil Tua Pek Kong.

* Sungai Kuching dikatakan memperoleh nama daripada kehadiran kucing hutan. Sungai itu  berhampiran bukit yang banyak ditumbuhi pokok buah mata kucing. Lantaran ia diberi nama Bukit Mata Kucing.

* Fakta sejarah menunjukkan Kuching dikenali dengan nama berkenaan semenjak kedatangan pengembara Inggeris, James Brooke pada 1839.

* Pendapat lain menyatakan pada zaman pemerintahan Brooke, Kuching memainkan peranan penting dalam aktiviti perdagangan Indo-China serta Asia Pasifik.

* Kedudukannya di selatan kepulauan Borneo

* Lokasi strategik pelabuhan persinggahan pedagang-pedagang Indo-China.

Berita Harian X