Ahad, 1 September 2019 | 10:00am

Pesona api biru, tasik berasid Kawah Ijen

SUGENG rawuh nang Kawah Ijen atau selamat datang ke Gunung Ijen, itulah laungan yang sering digunakan penduduk tempatan untuk mengalu-alukan kedatangan pelancong ke kawasan berkenaan.

Gunung Ijen yang terletak antara situbondo Banyuwangi dan Bondowoso, Indonesia itu juga sering menjadi buruan pelancong, khususnya jurugambar dari dalam dan luar negara yang bertandang ke puncak Ijen kerana keunikan Api Biru (blue fire).

Ini kerana, fenomena api biru dikenal pasti hanya terdapat di dua gunung berapi di seluruh dunia, iaitu masing-masing di Ijen, Banyuwangi dan Iceland.

Api biru di kawasan yang terkenal dengan jolokan 'Majestic Banyuwangi' itu hanya kelihatan pada waktu malam, hasil daripada pembakaran belerang cair yang keluar daripada perut gunung berkenaan.

Berdasarkan fakta, Ijen adalah gunung berapi yang mempunyai kawah seluas 20 kilometer persegi dan tasik sulfurik sedalam 182.88 meter.

Malah, pengunjung yang berhasrat untuk bermalam sebelum mendaki gunung berkenaan juga berpeluang untuk berkhemah di Paltuding yang terletak di kaki Gunung Ijen.

Perasaan ingin melihat api biru secara dekat mendorong penulis dan beberapa rakan lain untuk turun ke permukaan kawah kerana bukan mudah untuk tengok tarikan yang akan hilang apabila matahari naik.


Pelombong membawa bongkah sulfur ketika melalui laluan untuk naik ke puncak Gunung Ijen. - NSTP/Yusry Muzamir

Pelombong membawa bongkah sulfur ketika melalui laluan untuk naik ke puncak Gunung Ijen. - NSTP/Yusry Muzamir

Bongkah sulfur yang dilombong di permukaan kawah Gunung Ijen. - NSTP/Yusry Muzamir

Mendaki puncak Gunung Ijen di ketinggian 2,386 meter (m) semestinya tidak semudah seperti disangka kerana perlu peralatan keselamatan, khususnya topeng pernafasan, lampu depan dan baju sejuk, selain persediaan mental serta fizikal.

Trek pendakian ke kawah Ijen juga agak mencabar kerana bercampur antara curam serta landai dan selepas hampir dua kilometer (km) perjalanan, kami tiba di Pondok Bunder.

Pondok Bunder yang terletak pada ketinggian 2,214m dari paras laut adalah satu-satunya lokasi penjualan makanan dan minuman, selain menjadi tempat pelombong menimbang bongkah sulfur sebelum ia dibawa ke Paltuding.

Pendakian di tebing yang curam juga membuatkan kita cepat letih kerana cuaca sejuk dan dikatakan boleh mencecah hingga tiga darjah Celsius, selain lapisan udara semakin menipis apabila paras ketinggian meningkat.

Jarak dari puncak gunung ke dasar kawah kira-kira 400m dan untuk turun perlu lebih berhati-hati kerana tiada jalan atau laluan khas disediakan, hanya terpaksa berpaut pada dinding tebing licin berbatu.

Lebih menakutkan, keadaan dindingnya yang basah dan licin boleh mengundang padah jika tergelincir.

Setibanya di mulut kawah, bau sulfur agak memualkan, kerongkong terasa perit apabila tersedut asap manakala mata dan hidung mulai pedih serta berair kerana diselubungi asap sulfur.

Keadaan di sekitar kawah gunung gelap dan hanya api biru yang jelas kelihatan selain kelibat pelombong memahat ketulan sulfur beku, sebelum membawa bongkah bahan itu seberat antara 85 kilogram (kg) hingga 120kg seorang.


Pelombong membuat persiapan akhir sebelum mengangkat bongkah sulfur ke puncak Gunung Ijen. - NSTP/Yusry Muzamir

Pelombong membuat persiapan akhir sebelum mengangkat bongkah sulfur ke puncak Gunung Ijen. - NSTP/Yusry Muzamir

Pelombong membawa hampir 120 kilogram bongkah sulfur ketika melalui laluan untuk naik ke puncak Gunung Ijen. - NSTP/Yusry Muzamir

Lelah sepanjang mendaki dan menuruni ke mulut kawah ternyata berbaloi apabila penulis berpeluang bergambar dan menikmati keindahan fenomena api biru yang sering menjadi bualan masyarakat antarabangsa.

Wajah sebenar kawah Ijen pula akan kelihatan sejurus terbitnya sinaran matahari pagi. Api biru yang muncul pada waktu malam bertukar menjadi kepulan asap putih yang keluar dari kerak bumi.

Pengunjung juga akan terpesona dengan keindahan tasik berasid (asid sulfid) berona biru kehijauan yang terhasil daripada gegaran, selain dikatakan mampu membunuh mangsa jika tergelincir ke dalamnya.

Pandangan penulis, pelombong sulfur di situ memang gigih walaupun kudrat mereka terbatas kerana mereka mampu mengangkat 'emas kuning' itu sehingga lima kali sehari, semata-mata untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Daripada maklumat diterima, kira-kira 150 pelombong bekerja mengangkut sulfur yang dijual pada Rp1,200 (RM0.35) sekilogram, selain hasil perlombongan 'emas kuning' itu merekodkan penurunan kerana ia sudah agak sukar untuk didapati.

Sebagai tip terbaik kepada pengunjung yang berhasrat mendaki Gunung Ijen, pastikan anda mempunyai keupayaan dan ketahanan fizikal yang kuat kerana pendakian di situ memerlukan tenaga banyak.

Bagaimanapun, perkhidmatan ojek troli iaitu kereta sorong turut disediakan di sepanjang trek pendakian dengan kadar antara Rp200,000 hingga Rp800,000 tertakluk kepada perjalanan diperlukan pengunjung.

Perkhidmatan ini akan menggunakan tenaga tiga lelaki untuk membawa pengunjung naik ke puncak Ijen, manakala seorang sahaja ketika hendak turun ke Paltuding.

Berpandukan penceritaan pengendali ojek troli, kebiasaannya mereka boleh melakukan dua perjalanan untuk membawa pengunjung ke puncak Ijen dalam sehari, selain ada kalanya langsung tidak membuahkan sebarang hasil.

Perkhidmatan ojek troli ini dilihat banyak digunakan pengunjung yang agak berusia, selain orang ramai yang ingin menikmati suasana selepas penat mendaki ke puncak Ijen.


Penulis ketika berada permukaan kawah Gunung Ijen. - NSTP/Yusry Muzamir

Penulis dan beberapa rakan media bergambar di pos Paltuding selepas tamat aktiviti pendakian ke Gunung Ijen. - NSTP/Yusry Muzamir

Info Kawah Ijen

• Destinasi pelancongan unik terletak di Jawa Timur, Indonesia.

• Menyimpan sebahagian daripada ribuan keindahan alam mempesonakan di Indonesia.

• Terletak di puncak Gunung Ijen, salah satu daripada gunung berapi yang masih aktif di Indonesia.

• Kali terakhir Gunung Ijen meletus pada 1999.

• Disifatkan tasik paling berasid di dunia.

Panorama di puncak Gunung Ijen, Banyuwangi. - NSTP/Yusry Muzamir
Pengunjung bergambar ketika di permukaan kawah Gunung Ijen. - NSTP/Yusry Muzamir
Berita Harian X