Selasa, 28 Mei 2019 | 12:36pm
HASAN membaca informasi mengenai Laluan Sutera yang bakal dilaluinya dalam cubaan berkayuh secara solo di laluan merentasi Gurun Gobi.

Hasan teruskan kayuhan ke Laluan Sutera

KEJAYAAN berbasikal mengelilingi dunia pada 2001-2002 dan menjelajah secara solo di lapan negara Balkan pada 2017, menyemarakkan semangat mantan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Datuk Hasan Nawawi, 65, meneruskan kayuhan di Laluan Sutera (Silk Road), bermula 17 Jun ini.

Menurut Hasan, sekembalinya dari Venice, Itali, selepas menamatkan kayuhan 72 hari di negara Balkan, beliau menanamkan hasrat untuk menjejaki Laluan Sutera yang begitu terkenal menjadi laluan pedagang serta pendakwah Islam suatu ketika dahulu.

“Saya sudah berkayuh hampir 1/2 negara di dunia dengan pelbagai cabaran ditempuhi. Panas, hujan, salji, angin kencang dan pelbagai perubahan cuaca membuatkan saya lebih tabah serta berani.

“Sebagai pengembara tegar, umur bukanlah satu penghalang, malah semangat ingin mencari pengalaman baharu dan mengatasi cabaran menjadi impian yang hendak dicapai.

“Dengan falsafah, biar kita tua, tapi masih bertenaga membuatkan saya terus mencuba sesuatu bagi mengisi masa terluang,” katanya kepada BH.

Sesuaikan keadaan gurun


HASAN sedang bersiap sedia untuk memulakan kayuhan di sekitar Sarajevo, Bosnia Harzegovina pada 2017.

Sebagai persediaan dan mengekalkan stamina, Hasan mengayuh pada waktu malam di bulan Ramadan, secara tidak langsung cuba menyesuaikan keadaan cuaca malam Gurun Gobi.

Hasan berkata, untuk cubaan Silk Road ini memakan masa 63 hari, beliau akan berkayuh di laluan panas di siang hari dan dingin di sebelah malam ketika merentasi Gurun Gobi yang luas.

“Jika tiada aral saya akan berlepas ke ke Xi’an, China pada 17 Jun ini bagi memulakan kayuhan dan tamat pada 20 Ogos di Almaty, Kazakhstan.

“Saya kemudiannya akan terbang ke Xi’an kerana pihak berkuasa China hanya membenarkan mereka yang mempunyai tiket penerbangan pulang ke negara berkenaan, bagi mengelakkan masalah imigresen.


HASAN singgah sebentar di gerai buah-buahan di Tehran ketika berkayuh solo di lapan negara Balkan pada 2017.

“Hanya mereka yang berjiwa kental mampu mengatasi cabaran cuaca terik Gurun Gobi sejauh 3,500km. Berpegang kepada prinsip ‘Tidak mudah berputus asa, menyerah kalah’ saya melakukannya sebaik mungkin bagi memenuhi hasrat berkenaan,” katanya.

Memandangkan kayuhan Silk Road ini mempunyai banyak rintangan, termasuk berlakunya konflik etnik Uighur yang berlaku di Xinjiang, beliau berharap ada pengayuh basikal sudi menemaninya.

“Mereka mestilah berhati waja, berjiwa kental kerana cubaan kali ini agak mencabar. Kajian saya mengenai cuaca di Gurun Gobi ialah masa terbaik ketika Ramadan, memandangkan masih bulan berpuasa, sejak menunda tarikh ke Jun.

“Bagi pengayuh yang ingin turut serta, segala perbelanjaan ditanggung sendiri, mungkin makan minum kita boleh berkongsi sama.

“Jika tiada yang ingin turut serta, saya akan berkayuh secara solo seperti dilakukan ketika menjelajah lapan negara Balkan dua tahun lalu,” katanya.


HASAN ketika singgah di Kirrikale, Turki pada 2017.

INFO

* Berbasikal mengelilingi dunia selama 389 hari pada 2001-2002.

* Silk Road adalah laluan darat tersohor yang wujud sejak 2,000 tahun lalu.

* Menghubungkan dunia barat dan timur sebelum terbukanya laluan laut pada kurun ke 15.

* ‘The Silk Road’ atau Jalan Sutera bermula dari Xi’an (China) hingga ke

Istanbul (Rome Timur atau Turki)

sejauh 8,000km.

Berita Harian X